Semua rakyat Malaysia akan menerima kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
“Kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan untuk semua rakyat. Namun, pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi mengikut keperluan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata, harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95 dan hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi.
Proses transaksi kelak seakan proses semasa, namun hanya ditambah satu langkah pengesahan MyKad untuk membayar melalui pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
Bagi mereka yang mengisi minyak menggunakan cara digital, terdapat TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi.