Bikesrepublic

Polis Beri Amaran Mengganggu Laluan Sidang Kemuncak ASEAN Satu Jenayah

Polis Kuala Lumpur menegaskan orang ramai supaya tidak mengadakan aktiviti yang mengganggu laluan, acara dan ketenteraman awam sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tiga perkara itu perlu dipatuhi dan jika ada mana-mana pihak melanggarnya ia boleh dianggap melakukan kesalahan jenayah di mana polis akan mengambil tindakan tegas.

Menurutnya, mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan ketika tempoh persidangan itu perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan supaya jangan ganggu acara berkenaan.

“Tidak boleh ada sebarang aktiviti yang menjejaskan acara, laluan atau ketenteraman awam. Tindakan sedemikian akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Fadil berkata, kerjasama orang ramai bersama agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan amat penting bagi memastikan kejayaan sidang kemuncak berkenaan.

“Ini adalah acara penting untuk Malaysia kerana seluruh dunia akan melihat bagaimana kita menguruskan ASEAN.

“Sebagai agensi penguat kuasa utama bersama agensi kerajaan lain, kami akan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang tempoh sidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya memberi perhatian dan mengelak daripada menggunakan laluan yang terbabit atau lencongan yang diwujudkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

“Jalan alternatif yang disediakan boleh digunakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

“Kami menjangkakan cabaran trafik sepanjang acara besar ini, jadi kami memohon kerjasama orang ramai untuk mengelak laluan berkenaan dan merancang perjalanan lebih awal,” katanya.

Katanya, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sila susun aktiviti anda dengan baik sepanjang tarikh sidang kemuncak dan patuhi arahan anggota trafik yang bertugas di lokasi.

“Kenderaan komersial juga perlu mematuhi waktu perjalanan terhad.

“Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesesakan, katanya.

Pada 18 Oktober lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, lebih 10,000 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Cawangan Khas serta Unit Tindakan Khas (UTK) telah digerakkan di bawah Op ASEAN 47 menjelang sidang kemuncak berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober ini dengan penyertaan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog dan tetamu termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Dalam pada itu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat.

Penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Oktober membabitkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wahid's lust for motorcycles was spurred on by his late-Dad's love for his Lambretta on which he courted, married his mother, and took baby Wahid riding on it. He has since worked in the motorcycle and automotive industry for many years, before taking up riding courses and testing many, many motorcycles since becoming a motojournalist. Wahid likes to see things differently. What can you say about a guy who sees a road safety message in AC/DC's "Highway to Hell."

Artikel Berkaitan