Jenama ikonik Dainese telah dijual dengan harga simbolik EUR1 (1 Euro), setelah menanggung hutang yang mencecah sekitar EUR300 juta.
Jualan ini diatur oleh dana berpusat di London, Arcmont Asset Management dan HPS Investment Partners (yang baru-baru ini diambil alih oleh BlackRock), yang mengambil alih daripada dana pelaburan Carlyle. Carlyle, sebaliknya, telah memperoleh Dainese daripada Investcorp dengan harga EUR630 juta pada tahun 2022.
Berita mengejutkan ini dilaporkan oleh majalah Sport E Finanza. Walaubagaimanapun, Dainese sendiri belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini, begitu juga dengan Arcmont dan HPS.
Jenama Dainese telah bergelut dengan hutang setelah mencatatkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut, dengan defisit mencecah EUR120 juta pada tahun lepas. Prestasi yang lemah ini menyebabkan hutangnya melambung kepada EUR300 juta berbanding EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan) sebanyak EUR20 juta, yang memberikan nisbah hutang:EBITDA sebanyak 15:1.
Pemilik baharu telah menyatakan hasrat mereka dengan jelas: untuk mengukuhkan struktur kewangan Dainese dan meningkatkan fleksibilitinya setelah menghadapi cabaran pasaran. Namun, belum ada berita mengenai nasib pekerja, pembekal, dan pelanggan Dainese.
Hanya masa yang akan menentukan masa depan jenama ikonik ini.
Sumber: Sport E Finanza