Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) dengan rasminya mengumumkan penghentian operasi pengedaran motosikal jenama Kawasaki di Malaysia bermula 1 Oktober 2021.

Keputusan berat itu terpaksa diambil setelah menilai beberapa perkembangan baharu daripada Kawasaki Heavy Industries, Ltd. Japan (KHI) antaranya polisi pelaburan di Malaysia serta pemilikan ekuiti dalam MODENAS pada 26 April 2019.

“Kami di KMSB mahu mengucapkan terima kasih atas peluang ini dan kepada semua terutamanya rakan kongsi selama 33 tahun ini di Malaysia,” jelas KMSB dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, KMSB turut mengucapkan terima kasih kepada KHI atas peluang mewakili jenama tersebut.

Sementara itu, KMSB juga memaklumkan untuk sebarang urusan waranti, servis selepas jualan dan alat ganti, nantikan pengumuman selanjutnya daripada pihak KHI sendiri.

KTM telah pun mengesahkan bahawa bekas ketua kru Maverick Vinales, Esteban Garcia, telah menyertai Tech3 dan akan menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

Garcia telah pun meninggalkan Vinales dan Yamaha pada Jun lalu dengan tempatnya digantikan Silvano Galbusera, yang merupakan bekas ketua kru Valentino Rossi.

Sewaktu Garcia digantikan, Vinales akui tidak gembira dengan keputusan tersebut, sebelum pelumba Sepanyol itu turut serta angkat kaki meninggalkan Yamaha dan berhijrah ke Aprilia, baru-baru ini.

Sementara itu, Garcia, yang mempunyai pengalaman luas di pentas MotoGP sebelum ini, akan menggalas tugas selaku pengarah teknikal KTM di Tech3.

“Esteban (Garcia) akan menjadi pengarah teknikal pasukan dan akan menyelia segala tugas di samping berkerjasama dengan jurutera KTM,” jelas pengendali Tech3, Herve Poncharal.

Pelantikan Garcia juga penting dalam membangunkan karier Remy Gardner dan Raul Fernandez musim depan.

“Dia (Garcia) cukup kenal dengan KTM termasuk Raul Fernandez dan Remy Gardner sejak mereka kecil lagi.

“Kedua-dua pelumba ini percayakan dia,” tambah Poncharal.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memperjelaskan isu dakwaan warga emas berusia 70 tahun ke atas perlu menyerahkan lesen memandu.

Ketika persidangan Dewan Rakyat, Wee Ka Siong memaklumkan kementeriannya tidak pernah meletakkan syarat seumpa itu kerana kecekapan memandu bukan bergantung pada usia.

“Jika melihat Yang Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau boleh memandu dengan baik, jauh lebih baik daripada mereka yang memandu secara membahayakan di jalan raya.

“Jadi tidak boleh ada diskriminasi terhadap mereka yang berusia 70 tahun ke atas,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Wee menjelaskan Kementerian Pengangkutan juga tidak bercadang mengubah perkara itu.

“Menarik balik atau menghadkan lesen memandu bagi warga emas sewajarnya dijadikan sebagai langkah terakhir sekiranya dibuktikan mereka tidak lagi mampu untuk memandu,” tambahnya.

Isu menghadkan lesen pemanduan warga emas sebelum ini dibangkitkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan saranan untuk warga emas menjalani ujian kesihatan sebelum dibenarkan memandu. – The Star

Modenas memperkenalkan tiga warna baharu bagi model naked-street, Pulsar NS200 ABS.

Bagi tahun 2021, Pulsar NS200 ABS kini tampil dengan warna Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey. Warna sama yang diperkenalkan Bajaj pada September tahun lalu di India.

Pada masa sama, pilihan warna Plasma Blue dan Burnt Red turut menampilkan rim 17″ berwarna putih dan grafik putih di bahagian sisi tangki.

Bagaimanapun, Pulsar NS200 ABS ini masih mengekalkan penggunaan enjin satu silinder 200cc dengan DTS-i yang menawarkan 24hp pada 9,750rpm dan 18N pada 8,000rpm.

Ciri keselamatan turut dikekalkan terutamanya fungsi Anti-lock Braking System (ABS) yang dipadankan bersama cakera brek 300mm depan dan 230mm belakang.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 12L
  • fork teleskopik depan
  • nitrox monoshock belakang
  • lampu halogen dengan Auto Headlamp On (AHO)
  • berat 158kg

Modenas Pulsar NS200 ABS dengan warna baharu ini masih lagi ditawarkan dengan harga RM9,655 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Kawasaki dikatakan bakal memperkenalkan beberapa model baharu menjelang EICMA 2021.

Antara yang disebut bakal diperkenalkan adalah ZX-6R generasi baharu serta beberapa model lain.

Sementara itu, Kawasaki Amerika Syarikat juga akan melancarkan enam model baharu, dua daripadanya adalah jet ski dan ATV.

Bagaimanapun, pengeluar motosikal Jepun itu disahkan bakal menjadikan EICMA 2021 sebagai platform melancarkan tiga model baharu.

Meskipun ketika ini segalanya hanya kekal spekulasi namun pastinya antara model yang akan ditayangkan adalah Z650RS yang telah pun diperkenalkan secara rasmi hari ini.

Pada masa sama, timbul juga dakwaan sejak hujung tahun lalu bahawa Kawasaki turut bercadang membawa teknologi 4-inline kepada Ninja 400 sepertimana yang dilaksankan terhadap ZX-25R.

Namun, apa yang pasti kita hanya perlu menunggu pelancaran tiga model baharu ini di Milan pada November nanti.

Kawasaki akhirnya melancarkan Z650RS 2022 di Eropah yang merupakan keluarga terbaru model retro-klasik jenama Jepun itu.

Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, Z650RS meneruskan kesinambungan rekaan retro yang ditawarkan Z900RS yang telah dilancarkan pada 2018.

Menariknya, Z650RS ini juga dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang sama terdapat pada model Z650 dan Ninja 650 dan hasilnya, menawarkan 67hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.

Bagaimanapun, Kawasaki telah menala semula enjin ini bagi menghasilkan respon yang lebih baik ketika di rpm rendah dan pertengahan.

Seperti model Z650 dan Ninja 650, model baharu ini juga tampil dengan fork depan 41mm serta ‘horizontal link shock’ di bahagian belakang dengan preload boleh laras.

Sistem membrek pula dikendalikan kaliper brek dua piston berkembar di bahagian depan yang mencengkam cakera brek 300mm dan dibantu Bosch ABS dwi-saluran.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh
  • meter analog dengan paparan digital
  • klac assist/slipper
  • ketinggian tempat duduk 820mm

Menurut info, Kawasaki Z650RS ini akan ditawarkan pada harga dari GP7,549 (RM43 ribu) di pasaran UK.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang perhalusi cadangan kebenaran merentas negari pada pertengahan bulan Oktober.

Kebenaran rentas negeri termasuk membuka semula sempadan negara merupakan antara topik yang akan dibincangan lagi minggu ini.

Menurut Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan keputusan mengenai dua aspek ini dalam masa terdekat.

“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.

“Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya. – BH

Ducati Malaysia mengumumkan lanjutan waranti tiga bulan untuk pemilik Ducati.

Lanjutan tiga bulan tersebut adalah khas bagi pelanggan Ducati dengan waranti sedia ada bakal tamat tempoh antara Ogos hingga September 2021.

Langkah tersebut merupakan inisiatif terbaru dari Ducati Malaysia bagi membantu pemilik yang sebelum ini berdepan kekangan untuk menghantar motosikal bagi tujuan selenggara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengurus Besar Ducati Malaysia, Dennis Michael, usaha ini adalah berkat sokongan pelanggan terhadap jenama Ducati di Malaysia.

*Pengurus Besar Ducati Malaysia, Dennis Michael (pertama dari kanan)

“Pemilik dan pelanggan kami sentiasa memberi sokongan teguh terhadap jenama Ducati di Malaysia jadi kami berasa terpanggil untuk menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh agar sama-sama dapat mengharungi tempoh pandemik ini.

“Sokongan bersama ini juga membuka jalan kepada pelanggan menikmati pengalaman yang lebih baik kelak,” jelasnya.

Sementara itu pemilik hanya perlu membuat janji temu dengan mana-mana pusat servis Ducati terdekat untuk menikmati lanjutan waranti tiga bulan ini.

Sebarang masalah akan ditangani mengikut yang termaktub dalam perlindungan waranti manakala pelanggan boleh nikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi setiap alat ganti.

Pada masa sama, pelanggan yang hadir untuk tujuan selenggara motosikal juga boleh nikmati diskaun sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian Ducati.

Pengeluar motosikal Taiwan, SYM sah bakal menyertai EICMA 2021 sekaligus memeriahkan acara pameran motosikal terbesar dunia itu.

Ini bermakna SYM sertai, Honda, Yamaha, Suzuki, MV Agusta, Aprilia, Piaggio, Vespa, Moto Guzzi, Benelli, Triumph Motorcycles dan Royal Enfield di Milan pada November ini.

SYM dijangka akan mempamerkan model baharu sedia ada di samping dijangka mendedahkan beberapa model serba baharu yang akan dilancarkan kelak.

SYM merupakan salah satu daripada pengeluar motosikal terbesar dari Taiwan dan telah pun memiliki rangkaian kukuh di serata Asia dan Eropah dengan lima fasiliti terletak di Taiwan, Vietnam, China, Itali dan Jerman.

EICMA 2021 dijangka lebih rancak selepas edisi 2020 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengeluar motosikal telah pun menarik diri lebih awal tahun ini, antaranya KTM dan BMW Motorrad sementara Ducati masih belum mengesahkan penyertaan setakat ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi khas ‘Ops Merah’ di seluruh negara bagi menangani insiden langgar lampu merah.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli.

Menurutnya, JPJ melihat kesalahan melanggar lampu merah sebagai satu masalah yang serius yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Terdapat 22,656 kes langgar lampu merah direkodkan pada 2019 namun angka itu menurun kepada 12,764 kes susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di Terenggan sahaja, langgar lampu merah adalah kesalahan kedua tertinggi pada Ogos tahun ini sahaja dengan 476 kes,” jelasnya.

Kesalahan langgar lampu merah boleh dikenakan tindakan saman sebanyak RM300 dan denda tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987. –NST

Setelah beberapa tahun penantian, akhirnya muncul sinar di hujung terowong apabila Honda Winner X semakin hampir untuk dilancarkan di Malaysia.

Hal ini kerana terdapat beberapa pengedar yang telah pun mengiklankan pembukaan tempahan bagi model moped 150cc tersebut.

Bagaimanapun, setakat kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi yang diumumkan Boon Siew Honda.

Malah, iklan ‘tempahan dibuka’ bagi Honda Winner X di atas juga sudah dipadam.

Pelancaran Winner X sememangnya dalam jangkaan apatah lagi motosikal tersebut telah pun dikesan menjalani ujian disini.

Apa pun, perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak menggembirakan peminat motosikal di Malaysia yang sekian lama menanti model ini yang telah pun dipasarkan di negara jiran selama beberapa tahun.

Berdasarkan Winner X yang diperkenalakn di Vietnam, motosikal itu dikuasakan enjin 150cc satu silinder PGM-Fi DOHC yang menawarkan 15.4hp pada 9,000rpm dan 13.5Nm pada 6,500rpm.

Model ini turut dilengkapi dengan teknologi ABS (Anti-lock Braking System).

Pengeluar motosikal China, Zongshen, telah mendedahkan sebuah model konsep yang dinamakan Cyclone RA9 di CIMA Motor Show 2021, baru-baru ini.

Zongshen merupakan antara jenama motosikal terbesar di China yang turut menjalinkan kerjasama dengan Piaggio Group.

Kerjasama itu menyaksikan Zongshen bertanggungjawab memasang motosikal Aprilia di China antaranya babitkan model 125 hingga 250cc.

Hasil kerjasama tersebut juga memainkan peranan besar dalam penghasilan Cyclone RA9 yang mengguna pakai kerangka, enjin serta beberapa komponen dari model Aprilia.

Sebagai contoh, chasis jenis tubular steel adalah dari Aprilia Shiver dan Dorsoduro.

Bagaimanapun, Zongshen menerapkan beberapa komponen baharu antaranya ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’ dan reka bentuk yang lebih radikal dengan tempat duduk tunggal.

Cyclone RA9 ini juga bernadikan enjin 987cc V-Twin DOHC dari Aprilia dengan Zongshen mendakwa menawarkan sekitar 112hp pada 9,500rpm dan 97.6Nm pada 7,500rpm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

brek kaliper J.Juan
Bosch ABS dwi-saluran
suspensi boleh laras
berat 215kg

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube