Seorang remaja berusia 19 tahun disahkan maut setelah terbabit kemalangan di Kilometer 38.8, Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas), pada Ahad.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof. Memetik laporan Kosmo, mangsa ketika itu sedang bergerak secara berkumpulan dengan beberapa motosikal lain dari Nilai ke Seremban dengan menunggang motosikal jenis RS150.
Bagaimanapun, motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang turut bergerak dalam kumpulan sama lalu terjatuh. Akibat daripada kejadian itu, kedua-duan penunggang terjatuh lalu dirempuh lima motosikal lain.
“Lima buah motosikal tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan mangsa. Akibat pelanggaran, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Lima mangsa yang lain mengalami luka di badan. Seorang lagi mangsa berusia 17 tahun cedera di bahagian muka,” jelas Nanda. – Kosmo
Sedar tak sedar, peraturan emisi Euro 5 yang mula dikuatkuasakan di Eropah dan beberapa pasaran dunia lain telah pun mencecah usia tiga tahun sejak diperkenalkan pada 2021.
Meskipun usaha itu diterima baik oleh pengeluar motosikal dunia namun kesan daripada pelaksanaan itu beberapa model turut terkena tempias termasuk penjualan Honda CB1100.
Dalam usaha memperketatkan lagi peraturan emisi global, standard Euro 5 akan dipertingkatkan kepada Euro 5+ bermula tahun 2024.
Menurut laporan, meskipun terdapat peningkatan mendadak antara standard Euro 4 kepada Euro 5 sebelum ini namun pelaksanaan Euro5+ tidak akan mempunyai implikasi sama sebaliknya, Euro 5+ lebih kepada memperkemaskan peraturan Euro 5 sedia ada.
Sebagai contoh, jika kriteria mencapai Euro 5 adalah cukup dengan hanya melepasi ujian emisi, Euro 5+ pula mewajibkan pengeluar menjalani ‘on-board diagnostic’ (OBD II), ujian ketahanan dan ujian bunyi.
Euro 5+ juga akan mengekalkan had emisi sedia ada namun ujian ketahanan terhadap ‘catalytic converter’ akan dipertingkat agar lebih tahan lama termasuk melepasi ujian kilometrik.
Pada masa sama, OBD II juga akan dipertingkat di mana Euro 5+ memerlukan ECU untuk melakukan semakan sekurang-kurangnya 10 peratus dariapda masa motosikal itu digunakan. ECU juga perlu memberi amaran kepada pengendali motosikal sekiranya sistem enjin terjejas akibat kepanasa.
Demikian antara penjelasan yang kami boleh sampaikan daripada pelaksanaan Euro 5+ yang akan berlaku pada tahun 2024.
Jika anda menyimpan hasrat untuk mendapatkan motosikal Ducati Hypermotard idaman, inilah masanya untuk melunaskan impian itu dengan bantuan Ducati Malaysia.
Ducati Malaysia kini menawarkan promosi khas bagi peminat Ducati Hypermotard.
Sah sehingga 31 Mac 2023 ini, setiap pembelian Ducati Hypermotard akan disertakan dengan sistem Quickshifter dan helmet Peak V5.
Ini bermakna, anda dapat menikmati jentera Hypermotard dengan sepenuhnya dengan naik taraf ke sistem Quickshifter secara percuma dengan setiap pembelian motosikal berharga RM85,900 tersebut.
Untuk rekod, Ducati Hypermotard dilengkapi dengan enjin dwi-silinder Testastretta 11º, 937cc yang dikatakan mampu menghasilkan sehingga 114hp pada 9,000rp dan 96Nm tork maksimum pada 7,250rpm. Enjin yang dirombak semula ini 1.5kg lebih ringan dan menghasilkan 4hp lebih berbanding pendahulunya.
Ducati Malaysia menawarkan promosi khas bagi peminat motosikal jenama motosikal Itali itu.
Sah sehingga 31 Mac 2023, setiap pembelian Ducati Monster (berharga RM75,900) kini akan disertakan dengan ekzos slip-on Termignoni bernilai RM11,000 secara percuma!
Ekzos Termignoni itu bukan sahaja meningkatkan rupa estetik Monster malah turut mempertingkatkan kuasa dan deruman enjin secara keseluruhan.
Untuk rekod, generasi baharu Ducati Monster ini juga bernadikan enjin baharu, Testastretta 937cc silinder berkembar (twin-cylinder) 11-darjah yang menjana 111hp pada 9,250rpm dan 95Nm pada 6,500rpm.
Kajian terbaru yang dijalankan sebuah syarikat di UK mendapati motosikal jenis Honda C90 merupakan jentera klasik yang paling popular di negara itu.
Berdasarkan kajian yang dijalankan Loop – sebuah syarikat komunikasi automotif – mendapati sebanyak 271,012 motosikal klasik – berusia lebih 30 tahun – berada di atas jalan raya negara itu ketika ini.
Honda mendominasi jumlah tersebut dengan 35,894 unit motosikal diikuti BSA dengan 28,713 unit dan Triumph (pra-1992) dengan 26,142 unit.
Menariknya, sejumlah 4,035 unit melibatkan Honda C90 sahaja sekaligus mengukuhkan kedudukan selaku motosikal klasik paling popular di UK.
Tempat kedua jadi milik Triumph Bonneville dengan 891 unit manakala Lambretta GP 150 ketiga dengan 659 unit masih digunakan.
Seramai 300 pemilik motosikal jenis Ducati Panigale telah menghangatkan konvoi ke Kuantan baru-baru ini.
Menariknya, perhimpunan sempena ‘Mega Gathering Flag Off’ itu juga merupakan terbesar pernah dicatatkan mengatasi 230 pemilik tahun lalu.
Lebih istimewa, konvoi tersebut turut dihangatkan dengan kehadiran pelumba uji Ducati MotoGP, Michelle Pirro. Turut serta dalam merasmikan pelepasan konvoi adalah Pengarah Urusan Ducati Malaysia, Dennis Michael.
Menurut Ducati Malaysia, konvoi mula berkumpul di Ducati Kuala Lumpur (Madani Bikes) sebelum berlepas ke Kuantan bagi bertemu dengan pemilik Panigale di sana.
Dalam pada itu, bagi memastikan konvoi tersebut berjalan lancar, program itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Kehadiran pihak JSPT juga membuktikan bahawa pemilik motosikal Ducati di Malaysia memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dalam menunggang motosikal.
CFMoto merupakan antara jenama motosikal dari China yang cukup serius dalam membangunkan jentera berkualiti dan berprestasi tinggi.
Kerjasama dengan KTM termasuk di Kejuaraan Dunia Moto3 menjadi bukti komitmen yang ditonjolkan CFMoto dalam mengukuhkan jenama itu di pentas antarabangsa.
Menariknya, beberapa model yang diperkenalkan antaranya 250SR, 700CL-X, 650MT, 800MT dan terbaru 450SR bingkas mencuri tumpuan di pasaran global.
Bagaimanapun, terdapat perkembangan menarik yang timbul mengenai CFMoto apabila jenama itu dilaporkan bakal memperkenalkan jentera ‘superbike’ dengan enjin 1000cc tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan menerusi paten enjin yang telah difailkan pada Jun tahun lalu dan hanya baru-baru ini akses kepada maklumat tersebut dibuka kepada orang ramai.
Paten tersebut mendedahkan jentera ‘superbike’ itu akan bernadikan enjin 4-silinder dengan konfigurasi V4. Lebih menarik, dokumen terbabit menyebut enjin V4 itu akan menawarkan 204hp.
Ada yang mendakwa enjin tersebut dibangunkan daripada jentera prototaip KTM RC16 di MotoGP. Bagaimanapun, penilaian kami selepas melihat paten tersebut, ternyata platform itu langsung tidak menyerupai enjin yang dihasilkan KTM sebelum ini. Malah, paten tersebut difailkan di bawah nama CFMoto semata-mata bukan nama rasmi hasil kerjasama dua belah pihak.
Oleh itu, kami dijangkakan enjin 1000cc dengan konfigurasi V4 ini adalah hasil kerja tangan CFMoto sendiri tanpa sebarang bantuan luar.
Buat masa ini kami difahamkan, enijn V4 itu akan diguna pakai pada dua jenis model, sportbike dan naked.
Difahamkan, model naked itu juga akan membuat penampilan sulung sekurang-kurangnya lewat tahun ini namun, belum ada sebarang perkembangan mengenai model ‘sportbike’ tersebut.
Apa yang pasti, kemunculan jentera ‘full-fairing’ dengan enjin 1000cc V4 dari CFMoto itu akan berlaku tidak lama lagi sekaligus memberi saingan kepada jenama motosikal Jepun dan Eropah.
*QJMotor SRK 1000 RR
Selain CFMoto, satu lagi pengeluar motosikal dari China, QJMotor sedang membangunkan jentera sportbike 1000cc hasil kerjasama dengan MV Agusta. Mengguna pakai enjin dan chasis daripada MV Agusta Brutale 1000 RR, model itu juga dijangka akan dilancarkan sebagai model 2024.
KTM dan syarikat ‘tuning’ Jerman, BRABUS meneruskan kolaborasi buat kali kedua dengan pelancaran BRABUS 1300 R Edition 23.
Dipamerkan di Hanoi, Vietnam, BRABUS 1300 R Edition 23 merupakan evolusi daripada 1300 R yang diperkenalkan tahun lalu.
Terhad kepada 145 unit bagi versi Superblack dan 145 unit lagi bagi warna Stealth Grey, BRABUS 1300 R Edition 23 ini juga dibangunkan daripada platform KTM 1290 Super Duke R EVO.
Untuk itu, 1300 R Edition 23 ini juga didatangkan dengan beberapa komponen khas BRABUS yang mengguna pakai bahan jenis gentian karbon dan CNC.
Oleh itu, tidak hairanlah BRABUS 1300 R Edition 23 ini tampak sama seperti versi original kecuali beberapa penambahbaikan antaranya pertambahan komponen gentian karbon.
Sebagai pelengkap kepada motosikal hypernaked ini adalah rim BRABUS Monoblock Z dengan kemasan serba hitam.
Seperti model tahun lalu, BRABUS 1300 R Edition 23 ini dikuasakan enjin LC8 V-Twin 1,301cc yang berupaya menghasilkan 180hp pada 9,500rpm dan 140Nm pada 8,000rpm.
Menurut BRABUS, motosikal ini akan dijual menerusi laman sesawang khas dengan harga EUR42,500 (RM198 ribu) pada 16 Februari ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperuntukkan RM90 juta bagi tempoh dua tahun dalam pembinaan stesen pengecas arus terus (DC) bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Perkara itu disampaikan pengarah program pengurusan projek untuk kenderaan elektrik, Mohd Junaizee Mohd Noor. Jelasnya, TNB telah pun mengorak langkah sulung dengan membina tiga stesen pengecas EV di kawasan R&R Ayer Keroh (Melaka), Tapah (Perak) dan Paka (Terengganu).
“Kami sasar untuk bina tujuh lagi stesen pengecas EV di Malaysia menjelang hujung tahun ini di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Insya’allah TNB akan memiliki sejumlah 10 stesen pengecas DC EV di sepanjang lebuh raya menjelang hujung tahun,” jelasnya.
Jelas Junaizee, inisiatif tersebut adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mengecas kenderaan EV masing-masing dan tidak perlu lagi berasa gentar akan kehabisan bateri.
Dalam pada itu, Junaizee menjelaskan bahawa antara cabaran utama pemasangan stesen pengecas EV adalah proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ini kerana setiap PBT mempunyai peraturan dan terma berbeza sekaligus mewujudkan kekangan terhadap pembinaan stesen pengecas. – BERNAMA
“Kami akan menilai perkara ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan dan dari situ barulah kami akan membuat keputusan sama ada akan beralih ke digital sepenuhnya,” demikian kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan dengan cadangan memansuhkan lesen memandu fizikal dan digantikan dengan lesen digital.
Jelas Loke, kerajaan tidak boleh memaksa orang ramai untuk serta-merta beralih ke digital sebaliknya perlu melakukan pendekatan secara berperingkat.
Pada masa sama, Loke juga sedar bahawa peralihan ke lesen digital bukan senario mudah terutamanya bagi mereka yang duduk di kawasan kampung dan pedalaman.
“Kami faham bahawa akses internet adalah satu kekangan. Kami tidak akan memaksa orang ramai beralih ke digital,” tambahnya.
Minggu lalu, kerajaan telah pun mengumumkan bahawa cukai jalan kenderaan persendirian sudah tidak perlu dipamerkan lagi sebaliknya boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (eLKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui aplikasi MyJPJ. – FMT
‘Chin curtain’ merupakan antara ciri yang standard pada sebuah helmet motosikal jenis ‘full-face’.
Ini kerana fungsi utama ‘chin curtain’ adalah melindungi pemakai daripada aliran angin yang kuat daripada memasuki ruang helmet di samping turut meningkatkan aspek aerodinamik helmet.
Bagaimanapun, pendedahan oleh FortNine yang dikongsikan menerusi satu video di YouTube menjelaskan bagaimana ‘chin curtain’ sebenarnya membahayakan si pemakai.
Menurut video berdurasi 4minit 14 saat itu, terdapat beberapa kajian berjaya membuktikan bahawa ‘chin curtain’ membawa kesan yang buruk.
Ini kerana kehadiran ‘chin curtain’ menyebabkan karbon dioksida (CO2) boleh terperangkap di dalam helmet lalu menyebabkan fungsi otak si pemakai menurun sehingga 50 peratus.
Akibat daripada senario itu, reaksi penunggang motosikal ketika berada di jalan raya juga boleh terjejas lantas boleh membahayakan nyawa terutamanya sewaktu menunggang dalam trafik tinggi atau perlu membuat gerakan mengelak secara mengejut.
FortNine juga membuktikan bagaimana kandungan CO2 di dalam helmet meningkat daripada 450ppm (bahagian per sejuta) sehingga 1370ppm sewaktu memberhentikan motosikal.
Dalam pada itu, menurut laporan yang pernah diterbitkan NASA, skil membuat keputusan pilot sewaktu simulasi terjejas sewaktu CO2 berada di tahap 1200ppm.
Lebih mengejutkan, kadar gas CO2 juga tidak menurun meskipun ‘visor’ helmet dibuka.
Oleh yang demikian, cara paling efektif dalam mengurangkan gas CO2 dalam helmet adalah dengan menanggalkan ‘chin curtain’ tersebut bagi memastikan fungsi kognitif kekal di tahap terbaik.
Jenama motosikal Thailand, GPX semakin mendapat tempat di pasaran Asia Tenggara selepas memperkenalkan beberapa siri motosikal.
Terbaru, GPX terus memperkembangkan portfolio mereka dengan pelancaran GPX Tuscany 150, sebuah skuter gaya retro yang kelihatan diinspirasikan daripada jenama popular, Vespa.
Menariknya, Tuscany 150 merupakan hasil usahama antara GPX dan pengeluar skuter Taiwan, SYM. Kedua-duanya pernah berkerjasama sebelum ini menerusi skuter GPX Drone yang dilancarkan pada hujung tahun 2020.
Bagi pasaran Thailand, GPX Tuscany 150 tampil dengan dua varian namun kedua-duanya hanya dibezakan dengan sistem kunci dengan varian tertinggi datang dengan fungsi ‘keyless’.
Dalam pada itu, Tuscany 150 dikuasakan enjin satu silinder 149.6cc SOHC, 2-valve dengan penyejukan udara dan menawarkan transmisi automatik jenis CVT.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:
fork teleskopik depan
penyerap hentakan belakang (berkembar)
cakera brek depan
sistem brek CBS (combine braking system)
tayar 110/70-12 depan
tayar 120/70-12 belakang
Meskipun tampak retro, Tuscany 150 ini masih lagi datang dengan ciri moden seperti panel meter digital LCD, lampu LED dan pengecas USB.
Pada masa sama, skuter ini juga dilengkapi tangki bahan api 5.7L dan ruang letak barang (bawah tempat duduk) 27L.
Menurut GPX, Tuscany 150 ini dijual pada harga THB63,700 (RM8.1k).