Bikesrepublic

Berita Terkini

Azroy Hakeem pamer tunggangan mantap di Batu Kawan apabila berjaya merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, semalam.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu meneruskan rentak kemenangan setelah menjuarai aksi pembukaan di Jasin, Melaka, bulan lalu.

Nasib seakan menyebelahi Azroy tatkala pendahulu perlumbaan, Md Akid Aziz menarik diri seawal pusingan pertama setelah terjatuh sementara Md Helmi Azman mengalami masalah jentera sekaligus membuka peluang buat Azroy untuk mendahului perlumbaan.

Sementara itu, juara bertahan Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing terpaksa berpuas hati dikedudukan kedua apabila gagal dalam percubaan untuk memintas Azroy yang berjaya menutup ruang sepanjang perlumbaan.

Azroy mencatat masa 17 minit 34.904 saat diikuti Afif 17’35.080s dan pelumba senior, Ahmad Fazrul Sham ketiga dengan catatan masa 17’45.922s.

“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana bekerja keras untuk membantu saya memenangi perlumbaan minggu ini, begitu juga dengan sokongan keluarga dan penaja,” jelas Azroy yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.

“Pada penghujung perlumbaan saya menyedari Afif berada dekat dengan saya jadi saya perlu menutup ruang dan berjaya mempertahankan kedudukan sehingga ke garisan penamat,”jelasnya.

Sementara itu, aksi CP115 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli menjuarai perlumbaan dengan catatan keseluruhan 13’45.133s.

Tempat kedua jadi milik Ahmad Syukran Aizat Md Yusof (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) sementara Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) ketiga.

Pelumba Suzuki, Alex Rins berjaya merangkul kemenangan pertama di GP Amerika selepas pendahulu perlumbaan, Marc Marquez mengalami kemalangan.

Marquez dilihat bakal merekodkan kemenangan ketujuh di Austin sebelum terpaksa bersara awal memasuki pusingan kesembilan apabila pelumba pasukan Repsol Honda itu – yang sedang mendahului perlumbaan dengan jarak empat saat – hilang kawalan jenteranya di selekoh 12.

Sumber: StadiumAstro

Senario itu lantas membuka peluang kepada pelumba veteran, Valentino Rossi untuk merampas kedudukan pertama.

Bagaimanapun, Rins yang berada di belakang Rossi berjaya melakukan pintasan sebaik perlumbaan berbaki empat pusingan.

Strategi pelumba berusia 23 tahun itu menjadi apabila memilih untuk memintas Rossi dari bahagian dalam.

“Dia (Rossi) merupakan idola saya sejak kecil lagi. Perasaan ini cukup menakjubkan,” katanya.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pelumba Australia, Jack Miller.

Dalam perkembangan sama, wakil tunggal negara, Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 sekaligus terlepas peluang untuk mengutip mata pertama musim ini.

(SUMBER: StadiumAstro)

  • BMW Motorrad Auto Bavaria telah menganjurkan satu majlis pratonton istimewa untuk Option 719 malam semalam.
  • Option 719 adalah sebahagian daripada program pengkhususan selepas pengilangan BMW Motorrad Spezial.
  • Option 719 ini boleh didapati buat masa ini bagi rangkaian R nineT, K-Series, dan C-Series.

(more…)

Sebaik menjejakkan kaki ke tapak acara Retromania 2019, pengunjung seakan kembali ke era 60an hingga 80an apabila disambut dengan ribuan motosikal retro.

Pelbagai motosikal retro hadir mewarnai Retromania 2019 antaranya Yamaha, Honda, Suzuki, Kawasaki dan Vespa termasuk pelbagai booth yang menjual pelbagai barangan dan peralatan lama dan baru.

Bagi menghangatkan lagi acara, penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah dan anugerah Retromania 2019.

Bagaimanapun acara kemuncak yang paling dinantikan pengunjung adalah Sembang Santai Mat Moto yang menampilkan bekas pelumba negara antaranya, Adi Haslam, Hisham Ngadin, Azman Ali, Ghazali Abdullah, Daud Nawi, Yasir SAid dan Raymond Tan.

Bukan itu sahaja, Retromania 2019 turut menyaksikan kehadiran pelakon utama Gila-Gila Remaja, Faizal Hussein.

Retromania merupakan perhimpunan motosikal retro paling besar pernah diadakan di negara ini yang pada mulanya diadakan di Port Dickson 11 tahun lalu.

Bagaimanapun, ekoran jumlah penyertaan motosikal meningkat dengan mendadak saban tahun, penganjur Retromania – yang sebelum ini dikenali sebagai Santai Retro – telah mengubah lokasi ke Dataran Pantai Morib, Banting.

Dalam perkembangan lain, kegigihan seorang pemuda untuk menempuh perjalanan sejauh 500km dari Marang, Terengganu untuk hadir di Retromania 2019 membuahkan hasil apabila dia berjaya membawa pulang sebuah motosikal skuter ketika sesi cabutan bertuah yang berlangsung semalam.

Muhammad Shafie Ismail, 22 tahun, tidak menjangkakan tuahnya itu meskipun kali pertama sampai di Morib bersama rakan-rakannya.

Sementara itu, ADUN Morib, Hasnol Baharudin berkata penganjuran Retromania Gathering 2019 kali ini membawa kemeriahan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Sumber: StadiumAstro

MotoGP dengan rasminya mengabadikan nombor 69 milik Nicky Hayden dalam satu majlis yang diadakan di GP Amerika, semalam.

Bekas juara MotoGP 2006 itu – yang diberi jolokan The Kentucky Kid – meninggal dunia di usia 35 tahun apabila terlibat dalam satu kemalangan ketika sedang mengayuh basikal dalam satu sesi latihan di Itali pada Mei 2017.

Mereka yang hadir ketika majlis penghormatan tersebut terdiri daripada ahli keluarga Hayden termasuk presiden Persekutuan Motosikal Antarabangsa, Jorge Viegas dan Carmelo Ezpeleta, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna.

Tommy Hayden meluahkan rasa terima kasih kepada penghargaan khas yang diberikan kepada adiknya itu.

“Terima kasih kepada semua yang bersama kami hari ini. Nicky amat menyayangi arena MotoGP kerana dia mengenali ramai individu yang baik.

“Nicky bukan sahaja melakar pelbagai kejayaan di atas litar malah memberi impak besar dalam kehidupan semua termasuk di luar litar.

‘Nombor 69 memberi makna istimewa dalam keluarga kami. Ayah saya berlumba dengan nombor yang sama termasuklah adik beradik kami.

“Nicky membawa nombor tersebut sepanjang kariernya jadi ini satu penghargaan kepada kami. Terima kasih kepada semua kerana memastikan legasi Nicky terus berjalan, katanya.

(SUMBER: StadiumAstro)

Sumber: StadiumAstro

Marc Marquez meneruskan dominasi dalam saingan MotoGP musim ini apabila berjaya merekodkan kedudukan pertama di GP Amerika buat kali ketujuh berturut-turut dalam kariernya.

Marquez telah pun memenangi kesemua enam perlumbaan di Litar Americas apabila dia memulakan perlumbaan di petak pertama.

Pelumba Sepanyol itu miliki peluang cerah untuk mengulangi kejayaan buat kali ketujuh di Austin selepas mencatatkan masa 2 minit 3.787 saat.

Dia juga muncul pelumba terpantas ketika sesi terakhir ujian tatkala FP3 terpaksa dibatalkan ekoran hujan lebat.

Sementara itu, pelumba veteran, Valentino Rossi bakal memberi saingan terhadap Marquez apabila bakal memulakan saingan di tempat kedua dengan Cal Crutchlow ketiga.

Dalam perkembangan lain, wakil tunggal negara, Hafizh Syahrin akan memulakan aksi di petak ke-21 selepas mencatat masa 2 minit 7.417 saat.

Keputusan sesi kelayakan:

1. Marc Marquez (Repsol Honda) 2:03.787
2. Valentino Rossi (Movistar Yamaha) 2:04.060
3. Cal Crutchlow (LCR Honda) 2:04.147
4. Jack Miller (Alma Pramac Racing) 2:04.416
5. Pol Espargaro (KTM) 2:04.472
6. Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) 2:04.489
7. Alex Rins (Team Suzuki Ecstar) 2:04.534
8. Danilo Petrucci (Ducati) 2:04.696
9. Fabio Quartararo (Petronas Yamaha) 2:04.941
10. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) 2:05.278
11. Jorge Lorenzo (Repsol Honda) 2:05.383
12. Francesco Bagnaia (Pramac Racing) 2.05.887

(SUMBER: StadiumAstro)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube