Bikesrepublic

Berita Terkini

Alex Rins dan Joan Mir bersama-sama Suzuki Ecstar melancarkan livery dan jentera baharu bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Rins dan Mir bakal turun untuk ujian pra-musim bersama GSX-RR 2020 di SIC esok hingga Ahad ini.

Jentera GSX-RR kini ditampilkan dengan gabungan warna biru dan perak yang diinspirasikan daripada Suzuki RM62 yang menyumbang kejuaraan dunia pertama bersama Ernst Degner pada kejuaraan dunia 50cc 1962.

Rins dan Mir sekali lagi menjadi tonggak pasukan musim ini tatkala Suzuki bercadang meneruskan rentak musim lalu.

Pada 2019, Rins merekodkan dua kemenangan – GP Amerika dan GP Britain – di samping berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan.

Sementara Mir mempamerkan tunggangan memberangsangkan untuk menamatkan musim lalu dikedudukan ke-12 keseluruhan meskipun terlepas aksi di Austria dan Britain susulan kecederaan.

Bagi musim ini, Suzuki mahu merapatkan jurang dengan pesaing lain dengan mempertingkatkan prestasi dan kelajuan jentera.

Pulau Pinang bakal menjadi saksi Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival pusingan ketiga yang akan berlangsung pada 15-16 Februari ini di Stadium Batu Kawan.

Aksi TGR kali ini akan menyaksikan para pelumba termasuk selebriti tanah air bersaing dalam tiga kategori, Super Sporting, Sporting dan Promotional.

Ini merupakan aksi terakhir – selepas dua aksi sebelumnya di Kuala Terengganu dan Bandar Malaysia – sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Aprili ini.

Ketua Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama, menyifatkan aksi di Pulau Pinang penting dalam menentukan juara musim ini.

“Perlumbaan di Pulau Pinang sangat penting sebagai penentu bagi pelumba musim ini.

“Bagi sesetengahnya, ini adalah peluang terakhir untuk memanfaatkan pengalaman mereka berlumba di litar jalanan dan berharap dapat mengungguli cabaran sekaligus mendahului kejuaraan.

“Bagi yang lain pula, ia merupakan medan sengit di laluan sempit untuk terus menyalakan api persaingan mereka sebagai bekal ke pusingan terakhir di dalam litar kekal nanti,” katanya.

Aksi tumpuan terarah kepada kategori Super Sporting yang ketika ini didahului Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley sementara pelawak dan selebriti terkenal, Nabil Ahmad mendahului kategori Promotional.

Bagi pengunjung yang hadir, pelbagai aktiviti disediakan antaranya pameran GR Supra, Toyota KE-10 1968 yang telah direstorasi selengkapnya, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi. Aktiviti kanak-kanak pula termasuk pertandingan bey blade, jualan model kereta Hot Wheels serta pertandingan senapang Nerf.

Italjet mengesahkan bahawa Dragster 2020 akan mula dihasilkan bermula Mei ini.

Menurut kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Italjet, Massimo Tartarini, Italjet Dragster akan ditawarkan di seluruh dunia.

“Edisi pertama – 499 unit – telah habis dijual kepada semua peminat Dragster dengan lebih 20 tempahan seluruh dunia.

“Penantian itu kini berakhir tatkala proses pengeluaran akan bermula Mei ini,” jelasnya.

Skuter baharu ini akan ditawarkan dalam dua varian, 125cc dan 200cc empat strok.

Menurut info yang dikongsikan Italjet, enjin diguna pakai mampu mencapai kelajuan maksima 125km/j dan mampu menjana 14.9hp pada 10,000rpm bagi 125cc dan 19.8hp pada 8,250rpm bagi 200cc.

Dato Farid Kamil

Pengarah dan pelakon Remp-it 2, Dato’ Farid Kamil, melancarkan SIFU International Enduro Championship 2020 yang akan berlangsung pada 28 Februari hingga 1 Mac ini.

Mendapat kerjasama Persatuan Dua Roda Malaysia (P2RM) dan FKX Film milik Farid sendiri, SIFU International Enduro Championship 2020 ini menawarkan hadiah kemenangan terbesar pernah dianjurkan dalam negara denagn lebih USD17,000 ditawarkan menerusi enama kategori.

Sebanyak tiga pusingan diadakan dengan setiap satunya dijangka menerima lebih 1,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Menariknya, pihak penganjur juga akan menawarkan hadiah istimewa kepada juara keseluruhan bagi ketiga-tiga pusingan dalam masa terdekat.

Menanti para pelumba, litar sepanjang 5.5 kilometer dengan berlatar belakangkan bandaraya Kuala Lumpur di Ukay Perdana.

Bagi menyuntik keterujaan, SIFU telah menerbangkan sendiri pelumba motosikal lasak dari Australia, Tim Coleman bagi memberi cabaran kepada peserta.

Tim Coleman

SIFU International lahir daripada buah fikiran Farid sendiri yang mahu mengetengahkan sukan permotoran di Malaysia di samping menyahut seruan untuk membantu golongan anak muda untuk tidak terlibat dengan perlumbaan haram atau gejala mat rempit dengan mewujudkan lebih banyak medan perlumbaan rasmi.

Menariknya, Farid turut mendedahkan pihaknya bercadang untuk menubuhkan pasukan sendiri untuk beraksi di saingan Cub Prix.

Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) mengumumkan tiga warna baharu bagi skuter popular, Yamaha NVX 155, hari ini.

Skuter bersesaran 155cc itu kini didatangkan dengan tiga warna pilihan, merah, kuning dan biru.

Ketiga-tiga warna ini boleh didapati di semua pengedar rasmi Yamaha bermula Februari ini.

Sementara itu, spesifikasi NVX 2020 masih lagi sama seperti model sebelumnya termasuk enjin satu silinder empat strok 155cc.

Yamaha NVX 2020 kini boleh didapati dengan harga RM10,088 (sebelum cukai dan insurans).

Masa depan Andrea Iannone di MotoGP masih lagi tergantung tatkala Mahkamah Disiplin Antarabangsa FIM masih belum membuat keputusan melibatkan kes gagal ujian doping pelumba terbabit.

Iannone didapati positif penggunaan bahan terlarang ketika ujian doping rambang yang dijalankan terhadapnya di GP Malaysia tahun lalu.

Meskipun menyifatkan keputusan itu mengejutkan, ujian sample B pelumba terbabit turut didapati positif walaupun kandungan bahan terbabit berkurangan.

Bagaimanapun, Iannone tidak akan dibenarkan melibatkan diri dengan sebarang aktiviti perlumbaan sehingga keputusan akhir dibuat berhubung kesnya.

Menurut laporan motorsport.com, keputusan sebutan kes Iannone akan dibuat dalam tempoh 10 hari.

Difahamkan, pihak pembelaan Iannone mencadangkan bahawa tiada kesan penggunaan bahan terlarang jenis steroid didapati ketika melakukan ujian terhadap sampel rambut pelumba itu.

Mereka sebaliknya mendakwa makanan diambil Iannone telah dicemari dengan bahan terlarang terbabit.

Berdasarkan senario semasa, Iannone tidak akan mengambil bahagian dalam ujian pra-musim Aprilia di Litar Antarabangsa Sepang bermula 7 hingga 9 Februari ini.

(SUMBER: Motorsport.com)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube