Bikesrepublic

Berita Terkini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mencari penunggang motosikal yang didapati bukan sahaja melawan arus malah turut menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dalam satu kejadian yang berlaku di susur Hulu Klang, Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), hari ini. 

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati, hilang kawalan ekoran berselisih dengan seorang penunggang motosikal yang melawan arus lalu terbabas sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri dan tercampak ke bawah. 

Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan serius. 

“Secara tiba-tiba, di hadapan mangsa didatangi sebuah motosikal dari arah bertentang di bahu sebelah kanan jalan. 

“Justeru, penunggang motosikal Ducati yang cuba untuk mengelak kenderaan dari arah bertentangan berkenaan terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan,” jelasnya. 

Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa telah terhumban ke bawah pada ketinggian 30 meter. 

Dalam pada itu, rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial dan mencetuskan rasa marah orang ramai terhadap penunggang motosikal yang melawan arus tersebut. – Kosmo

Umum sedia maklum bahawa Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) merupakan pengedar rasmi bagi jenama Kawasaki di Malaysia. 

Kerjasama itu menyaksikan Modenas akan menjenamakan semula model 650cc ke bawah dan dibuktikan menerusi pelancaran beberapa model sulung antaranya Modenas Ninja 250 dan Z250. 

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa EMOS akan mula memasarkan jentera 650cc di bawah payung Modenas tidak lama lagi. 

Berdasarkan info terbaru, kami diberitahu bahawa EMOS akan memperkenalkan Modenas Versys 650 pada bulan Julai ini. Perkembangan itu pastinya menggembirakan peminat motosikal di Malaysia yang menanti ketibaan model itu. 

Ini kerana setiap model yang dijenamakan Modenas dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah sekaligus menjaminkan harga yang lebih rendah berbanding ketika dipasarkan dahulu sebagai model CBU di bawah pengurusan lama. 

Menariknya, model yang akan diperkenalkan itu adalah generasi terkini yang dilengkapi dengan panel meter TFT dan enjin yang lebih efisien ekoran mencapai standard Euro 5. Pada masa sama, model terkini itu juga menawarkan fungsi KTRC (Kawasaki Traction Control) dan ABS. 

Untuk rekod, Versys 650 dikuasakan enjin parallel-twin 649cc 4-stroke DOHC, 8-valves dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 65hp dan 64Nm pada 7,000rpm

Moto Guzzi V100 Mandello merupakan model yang paling mencuri tumpuan pernah dihasilkan jenama motosikal Itali itu. Ini kerana, V100 Mandello merupakan titik permulaan Moto Guzzi melangkau ke era moden dengan jentera berteknologi tinggi. 

Selepas mendapat pujian melambung di Eropah, motosikal jenis ‘sports tourer’ itu akhirnya akan dipasarkan di Malaysia.

Berdasarkan info terbaru yang diperolehi, Moto Guzzi V100 Mandello akan dilancarkan di Malaysia pada 22 Jun ini oleh pengedar rasmi, DIDI Group. 

Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.

Buat masa ini, info terperinci terutamanya harga masih belum didedahkan namun kami beri jaminan segalanya akan terjawab pada 22 Jun ini. 

Ini bukan kali pertama laporan tentang Zontes sedang membangunkan enjin tiga silinder 800cc diterbitkan. Ini kerana hampir tiga tahun Zontes telah mencanangkan projek tersebut.

Bulan lalu juga timbul rakaman video yang memaparkan sebuah motosikal jenis adventure sedang menjalani ujian dan bunyi dihasilkan jelas merujuk kepada enjin tiga silinder. 

Namun, perkembangan terbaru mendapati Zontes bercadang untuk menggunakan platform terbaru itu bagi membangunkan tiga model berlainan yang merangkumi sebuah sportbike, naked dan adventure. 

Apa yang menarik, Motorrad Online berjaya mendapatkan gambar enjin tiga silinder daripada Zontes dan membandingkan dengan enjin tiga silinder CP3 milik Yamaha. Berdasarkan pemantauan, kedua-duanya tampak sama sekaligus memberi bayangan enjin Zontes itu mengambil ‘inspirasi’ daripada CP3 Yamaha. 

*Perbandingan antara enjin tiga silinder Zontes dan CP3 Yamaha.

Teknik ‘reverse engineering’ ini bukanlah perkara baru kerana satu lagi pengeluar China, Loncin, turut melakukan perkara sama dengan enjin Honda CB500X. 

Walaupun tiada maklumat terperinci ketika ini namun kami menjangkakan ketiga-tiga model Zontes tersebut akan tampil dengan reka bentuk moden dan futuristik seperti model sedia ada. 

Imej render yang dikongsikan sebelum ini juga memberi bayangan kasar akan reka bentuk yang akan dihasilkan. 

Apa yang pasti, pengeluar motosikal China sudah mula mengorak langkah dalam penghasilan jentera berkuasa tinggi. Jenama lain seperti CFMoto dan QJ Motor juga telah memulakan langkah lebih awal dengan masing-masing turut mendapat kepercayaan daripada jenama Barat  seperti KTM dan Harley-Davidson. 

Jadi tidak hairanlah Zontes bakal menjadi pengeluar China seterusnya yang akan turut memperkenalkan barisan motosikal berkuasa tinggi tidak lama lagi. Kami juga tidak terkejut jika beberapa model ini akan membuat penampilan di EICMA, November ini. 

Triumph Motorcycles Malaysia telah pun merasmikan pembukaan pusat pameran perdana Triumph Motorcycles Petaling Jaya, hari ini. 

Turut hadir ketika perasmian tersebut adalah Ketua Jualan Eksport Triumph Motorcycles, Cees De Rooij. Ketika ucapannya dia mendedahkan pasaran Malaysia merupakan antara daripada destinasi utama Triumph terutamanya bagi model berkapasiti kecil. 

Model yang dimaksudkan itu merujuk kepada kerjasama antara Triumph dan pengeluar India, Bajaj Auto yang akan memperkenalkan model bersesaran 400cc tidak lama lagi. 

Jelas De Rooij, model tersebut akan memasuki peringkat pengeluaran pada musim panas ini dan akan datang dengan dua varian seperti yang dilaporkan sebelum ini. 

Namun, menariknya De Rooij mendedahkan bahawa model tersebut akan turut dipasarkan di Malaysia.

“Model 400cc itu cukup sesuai untuk pasaran ini (Malaysia) dan beberapa pasaran lain di Asia. 

“Ini adalah usaha kami bagi menjadikan jenama Triumph lebih mampu milik berbanding model sedia ada,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pembangunan model baharu itu tidak akan hanya berlaku di India malah akan turut dipasang di kilang Triumph Motorcycles yang terletak di Ranong, Thailand. 

Triumph Motorcycles dijadualkan akan memperkenalkan model serba baharu itu pada 5 Julai ini dan dijangka menembusi pasaran global pada hujung 2023. 

Platform jualan alat ganti atas talian dari Malaysia, SpareXHub akan mengadakan jualan gudang besar-besaran pada 16 hingga 18 Jun ini yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi barangan alat ganti tulen BMW, Mini dan BMW Motorrad termasuk aksesori dan minyak pelincir. 

Diskaun besar-besaran itu akan melibatkan pelbagai barangan BMW, MINI dan BMW Motorrad termasuk tawaran istimewa bagi alat ganti dengan permintaan tinggi. 

Bagi pelanggan yang hadir, anda akan disambut dengan kakitangan yang berpengalaman yang akan membantu dalam mengenal pasti produk dan alat ganti. Pada masa sama, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat perundingan dan nasihat secara percuma daripada pakar.

Jualan gudang tersebut akan berjalan dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang bertempat di DPF Global Logistic Sdn Bhd, Subang Jaya. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube