Bikesrepublic

Berita Terkini

Bayangkan mengamanahkan kebanggaan dan kesayangan anda kepada seorang penjaga, hanya untuk mendapati (melalui media sosial) bahawa penjaga tersebut telah menggunakan motosikal itu tanpa izin anda. Tindakan tidak dibenarkan yang didakwa itu telah mendorong pemiliknya untuk memfailkan saman terhadap penjaga motosikalnya.

Tuntutan pemilik

Semuanya bermula apabila pemilik, Wee Yang, membeli Ducati Panigale V4S secara tunai dengan harga RM133,000 dari sebuah kedai pada 19 Jun.

Memandangkan beliau berada di luar negara pada masa itu, beliau tidak dapat menyelesaikan urusan dokumen, lalu melantik seorang kenalan tempatan untuk menguruskan proses insurans serta menyimpan motosikal tersebut.

Di dalam suatu ciapan di dalam akaun Facebook, Wee berkata dia dan penjaga motosikalnya bersetuju untuk menyimpan motosikal itu sehingga Wee pulang ke tanahair pada 1 Julai.

Dakwaan penggunaan tanpa kebenaran

Namun, Wee kemudian mendapati bahawa orang yang diamanahkan itu mula menggunakan Panigale V4S tersebut tanpa kebenaran atau pengetahuannya. Dalam hantaran Facebooknya, beliau mendakwa penjaga tersebut:

  1. Menyiarkan kandungan promosi di media sosial sehari selepas mengambil motosikal itu.
  2. Rakaman video menunggang dibuat untuk halaman perniagaan di Instagram, Xiaohongshu, dan Threads.
  3. Motosikal itu dibawa ke Desaru, Johor untuk percutian peribadi.
  4. Plat nombor palsu digunakan memandangkan motosikal itu belum didaftarkan secara rasmi.
  5. Jarak motosikal meningkat dari 26,827km kepada 27,007km.
Motosikal dihantar ke lokasi lain

Setelah mengetahui motosikal itu telah digunakan, Wee mengaturkan untuk motosikal itu ditarik ke lokasi lain.

Dalam satu hantaran pada 24 Jun, Wee juga menyatakan bahawa orang yang diamanahkan itu hanya menyerahkan satu kunci kepada operator treler, dan baru menyerahkan kunci kedua setelah pemandu treler itu berkeras.

Pemeriksaan ke atas motosikal tersebut mendapati ia dipenuhi serangga mati dan habuk, di mana Wee menegaskan bahawa motosikal itu telah digunakan di jalan raya tanpa penjagaan yang sewajarnya.

Tawaran untuk penyelesaian

Wee kemudian menawarkan dua pilihan kepada pemegang amanah untuk menyelesaikan perkara ini:

  1. Membeli semula motosikal pada harga asal yang dibayarnya (RM133,000) dan memulangkan wang insurans (RM5,000).
  2. Permohonan maaf secara terbuka mengakui kesalahan, pampasan untuk tambahan jarak, dan bayaran untuk plat nombor baharu.

Jika tawaran ini tidak diterima, Wee akan mengambil tindakan undang-undang.

Tindakan undang-undang dijalankan

Wee we membuat satu lagi ciapan pada 25 June, dengan menyatakan bahawa pemegang amanah tersebut telah memohon maaf pada pukul 11.52 malam, dua minit selepas dia (Wee) menghubungi peguamnya untuk meneruskan kes tersebut.

Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang tetap akan diteruskan atas alasan berikut:

  1. Harta miliknya (motosikal) telah digunakan tanpa kebenaran untuk tujuan berkaitan perniagaan, yang turut melibatkan kedai tempat pemegang amanah tersebut bekerja.
  2. Harta miliknya (motosikal) telah digunakan tanpa kebenaran oleh seorang individu bernama “Evon Evon” – kekasih kepada penjaga motosikal tersebut – seperti yang kelihatan dalam video menunggang dan siaran media sosial.

Peguam Wee telah menasihatkan bahawa individu kedua itu berpotensi untuk didakwa sebagai berkomplot di dalam penyalahgunaan tersebut, walaupun beliau mengakui bahawa “kes ini bergantung kepada pertimbangan hakim.”

Walaubagaimanapun, Wee turut menyatakan bahawa ruang untuk penyelesaian luar mahkamah masih terbuka.

Pengajaran penting daripada kes ini

Sudah terdapat beberapa kes di mana bengkel/kedai didapati menguji atau menggunakan kenderaan pelanggan tanpa kebenaran pelanggan seperti kenderaan digunakan untuk urusan peribadi staf, rakaman video ujian jalan dikongsi di media sosial tanpa izin, plat nombor tidak sah dipasang jika pendaftaran belum selesai. Ada juga staf yang memandu kenderaan pelanggan sehingga terlibat di dalam kemalangan.

Pemilik bengkel boleh disabitkan di bawah undang-undang Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu melanggar amanah.

Berdasarkan pengalaman penulis yang pernah bekerja di bengkel, ada pelanggan yang meminta ujian jalan menyeluruh untuk memastikan masalah kenderaan benar-benar selesai. Namun, sebarang ujian WAJIB disertakan:

  • Surat kebenaran bertandatangan.
  • Rekod jarak/km sebelum dan selepas.
  • Laporan ujian terperinci

Sebagai panduan kepada pemilik kenderaan pula, sebelum menyerahkan kenderaan, anda haruslah tandatangani borang/surat yang menyatakan:

  • Tujuan penggunaan (contonya: “Ujian jalan maksimum 20km”).
  • Larangan penggunaan media sosial.
  • Senarai pemandu yang dibenarkan.
  • Ambil gambar meter jarak dan keadaan kenderaan.

MDua Motor Sdn. Bhd. telah melancarkan satu lagi model mereka, dikenali sebagai MODA Shifter 400X. Skuter Shifter 400X merupakan kemasukan baharu dalam segmen skuter adventure, yang dibina untuk menguasai baik landskap bandar mahupun jalan lasak.

Shifter 400X membawa identiti dan falsafah terbaharu jenama – “Because I Can” (“Kerana Saya Boleh”) – memberi kuasa kepada penunggang untuk menentukan perjalanan mereka sendiri, merintis laluan sendiri, dan menjelajah mengikut gaya hidup mereka sendiri.

Ciri-ciri utama
  • Dikuasakan oleh enjin 333cc, 4-injap, silinder tunggal, SOHC, yang menghasilkan 26.8 hp @ 7,500 rpm, dan 33.5 Nm @ 5,500 rpm.
  • Fork teleskopik di depan, dan penyerap hentakan gas berkembar di belakang.

  • Cakera brek 276mm tunggal di depan, cakera brek 240mm tunggal di belakang.
  • Ciri-ciri ABS dan TCS (kawalan traksi) standard.

  • Roda depan 14-inci dan roda belakang 13-inci, dengan tayar berbunga “kulit penyu” untuk kegunaan di atas jalan raya dan jalan lasak yang ringan.
  • Ketinggian pelana 775mm.

  • Keberatan 208 kg.
  • Skrin angin dengan dua peringkat.

  • Lampu depan LED dengan ciri AFS (Adaptive Front-lighting System/Sistem Lampu Depan Adaptif) yang lebih cerah dan memberikan penyesuaian kecerahan ketika cahaya rendah serta di dalam selekoh.
  • Lampu belakang bentuk “V” dengan ciri ESS (Emergency Stop Signal/Isyarat Berhenti Kecemasan) ketika berhenti dengan mengejut.

  • Penghidupan tanpa kunci dengan kunci kawalan jauh premium.
  • Sistem immobiliser menampilkan ciri anti-kecurian dan pagar elektronik yang memaklumkan pemilik jika skuter-nya telah dipindahkan jauh daripada jarak yang ditentukan.

  • Ruang simpanan barang di bawah pelana yang dicahayakan.
  • Skrin TFT 7-inci yang menunjukan data seperti pemantau tekanan angin tayar (TPMS), dan menyesuaikan kecerahan bergantung kepada keadaan cahaya persekitaran.

  • Dua port pengecas – satu dengan USB 12V dan satu jenis pencucuh rokok.
  • Pautan kepada telefon Apple dan Android bagi ciri navigasi dan panggilan telefon.

  • Kamera “dashcam” depan dan belakang yang merakam perjalanan anda, dan video boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon.

MODA Shifter 400X boleh didapati dalam dua warna iaitu Ninja Black dan Ultra White, dengan harga jualan RM23,888, tanpa insuran, cukai jalan, dan pendaftaran.

Bagi maklumat penuh, sila layari laman sesawang MODA Motorcycles rasmi di    http://www.modamotorcycles.com/models/shifter-400x.

Galeri foto

Jenama ikonik Dainese telah dijual dengan harga simbolik EUR1 (1 Euro), setelah menanggung hutang yang mencecah sekitar EUR300 juta.

Jualan ini diatur oleh dana berpusat di London, Arcmont Asset Management dan HPS Investment Partners (yang baru-baru ini diambil alih oleh BlackRock), yang mengambil alih daripada dana pelaburan Carlyle. Carlyle, sebaliknya, telah memperoleh Dainese daripada Investcorp dengan harga EUR630 juta pada tahun 2022.

Berita mengejutkan ini dilaporkan oleh majalah Sport E Finanza. Walaubagaimanapun, Dainese sendiri belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini, begitu juga dengan Arcmont dan HPS.

Jenama Dainese telah bergelut dengan hutang setelah mencatatkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut, dengan defisit mencecah EUR120 juta pada tahun lepas. Prestasi yang lemah ini menyebabkan hutangnya melambung kepada EUR300 juta berbanding EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan) sebanyak EUR20 juta, yang memberikan nisbah hutang:EBITDA sebanyak 15:1.

Pemilik baharu telah menyatakan hasrat mereka dengan jelas: untuk mengukuhkan struktur kewangan Dainese dan meningkatkan fleksibilitinya setelah menghadapi cabaran pasaran. Namun, belum ada berita mengenai nasib pekerja, pembekal, dan pelanggan Dainese.

Hanya masa yang akan menentukan masa depan jenama ikonik ini.

Sumber: Sport E Finanza

Seorang penunggang motosikal maut setiap dua jam. Itulah statistik membimbangkan yang didedahkan oleh pihak berkuasa dan pakar keselamatan jalan raya, yang juga menyatakan bahawa hal ini tidak boleh lagi dianggap sebagai sesuatu kebiasaan.

Pengarah Pusat Faktor Manusia dan Tingkah Laku Pengguna Jalan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Ir Ts Azhar Hamzah, berkata penunggang motosikal masih mendominasi statistik kematian di jalan raya, menyumbang hampir 70 peratus daripada semua kes kematian. Ucapan dan cadangannya disampaikan hanya beberapa jam sebelum satu kemalangan maut berlaku di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur yang mengakibatkan tiga penunggang motosikal terbunuh.

Bayangkan, 12 orang mati setiap hari. Setiap dua jam, seorang penunggang motosikal maut,” kata Azhar semasa Forum Media Allianz Malaysia yang diadakan di Aloft Kuala Lumpur Sentral pada hari Selasa.

Beliau berkata banyak kematian ini boleh dielakkan jika negara mengambil langkah proaktif dalam pendidikan, latihan, dan perubahan tingkah laku.

Pencegahan adalah keselamatan terbaik untuk penunggang motosikal. Kita tidak boleh bergantung hanya pada langkah selepas kejadian. Yang terbaik adalah pencegahan,” katanya.

Azhar menyatakan bahawa motosikal pada asalnya direka untuk perjalanan jarak pendek, tetapi telah menjadi pengangkutan utama untuk perjalanan jarak jauh di Malaysia, walaupun dengan batasannya.

Beliau juga berkata budaya jalan raya di Malaysia telah menormalkan perilaku berisiko seperti memotong celah kenderaan dan memecut, sambil menambah bahawa tindakan sebegitu masih berada dalam kawasan kelabu di bawah peraturan jalan raya semasa.

Di Malaysia, ini sudah menjadi budaya. Penunggang motosikal bergerak melalui celah-celah kereta dan jalan untuk mengekalkan kestabilan. Sama ada ia betul atau salah masih tidak jelas, kerana Akta Pengangkutan Jalan juga agak kabur,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa mengubah tingkah laku penunggang dan menguatkuasakan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) adalah keutamaan mendesak.

Kita perlu mengawalnya melalui jalan raya yang lebih baik, reka bentuk motosikal yang lebih stabil, dan peraturan yang lebih ketat,” katanya.

Penunggang p-hailing menghabiskan masa lima kali lebih lama di jalan raya berbanding pengguna motosikal biasa. Jadi, risikonya lebih tinggi,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan bahawa memperlahankan kelajuan adalah salah satu cara terpantas untuk mengurangkan kematian penunggang motosikal.

Jika kita kurangkan kelajuan, kita dapat hasil serta-merta. Jika anda menunggang lebih perlahan, risiko anda akan turun dengan segera,” katanya.

Azhar menggesa agensi kerajaan, syarikat swasta, dan orang ramai untuk bertindak segera.

Jika anda menunggang motosikal, bertindaklah sekarang. Jangan tunggu,” tegasnya.

Allianz Malaysia, MIROS, Platform P-Hailing Kerjasama untuk Keselamatan ‘Rider’

Kami telah menguji skuter demi skuter sejak Disember 2024, termasuk di China dan Taiwan. Beberapa model juga telah dilancarkan di Malaysia dalam tempoh tersebut, salah satunya ialah QJMotor AX200s (2025).

Sejak itu, skuter ini telah mendapat reputasi yang cukup baik dalam segmen skuter ringan, dengan banyak ulasan memberikan pelbagai pujian; disertai dengan perkataan “mantap.”

Oleh itu, kami ingin menyiasat sendiri sama ada tuntutan itu benar atau tidak.

Apakah QJMotor AX200s (2025) ini?

AX200s dilancarkan pada Mei 2025, sebagai satu lagi model yang diedarkan oleh pengedar gergasi, MForce Bike Holdings.

QJMotor, juga dikenali sebagai Qianjiang Motorcycle, ialah pengeluar motosikal China yang ditubuhkan pada tahun 1985. Sejak itu, syarikat ini berkembang pesat dan kini mengendalikan jenama Keeway dan Benelli. QJ juga merupakan sebahagian daripada Geely Holding Group. Harley-Davidson pernah bekerjasama dengan QJMotor pada 2019 untuk menghasilkan motosikal berkuasa 338cc bagi pasaran Asia.

Beralih kepada AX200s, ia merupakan skuter automatik berkuasa kecil, tetapi lebih condong ke arah sekmen skuter sport, bukannya skuter adventure yang popular masa ini. Oleh itu, QJMotor tidak menyembunyikan niat motosikal ini dengan memberikannya rekabentuk yang tajam dan agresif.

Harus diakui, AX200s ini tidak dapat lari daripada perbandingan dengan Yamaha NVX akibat kemiripan gaya visual yang ditampilkan.

Ciri-ciri utama QJMotor AX200s (2025)

  • Enjin 175cc, silinder tunggal, SOHC, 4 injap yang menghasilkan 17.0 hp (13.0 kW) pada 8,500 RPM dan 15.2 Nm pada 6,500 RPM.
  • Suspensi depan menggunakan fork teleskopik, manakala suspensi belakang menggunakan penyerap hentak kembar dengan redaman minyak.
  • Cakera brek 230mm tunggal di depan, dan cakera brek 220mm tunggal di belakang.

  • ABS dwi saluran dan TCS (sistem kawalan traksi) yang boleh dinyahaktifkan.
  • Tayar depan bersaiz 100/80-14 dan yang belakang 120/70-14.
  • Ketinggian pelana penunggang 730mm.

  • Tangki minyak 10 liter.
  • Berat kering 127 kg.
  • Skrin LCD dengan “butang-butang” sentuhan (touchscreen).

  • Fungsi idle stop yang mematikan enjin ketika berhenti.
  • Pencahayaan LED.

Daripada sudut ciri, AX200s mendahului dalam beberapa aspek seperti kapasiti enjin yang menghasilkan kuasa dan tork maksimum lebih tinggi, dilengkapi brek cakera belakang, tangki minyak lebih besar, dan panel meter skrin sentuh. Yang kurang hanyalah ciri sambungan smartphone seperti Yamaha Y-Connect – tapi memang tak boleh dapat semua kelebihan sekali, kan?

Ulasan Tunggangan

Pra-tunggangan

Pendapat pertama kami terhadap QJMotor AX200s adalah betapa kompaknya skuter ini – begitu kecil sehingga mudah disalah anggap sebagai skuter 100cc. Jarak dari lampu depan ke lampu belakangnya pendek, hendalnya sempit, dan tempat duduk penumpang yang kecil. Ia betul-betul memberikannya rupa yang sporty tetapi comel.

Seperti skuter lain, semua komponen tersusun rapi di bawah panel badan yang direka dengan kemas. Dan bercakap tentang kemasan, apa pun pandangan anda tentang pengeluar motosikal China, skuter ini menunjukkan kualiti: Catnya sempurna, tiada sisi kasar pada plastik, dan bahagian logam mempunyai kemasan yang licin.

Kotak simpanan barang di depan agak kecil, hanya muat untuk telefon pintar saiz standard dan port pengecasan USB-C. Ruang penyimpanan di bawah tempat duduk juga terhad kerana rekabentuk luaran yang kompak.

Daripada segi instrumentasi, data dipaparkan pada skrin LCD warna yang cantik. Tulisan dan ikon begitu tajam sehingga ada yang menyangkanya skrin TFT. Tiada butang fizikal untuk menukar maklumat atau mematikan kawalan traksi, sebaliknya, anda perlu tekan “SET’ sehingga berkelip, kemudian ketik ikon “ADJ” untuk memilih. Sistem ini masih berfungsi walaupun memakai sarung tangan yang sesuai dengan skrin sentuh.

Tunggangan harian

Bagi penunggang ini yang berketinggian 167cm dengan kaki dan lengan yang pendek, kedua-dua kakinya dapat menjejak tanah dengan mudah. Hanya perlu berjungkit sedikit, tetapi tidak sampai seperti penari balet, berkat pelana yang rendah dan reka bentuknya yang menirus tajam ke bahagian depan. Walauapapun, pijakan tetap stabil, dan keringanan motosikal ini dapat dirasai serta-merta—mudah ditolak sambil duduk, walaupun ketika mendaki lereng yang landai.

Jarak ke hendal terasa pendek, terutamanya selepas beralih dari motosikal besar. Pada mulanya, kami berasa seperti siku kami tumbuh daripada dada! Namun, setelah membiasakan diri dan melebarkan siku sedikit, posisi menunggang menjadi lebih selesa dan semula jadi.

AX200s tetap sebuah skuter yang mudah—hanya perlu duduk, putar Smart Key ke posisi ON, hidupkan enjin, pulas pendikit, dan ia terus memecut. Tidak perlu membuang masa untuk memilih mod menunggang mahupun sistem sambungan telefon.

AX200s meluru laju daripada keadaan berhenti seperti kena renjatan, dan terus melaju selagi pendikit dibuka. Sekilas pandang cermin sisi—rupanya kami sudah meninggalkan semua kenderaan lain di lampu isyarat!

Keupayaan tork (pecutan) AX200s tidak terhad pada RPM rendah sahaja—enjinnya seolah-olah mempunyai rizab tork yang besar di mana-mana julat RPM sehingga kelajuan maksimum. Tindakbalas tork pantas ini memudahkan proses memotong kenderaan lain, sama ada di jalan biasa mahupun lebuh raya. Malah, kelajuan maksimumnya dicapai dengan begitu pantas.

Sebaliknya, apabila pendikit ditutup secara tiba-tiba, kesan brek enjin terasa kuat serta-merta. Ini menunjukkan motosikal ini menggunakan roller yang ringan dalam transmisi CVT-nya, oleh itu memberikan respon yang lebih agresif. Sebaliknya, roller yang berat melambatkan pecutan tetapi memberikan daya lajak apabila pendikit ditutup.

Hasilnya, respon pendikit terasa sedikit kasar ketika pertama kali dibuka atau ditutup dengan cepat, terutamanya ketika menunggang dalam keadaan trafik yang sesak. Namun, kami menyesuaikan diri dengan mengekalkan pendikit terbuka sedikit dan menarik brek secara perlahan-lahan.

Bagi sistem brek, ia sangat kuat. Keberatan kebanyakan skuter tertumpu di bahagian belakang, jadi brek belakang AX200s lebih berkuasa berbanding brek depan. Namun, itu tidak bermakna brek depan lemah, kerana dengan menggunakan brek depan sahaja pun sudah cukup untuk memberhentikan motosikal dengan stabil dan terkawal.

Satu lagi ciri yang kami sangat gemari ialah pengendaliannya. Memang tidak dinafikan skuter sebegini lazimnya mempunyai stereng yang lincah, tetapi AX200s turut mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh – tidak seperti sesetengah skuter yang membuatkan hendal bergoyang. Hasilnya, kami begitu yakin bermain selekoh dengan laju seolah-olah menunggang motosikal yang lebih besar.

Tambahan lagi, kelegaan bumi yang banyak ketika bermain selekoh amat mencukupi. Kami sengaja menguji sama ada topang tengah atau bahagian lain akan menggesel permukaan jalan ketika di selekoh tajam, namun tidak berjaya walaupun melalui selekoh 90 darjah pada kelajuan tinggi.

Prestasi kendalian yang baik ini disokong oleh sistem suspensi dan rangkanya. Fork depan kelihatan biasa, tetapi ia tidak ‘menyelam’ secara mendadak seperti kapal selam Titan walaupun ketika membrek keras yang mengaktifkan ABS. Kedua-dua penyerap hentakan belakang pula menawarkan ciri redaman berperingkat (progressive damping) yang sangat berguna terutama ketika di selekoh.

Walaupun begitu, suspensi skuter bandar seperti AX200s mempunyai jarak gerakan yang terhad berbanding skuter adventure. Kesannya, perjalanan berasa agak kasar ketika melalui lubang atau bonjolan tajam. Namun, ini masih lebih baik berbanding suspensi yang terlalu lembut sehingga membuatkan motosikal terayun-ayun seperti bot.

Yang menarik, enjin ini masih menjimatkan minyak walaupun kerap dipacu laju dan ciri idle stop dinyahaktifkan. Sepanjang tempoh ujian, kami hanya mengisi separuh tangki sekali—itu pun selepas mengambil motosikal dengan amaran bahan api rendah. Dengan tangki penuh 10 liter, AX200s mampu membawa anda merentasi jarak yang jauh tanpa masalah.

Oh ya, mengenai amaran bahan api rendah: AX200s akan menghidupkan lampu isyarat kecemasan secara automatik apabila paras minyak terlalu kritikal. Ini berfungsi sebagai peringatan kepada penunggang dan pengguna jalan lain bahawa enjin mungkin akan mati pada bila-bila masa. Yang menarik, sistem ini akan menyahaktifkan dirinya sendiri selepas anda mengisi minyak.

Kesimpulan

Kami benar-benar terhibur dan gembira semasa menguji AX200s. Skuter ini membuktikan mengapa skuter semakin popular masa kini—kemudahan menjadi faktor utama. Namun, AX200s menawarkan lebih daripada itu; ia memberikan keseronokan menunggang yang tulen, bahkan mampu menyegarkan semula minat penunggang motosikal ‘otai’ seperti kami.

Satu-satunya keluhan kami ialah ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang agak kecil, namun ia masih memadai untuk muat beg barang runcit tiga hari. Secara objektifnya, tidak semua orang perlu membawa komputer riba saban hari seperti kami.

Secara keseluruhannya, QJMotor AX200s (2025) merupakan produk yang bagus dan layak mendapat perhatian. Dengan harga bermula dari RM7,988 (harga belum termasuk pendaftaran & insurans), ia pasti menawarkan nilai yang menarik untuk prestasi dan keseronokan yang diberikannya.

Galeri foto

Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan platform p-hailing terkemuka Foodpanda Malaysia, Lalamove Malaysia dan Grab Malaysia menekankan kepentingan keselamatan penunggang terutamanya dalam industri p-hailing yang berkembang pesat di negara ini. Inisiatif ini menekankan tanggungjawab bersama dalam melindungi pihak berkaitan termasuk agensi Kerajaan, badan korporat, penunggang p-hailing dan Masyarakat umum untuk melindungi dan menyokong kesejahteraan pekerja.

Forum Media Allianz Malaysia 2025 yang diadakan di sini hari ini, pihak berkepentingan dalam industri berkumpul untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan meneroka strategi kolaboratif untuk ekosistem penghantaran yang lebih selamat. Forum ini menekankan peranan penting penunggang p-hailing dan kepentingan strategi keselamatan menyeluruh untuk menyokong mereka.

Industri p-hailing, yang merangkumi penghantaran makanan dan bungkusan yang telah mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun yang lepas. Ini didorong oleh permintaan yang tinggi untuk penghantaran yang mudah dan cekap yang telah menyoroti menyoroti keselamatan penunggang p-hailing, yang sering terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Sebagai peneraju dalam perlindungan, Allianz Malaysia menyatakan komitmennya dalam menambah baik keselamatan penunggang melalui kerjasama strategik. Forum Media Allianz Malaysia 2025 menampilkan perbincangan panel dengan wakil dari MIROS dan platform p-hailing terkemuka, termasuk Lalamove Malaysia, foodpanda Malaysia dan Grab Malaysia. Para pakar industri ini bertukar pandangan berharga mengenai cabaran semasa yang dihadapi oleh sektor p-hailing dan membincangkan usaha bersama untuk memperbaiki keselamatan penunggang.

Penunggang p-hailing memainkan peranan penting dalam masyarakat, berfungsi sebagai tulang belakang sektor logistik yang berkembang di negara ini dalam perkembangan ekonomi. Dari makanan dan barangan runcit kepada barangan penting, penunggang memastikan akses yang mudah kepada keperluan harian di samping membantu perniagaan kecil mengembangkan perniagaan mereka. Kebanyakannya adalah penyara tunggal keluarga yang berdepan dengan risiko jalan raya untuk menyara keluarga.

Mengiktiraf sumbangan penunggang p-hailing, platform p-hailing telah melaksanakan pelbagai iniasiatif keselamatan untuk menyokong kesejahteraan mereka. Walaubagaimanapun, melindungi kesejahteraan mereka kekal sebagai tanggungjawab Bersama yang memerlukan langkah yang teratur dan lestari.

Allianz Malaysia MIROS P-Hailing

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, “Di Allianz Malaysia, kami percaya bahawa keselamatan penunggang adalah tanggungjawab bersama. Kami komited bukan hanya untuk menyediakan penyelesaian insurans tetapi juga secara aktif menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di sekitar kami. Usaha kami melangkaui keuntungan, dan dalam hal ini, kami berusaha untuk berbakti kepada masyarakat dengan  melaksanakan dan menyokong inisiatif keselamatan penunggang  yang akan meningkatkan keselamatan dan keselamatan untuk semua pengguna jalan raya.

Ir. Ts. Azhar Hamzah, Pengarah Pusat Faktor Manusia dan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya (HUB) di MIROS turut bersetuju, “Misi kami di MIROS adalah untuk memastikan keselamatan jalan raya untuk semua. Kami percaya bahawa  keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan  melalui penyelidikan kami, yang bertujuan untuk mendedahkan risiko dan cabaran yang dihadapi oleh pengguna jalan raya serta  mengenal pasti potensi penyelesaian untuk meningkatkan  keselamatan penunggang dan menyokong sara hidup keluarga mereka. Bersama-sama, kita boleh mengubah pandangan menjadi tindakan yang lebih berkesan.

Selaras dengan komitmen untuk meningkatkan keselamatan penunggang, Allianz Malaysia akan mengadakan dua program latihan dengan kerjasama Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya. Program pertama akan memberi tumpuan kepada latihan  keselamatan penunggang dan dan kelangsungan hidup dalam kecemasan jalan raya bersama syarikat p-hailing, melengkapkan usaha mereka, bertujuan untuk membekalkan penunggang  dengan kemahiran dan pengetahuan penting untuk menavigasi jalan dengan selamat. Program kedua akan disesuaikan untuk pelajar universiti awam dan swasta, memupuk budaya kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda.

Sean turut mengulas, “Kerjasama kami dengan Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya adalah bukti komitmen kami untuk melindungi pengguna jalan dan meningkatkan pengetahuan keselamatan jalan. Dengan memberi kuasa kepada penunggang  dan mendidik pelajar, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua orang di jalan  raya.

Allianz Malaysia tetap teguh dalam misinya untuk menjaga masa depan dan meningkatkan keselamatan jalan raya melalui langkah-langkah proaktif dan kerjasama strategik. Forum Media Allianz Malaysia 2025 dan program latihan yang akan datang adalah langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat untuk komuniti p-hailing Malaysia serta komuniti yang lebih luas.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube