Bikesrepublic

Berita Terkini

Yamaha ketika ini menghuni ranking ketiga dengan jentera R1 mereka berada di belakang Ducati dan Kawasaki bagi Kejuaraan Superbike Dunia FIM (SBK).

Jentera empat silinder dari Iwata itu sememangnya memiliki chasis yang mantap dan memainkan peranan penting di beberapa litar terpilih, dibuktikan apabila pelumba, Michael Van Der Mark merekodkan dua podium di Assen.

Bagaimanapun, ramai yang berpendapat Yamaha masih ketinggalan di belakang Ducati terutamanya daripada aspek enjin.

Musim ini, Yamaha melakukan menambah beberapa elemen baharu ketika sesi ujian di Misano dengan melakukan perubahan pada bahagian tangki dan tempat duduk penunggang.

“Perubahan ini dihargai para pelumba tetapi kami akan terus bekerjasama untuk membuat penilaian sebenar,”ujar Andrea Dosoli, Pengurus Yamaha Motor Eropah.

Ketika Di Assen, Van Der Mark berjaya menduduki tempat ketiga bagi perlumbaan pertama dan naik satu kedudukan bagi perlumbaan kedua dan Dosoli menyifatkan keputusan itu menempatkan Yamaha atas landasan yang tepat.

“Kami mempamerkan banyak peningkatan tahun ini tetapi taraf kejuaraan ini turut meningkat. Kami teruja kerana berjaya memperbaiki catatan masa dari 7-10 saat di semua litar. Kami akan terus cuba untuk menutup jurang dengan pendahulu, Alvaro Bautista yang ketika ini sedang mempamerkan aksi mantap,” tambah Dosoli.

Bagaimanapun, Dosoli menegaskan selain daripada melakukan penambahbaikan terhadap jentera R1, mereka tidak akan mengikut jejak Ducati.

“Tak masuk akal untuk kami menghasilkan motosikal ‘production’ yang menyerupai sebuah jentera MotoGP, tak masuk akal bukan? Sebaliknya, kami perlu membina jentera yang mengikut permintaan pasaran. Setiap pengeluar akan membuat penilaian sendiri dengan menawarkan pelanggan produk yang terbaik.

“SBK merupakan platform untuk mempromosikan jentera yang akan dijual kepada orang ramai. Kami perlu duduk dan berbincang untuk mencari jalan bagaimana untuk menggabungkan keperluan berlumba dengan permintaan pelanggan. Kami berpuas hati dengan jentera R1 jadi kami tidak perlu melakukan sebarang rombakan,” ujarnya.

(SUMBER: GPOne.com)

BMW Malaysia memperkenalkan BMW M2 Competition serba baharu, sebuah jentera premium berkuasa yang bakal mengubah segmen kereta sport dan mengujakan peminat yang dahagakan keterujaan maksima.
`
Pengarah Urusan, BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata,”M adalah simbol kuasa untuk sekian lamanya. Setiap kali generasi M baharu dilahirkan, petanda aras baharu turut dicipta.

“BMW M2 Competition merupakan model yang diinspirasikan daripada jentera turbocharged sulung BMW yang diperkenalkan pada 1973,”jelasnya.

BMW M2 Competition menggunakan enjin serba baharu berdasarkan ‘power unit’ yang terdapat pada BMW M3 dan M4. Enjin in-line enam silinder dengan teknologi Twin Power Turbo ini menghasilkan 410hp pada 5,230 hingga 7,000 rpm dan mampu bergerak 0 hingga 100km/j di bawah 4.2 saat.

Segala kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi M Double Clutch tujuh kelajuan dengan Drivelogic. Sistem ini menggabungkan dua kotak gear dengan masing-masing memiliki klac sendiri sekaligus memastikan pertukaran gear berlaku dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Pada masa sama, buat julung kalinya pemandu boleh mengubah perwatakan kenderaan dan tetapan enjin serta fungsi Drivelogic.

Antara ciri lain yang terdapat pada BMW M2 Competition:

  • Dynamic Stability Control (DSC)
  • M Dynamic Mode (MDM)
  • Cruise Control

Bagi pelanggan yang berminat, BMW menawarkan Plan Kewangan Balloon daripada BMW Group Financial Services Malaysia di mana BMW M2 Competition boleh dimiliki dengan bayaran bulanan bermula dari RM7,158 sebulan (berdasarkan pinjaman 80 peratus dengan bayaran balik 5 tahun).

Antara pengalaman pemanduan ditawarkan BMW Group Malaysia bagi pemilik baharu adalah:

  • Waranti perbatuan tanpa had 5 tahun dengan program servis penyelenggaraan percuma
  • Waranti tayar 2 tahun
  • BMW Roadside Assistance dan Accident Hotline
  • BMW Group Loyalty
  • BMW Service Online

Lebih 100 pemilik Ferrari dari setiap pelusuk dunia bertemu di Campania bagi memeriahkan Ferrari Cavalcade edisi ke-8.

Acara tersebut menawarkan pengalaman pemanduan unik kepada setiap pelanggan Ferrari dengan melalui laluan menarik dan pada masa sama menghargai sepenuhnya prestasi keseluruhan jentera Ferrari antaranya, Ferrari Portofino dan 488 Pista Pilota serta beberapa model keluaran terhad seperti Enzo dan La Ferrari Aperta.

Lebih 200 pengumpul dan peminat telah menghangatkan perjumpaan kali ini dengan perwakilan terbesar datangnya dari Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah. Terdapat juga peminat daripada Asia, New Zealand dan Australia sekaligus menandakan jenama Ferrari sentiasa miliki daya penarik di seluruh dunia.

Mereka yang terlibat berpeluang untuk memandu jentera Ferrari sambil menghargai pemandangan di Amali dan Campania, dari Parco del Partenio sehingga ke Vesuvius.

Pengembaraan tersebut bermula pada 18 Jun lalu dengan bandar Benevento menjadi tapak persinggahan pertama sebelum bergerak ke Salerno, Amalfi Coast dan seterusnya Sorrento

Pada 20 Jun lalu, Cavalcade singgah ke Istana Diraja Caserta dan bandar Naples sebelum ke Piazza del Plebiscito. Hari terakhir pengembaraan berlangsung dari Capri ke Anacapri.

Hakikatnya, jenama Moto Guzzi masih lagi di anggap asing dikalangan peminat jentera dua roda terutamanya  di Malaysia. Menyedari perkara ini,  Moto Guzzi bertindak memperkenalkan jentera Enduro Klasik baharu,  V85TT yang secara rasminya dilancarkan di Rimba Valley, Janda Baik, hari ini.

Untuk memudahkan pemahaman,  kami berikan 5 sebab mengapa Moto Guzzi V85TT menandakan permulaan baharu jenama Itali itu dalam menoktahkan kedudukan dalam pasaran negara.

1. Reka bentuk unik

Setiap jentera Moto Guzzi tampil dengan rekaan unik dan ikonik. V85TT turut mendapat suntikan klasik meskipun tampil sebagai jentera Enduro sekaligus mampu mencuri tumpuan orang ramai. Moto Guzzi sememangnya pakar dalam memperjelaskan erti sebenar jentera klasik.

2. Enduro Klasik

Sebut sahaja jentera Enduro,  pastinya ramai boleh meneka motosikal apa yang tergolong dalam kumpulan tersebut namun senario sama tidak berulang apabila menyentuh tentang jentera Enduro Klasik.

3.  Enjin

V85TT didatangkan dengan enjin bersesaran 853cc 90° V Twin yang menghasilkan 80hp dan 80Nm. Model ini menggunakan bahan titanium sepertimana yang terdapat pada ‘race bikes’.

Enjin ini juga merupakan blok kecil sulung Moto Guzzi yang mampu mencapai 8,000rpm dengan mudah.

4. Jimat minyak

“Model ini jauh lebih jimat berbanding Perodua Myvi, ” demikian kenyataan berani oleh wakil Moto Guzzi mengenai V85TT yang didatangkan dengan tangki 23 liter.

5.  Ciri-ciri canggih

Meskipun tampak klasik,  V85TT dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan elektronik yang dapat memaksimumkan pengalaman tunggangan.

Antara ciri tersebut adalah:

  • 3 mod tunggangan (Road,Rain,Off-Road)
  • MGCT Traction Control
  • ABS
  • Cruise Control
  • Daylight Running Light (DRL)
  • Moto Guzzi MIA (Multimedia platform)

Meskipun menyedari pasaran jentera Enduro agak sengit di Malaysia namun Moto Guzzi yakin pengenalan V85TT mampu memberi saingan terutamanya dengan harga bermula daripada RM79,888 bagi model standard.

Bagi anda yang berminat untuk melihat jentera ini dengan lebih dekat, kunjungi pusat pameran Moto Guzzi di Gasket Alley, Petaling Jaya!

Sumber: Caricos.com

Mitsubishi mengakhiri legenda Lancer Evolution dengan pelancaran model Final Edition pada 2015. Sejak daripada itu, Mitsubishi berulang kali menekankan bahawa Evo akan terus terkubur sebagai legenda dan tidak akan membuat penampilan semula.

Bagaimanapun, menurut laporan baharu oleh Autocar, Mitsubishi didakwa telah membuat pusingan U dan akan kembali dengan Lancer Evo serba baharu!

Autocar mendakwa generasi ke-11 Lancer Evo akan didatangkan dengan enjin daripada Renault Megane RS Trophy-R – 1.8 liter dengan 296hp dan 400Nm tork.

Bagaimanapun, hasil kerjasama di antara Renault-Nissan-Mitsubishi, dikhabarkan Lancer Evo XI akan datang bakal dilengkapi enjin 2.0 liter yang mampu menghasilkan 341hp dan 433Nm tork.

Jika dakwaan ini berasas, angka tersebut masih jauh ketinggalan di belakang Lancer Evolution X FQ-440 MR yang menghasilkan 440hp dan 559Nm tork.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa Evo XI akan menggunakan platform CMF-C/D F4 dengan sistem ‘all-wheel drive’.

Ketika ini masih tiada sebarang maklumat mengenai tarikh model ini akan dilancarkan namun pastinya peminat Lancer Evo tidak sabar untuk menyaksikan model ini kembali bersaing dengan seteru utama, Subaru WRX STI.

(SUMBER: Moto1)

Sebagai penghargaan terhadap pemilik Isuzu D-Max di Malaysia, Isuzu Malaysia mahu memberi ganjaran terhadap pemilik yang telah merekodkan perbatuan yang tinggi dengan kenderaan mereka menerusi Cabaran Super Mileage!

Pemilik D-Max hanya perlu menghantar maklumat terperinci secara atas talian (online) sebelum 31 Julai 2019 untuk berpeluang memenangi hadiah utama, RM15,000!

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan pemilik Isuzu D-Max.

“Kebanyakan pemandu Isuzu merekodkan perbatuan tinggi susulan setiap kenderaan Isuzu menawarkan kebolehpercayaan yang tinggi dan kos penyelenggaraan yang rendah.

“Sekaligus ia bukan senario yang pelik apabila rata-rata daripada mereka merekodkan perjalanan beratus kilometer dalam masa seminggu. Kami berkenan untuk bertemu dengan pemilik sedemikian untuk mengetahui bagaimana jentera Isuzu membantu mereka setiap hari,”katanya.

Peraduan ini dibuka kepada pemilik individu dan korporat yang telah merekodkan minimum 200,000km dengan kenderaan mereka. Menerusi laman sesawang Isuzu Malaysia, pemilik yang perlu mengikuti arahan mudah untuk memuat naik bukti mereka telah melebihi perbatuan minimum ditetapkan termasuk keadaan kenderaan mereka.

Pemilik yang merekodkan perbatuan tertinggi akan membawa pulang hadiah bernilai lebih daripada RM38,888.

Layari isuzumalaysia.net untuk maklumat lanjut.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube