Bikesrepublic

Kemalangan Maut

Tiga lelaki maut selepas lori simen yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Merit, Kapit, Sarawak, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit digerakkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan lebih kurang 11.35 pagi.

Bagaimanapun, berikutan jalan ke lokasi adalah jalan balak, anggota terpaksa menaiki dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen itu, untuk sampai ke lokasi kemalangan.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan sebuah lori simen dinaiki tiga orang pekerja yang jatuh gaung sedalam enam meter,” kata jurucakap itu.

Pasukan bomba telah memotong bingkai cermin lori tersebut bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah George Wong dan Steven Janggai Bungkang kedua-duanya berusia 33 tahun, serta Bunyau Manggie, 40.

Mereka dinaikkan ke jalan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dua motosikal berkuasa tinggi ditunggang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia terbabit kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer (KM) 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara, mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi patah kaki kanan.

Mangsa yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Insiden itu turut menyebabkan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata nahas kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah sama didakwa merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nizam.

“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal ditunggang Muhammad Nizam hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kecemasan.

“Pada masa sama, rakannya yang sedang menunggang motosikal di belakang dalam lorong kecemasan pula dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan Muhammad Nizam disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat parah di kepala. Seorang lagi mangsa patah kaki kanan, dan menjalani ujian sinar-X pada kepala di hospital,” katanya.

Zaidy berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan menghala ke utara dengan menunggang motosikal Kawasaki KLE650-C masing-masing.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu bertugas sebagai pegawai Imigresen di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

“Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan itu. Hasil siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Allahyarham Danial Danish Mohd Ali, 14, yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 pada Sabtu lalu, bagaikan ‘tahu’ apa yang akan berlaku tiga hari sebelum menemui ajal dalam nahas terbabit.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati itu seakan-akan mendapat firasat mengenai percutian keluarganya akan bertukar tragedi dalam satu karangannya ketika peperiksaan pada Rabu minggu lalu.

Danial menulis satu karangan Bahasa Melayu yang menceritakan kenderaan keluarganya terbabit kemalangan jalan raya.

Menerusi karangan itu, dia menulis ‘pada ketika itu di tengah jalan raya tengah sesak dan ada kereta merempuh kereta keluarga saya. Selepas dia merempuh dan kereta saya tidak boleh bergerak langsung’.

Dia juga menulis ‘keluarga saya telefon ‘towing’ (trak tunda), saya dan mak saya ikut orang yang menolong di tempat tadi dan kita orang duduk di tempat rehat dari pukul 6 petang hingga pukul 3 pagi’.

Dalam karangan itu, Danial juga menulis, ‘saya bosan menunggu ‘towing’ ambil kita orang dan kereta itu ‘total lost’.

Memetik laporan FMT, pada malam kemalangan itu berlaku, guru Danish sedang menanda karangan pelajar, termasuk kertasnya.

Selepas mendapat tahu tragedi itu keesokannya, guru terbabit menyemak semula karangan Danial dan terkejut dengan kandungannya.

Ibu saudara Danial, Azlina Mohamad, 44, memberitahu FMT dia tergamam melihat butiran dalam karangan anak saudaranya.

“Karangan arwah (Danial) mengejutkan saya. Saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan mengenainya,” katanya.

Tangkap layar karangan sepanjang 159 patah perkataan itu dikongsi bapa saudara Danial, Azreen Mohamad di Facebook.

Beliau menulis, ‘Dapat SS (tangkap layar) karangan anak buah yang meninggal, karangan yang ditulis seolah-olah menceritakan hal sebelum kemalangan sebenar berlaku, mungkin isi karangan kebetulan mirip kejadian sebenar, semoga syurgalah tempat kamu, wahai Muhammad Danial Danish’.

Ibu Danial, adik serta tiga sepupunya masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Danial bersama datuk, Mohmed@Mohamed Shamsuddin, 75 dan neneknya, Kamariah Hamzah, 72, meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Sebuah treler terbabas ke lorong kecemasan merempuh PROTON Exora dinaiki keluarga itu ketika mereka sedang dalam perjalanan untuk bercuti ke Terengganu dari ibu negara.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila PROTON Exora yang mengalami kerosakan sedang dinaikkan ke trak penunda di lorong kecemasan sebelum dirempuh treler terbabit. Turut dirempuh adalah sebuah PROTON Waja dinaiki empat sekeluarga.

Pemandu trak tunda turut terkorban dalam nahas berkenaan.

Seorang mekanik tercampak sejauh 20 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada dada dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Pada masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala Pasir Mas telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh kira-kira 20 meter dari motosikalnya ke kiri jalan menghala Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Rosdi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah.

Hasrat seorang pekerja buruh lelaki berusia 40 tahun untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus, Terengganu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 397.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Ajil, hari ini. 

Mangsa, Mohd. Nazli Dasuki, disahkan meninggal dunia setelah mengalamai kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud memaklumkan mangsa ketika itu sedang berkonvoi bersama 18 rakannya yang turut menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Sebanyak empat kenderaan pacuan empat roda turut serta dalam konvoi tersebut dari Tanjung Karang, Selangor.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan menyertai program Perhimpunan Rakan Motosikal RXZ 4.0 di Gong Badak, Kuala Nerus yang dijadual berlangsung esok (hari ini),” jelasnya.

Difahamkan, motosikal mangsa hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu  untuk tindakan lanjut. – KOSMO

Kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat seperti treler dan lori bertembung dengan kenderaan ringan kelihatan seperti makin kerap berlaku baru-baru ini.

Mangsa maut dalam keadaan mengerikan dan ramai jumlahnya membuatkan kes kemalangan ini sangat menyayat hati.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemandu kenderaan terbabit kemalangan maut ini kadangkala terbabit dengan pengambilan dadah, terlelap ketika memandu dan kenderaan mengalami kerosakan.

Namun, berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dan penyiasat forensik kemalangan, kebanyakan kes kemalangan ngeri membabitkan kenderaan berat mempunyai kaitan langsung dengan sikap pemandu.

Pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori dilaporkan mengabaikan keselamatan kenderaan lain dan bersikap ego, sekali gus menyumbang kepada kes kemalangan maut.

Ada pemandu dikatakan tidak begitu mengambil peduli ciri-ciri keselamatan pemanduan berhemah seperti menganggap kenderaan ringan patut memberi laluan serta keutamaan kepada mereka di atas jalan raya kerana kenderaan dipandu mereka lebih besar.

Sikap mementingkan diri sendiri ini tidak dinafikan turut menjadi punca utama berlaku kemalangan tragik meragut banyak nyawa pengguna kenderaan ringan.

Antara kemalangan tragik membabitkan kenderaan berat seperti kes seorang lelaki dan tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (km) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Ipoh, minggu lalu.

Dalam kejadian di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, empat cedera termasuk seorang bayi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, termasuk lori muatan pasir dan besi.

Antara punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku berkemungkinan daripada syarikat pengangkutan atau logistik tidak mendapat maklumat rekod lampau kesalahan pemandu serta latar belakang pekerja sebelum diambil bekerja.

Pihak syarikat juga tidak mempunyai akses untuk melihat latar belakang dan rekod lampau pemandu bakal diambil bekerja dengan syarikat mereka sama ada pemandu pernah melakukan kesalahan lalu lintas dan mempunyai saman ‘berkepuk’.

Selain itu, kebanyakan syarikat pengangkutan didapati tidak memasang alat pengehad kelajuan pada kenderaan berat mereka kerana membabitkan kos tambahan operasi.

Alat ini wajar dipasang dalam usaha untuk mengawal pemandu daripada memandu kenderaan berat melebihi had laju ditetapkan, sekali gus berupaya mengurangkan kadar kemalangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengadakan kursus khas kepada pemandu kenderaan berat khususnya treler dan lori untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kualiti servis yang baik.

Beliau turut mengarahkan agensi dan pihak berkaitan termasuk JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) meneliti kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat secara lebih menyeluruh dan mencari kaedah penyelesaian berkesan.

Sementara itu, beliau juga berpendapat JPJ patut lebih tegas dan menyeluruh dalam menyemak rekod pemandu kenderaan berat sebelum meluluskan pembaharuan lesen memandu mereka.

Syarikat pengangkutan juga patut mewajibkan pemandu mereka menghadiri kursus selama satu hingga dua jam bagi meningkatkan semula asas pemanduan serta mengingatkan mereka semula pemanduan berhemah.

Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, yang mengorbankan empat nyawa mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berkata, setakat ini tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Jelas beliau, seramai tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki yang berada di Zon Merah manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

“Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.

“Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

“Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur.

“Pihak PDRM menasihati orang ramai tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain,” tambahnya.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Seorang wanita maut, empat cedera termasuk seorang bayi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, di Pasir Puteh.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, kenderaan yang terbabit adalah dua lori muatan pasir dan besi, 21 basikal, satu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner, tiga kereta dan dua motosikal.

Difahamkan, dalam kejadian itu sebuah lori yang membawa muatan besi terbalik sebelum menghempap kenderaan lain.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Puteh memaklumkan 13 anggota dan pegawai selain dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, terdapat lima mangsa iaitu seorang wanita dewasa meninggal dunia, seorang kanak-kanak parah dan tiga lagi cedera ringan.

“Kerja-kerja operasi menyelamat sedang dilakukan oleh pihak bomba di lokasi terbabit,” katanya.

Motosikal yang ditunggang seorang peniaga telah merempuh sebuah Perodua Myvi yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Melekek, menyebabkan peniaga itu maut. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa Mazlan Mohamed, 57, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat. 

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika Myvi tersebut yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun sedang membuat pusingan U ke Simpang Ampat. 

“Mangsa yang menuju arah sama bagaimanapun gagal mengelak kereta berkenaan dan telah merempuh bahagian kiri pintu belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat rempuhan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. 

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi bagaimanapun mendapati kawasan itu adalah dibenarkan untuk membuat pusingan U.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Seorang pengawal keselamatan disahkan maut apabila motosikal ditunggangya bergesel dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, pada Ahad.

Mangsa, Shahril Samad, 41 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR telah terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal BMW K1600 GT sebelum meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Dungun.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah, mangsa sedang dalam perjalanan ke rumah di Kampung Baru Kuala Abang.

Difahamkan, mangsa telah bertembung dengan penunggang motosikal BMW yang sedang dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam, Selangor selepas menghadiri Terengganu Bike Week.

“Penunggang motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam, Selangor selepas menghadiri program perhimpunan permotoran di Kuala Terengganu.

“Impak pergeseran tersebut menyebabkan kedua-kedua mangsa terjatuh dari motosikal masing-masing,” jelasnya.

Bagaimanapun, penunggang motosikal BMW tersebut hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan. – KOSMO

Jalan Temiang-Pantai yang ketika ini menjadi tumpuan pengguna jalan raya dalam negara telah pun merekodkan mangsa korban pertama.

Mangsa merupakan seorang warga emas berusia 72 tahun yang sedang mengayuh basikal di jalan terbabit.

Menurut laporan, mangsa telah dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam satu kejadian yang berlaku pada jam 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintan Mohd. Fazley Ab. Rahman memaklumkan mangsa, Khalid Mohd Isa maut ditempat kejadian ekoran mengalami kecederaan di kepala.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun dari Jalan Pantai menghala ke Kajang, Selangor telah hilang kawalan dan terbabas.

“Kenderaan tersebut kemudiannya melanggar sebuah basikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 72 tahun di bahu kiri jalan,” jelasnya.

Sementara itu, pihak polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil menghulur maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 016-2895801. – Kosmo

Seorang remaja perempuan telah menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan basikal lalu terjatuh dan dirempuh sebuah kereta di KM198.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, Bagan Serai, Perak, semalam.

Nurul Izzah Abdul Wahab, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang basikal alami patah kaki kanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat, kejadian tersebut berlaku pada jam 7.50 malam dan mangsa telah bergesel dengan penunggang basikal lelaki di lorong kecemasan lalu hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kiri.

Akibatnya, sebuah kereta yang memandu di lorong tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Sementara itu, Mazuki Mat menjelaskan kes sedang disiasat termasuk motif penunggang basikal berada di lebuh raya. – HM

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube