Bikesrepublic

Hafizh Syahrin

Bakal berlangsung ‘pertempuran’ antara dua pelumba ternama Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruzaman dalam aksi Pusingan 3 MSF SuperMoto 2021/22, pada hujung minggu ini (13 Februari) di Litar Tangkak.

Azlan dalam satu kenyataan berkata, “Saya suka bila beliau berlumba sekali kerana ia akan menjadikan perlumbaan lebih ‘syok’ dan mengujakan.”

Azlan yang juga merupakan juara Asian Road Racing dilihat selalu bersaing dengan Hafizh dalam perlumbaan motosikal.

Antara momen yang bersejarah adalah sewaktu perlumbaan Moto2 di Suzuka pada tahun 2015 di mana Azlan berjaya memintas Hafizh dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan perbezaan masa hampir lima saat.

Manakala Hafizh pula memberitahu bahawa beliau masih mencari-cari rentak dan akan cuba untuk berlumba dengan tenang.

Pada Disember yang lepas, Hafizh telahpun bertanding dalam perlumbaan supermoto yang dianjurkan oleh ZK Racing dan Brad, di mana dia berjaya mendominasi keseluruhan perlumbaan.

Di peringkat antarabangsa pula, Hafizh akan menyertai MIE Racing dalam perlumbaan WSBK tahun ini, menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R.

Perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini bagaimanapun tidak akan disertai oleh pelumba berpengalaman, Gabit Saleh (juga juara FIM Supermoto) atas faktor kesihatan.

Perlumbaan MSF Supermoto melibatkan saingan empat kategori iaitu Rookie, Advanced, All Stars Legend dan All Stars Pro.

Kesemua perlumbaan ini akan disiarkan secara langsung di laman MSF Series serta Facebook MotoMSF bermula dengan sesi kelayakan pada jam 11.30 pagi.

Sementara itum orang ramai yang berminat untuk hadir ke Litar Tangkak, hanya 300 penonton sahaja dibenarkan dan orang ramai perlu membuat ujian kendiri Covid-19 24jam sebelum hadir.

Pada masa sama, kehadiran adalah untuk mereka yang lengkap vaksin sahaja.

Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin disahkan bakal memulakan saingan di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) musim 2022 bersama tajaan helmet baharu, KYT.

Hafizh yang sekian lama menyarung helmet SHOEI sebelum ini, akan bertanding di pentas WorldSBK bersama KYT buat julung kalinya dalam karier pelumba itu.

Hafizh turut mengumumkan penajaan helmet KYT di akaun Instagram miliknya yang turut kelihatan bergambar bersama dua model helmet KYT, NFJ Tigra dan NFJ Falco.

Pelumba berusia 27 tahun itu bakal membuat penampilan pertamanya di WorldSBK musim 2022 bersama MIE Racing Honda Team setelah disahkan meninggalkan saingan Kejuaraan Dunia Moto2 bersama NTS RW Racing pada hujung musim lalu.

Sementara itu, Hafizh bakal digandingkan bersama Leandro ‘Tati’ Mercado, yang turut diumumkan sebagai pelumba rasmi bagi musim 2022 selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan tahun lalu.

MIE Racing Honda Team turut mengesahkan bahawa Hafizh dan Mercado bakal beraksi dengan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade.

Meskipun 11 tahun tidak beraksi dengan jentera kapcai namun bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mudah mempamerkan dominasi apabila menjuarai Braaap Track Attack 2021 kategori MP150 Elite.

Berlangsung di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad, Hafizh yang beraksi bagi pasukan J Performance langsung tidak kekok meskipun beraksi dengan jentera jauh lebih kecil berbanding yang ditunggangnya beberapa tahun di MotoGP.

Meskipun berdepan nama besar dari pentas Cub Prix, Hafizh mendahului keseluruhan 15 lap di litar sepanjang 1.2km itu.

Walaupun pada mulanya mendapat saingan sengit dari rakan sepasukan, Izzat Zaidi yang bermula di petak pertama namun Hafizh tenang untuk terus merekodkan kemenangan kedua di Braaap Track Attack kategori MP150 selepas turut menjuarai Supermotard 450 pada Sabtu.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Syafiq Rasol yang ketinggalan 24 saat di belakang Hafizh dan Izzat.

Hafizh turut meluah rasa teruja atas kesempatan diberikan terhadapnya untuk memanaskan badan sebelum saingan Kejuaraan Superbike Dunia musim 2022 bermula.

“Saya sememangnya teruja dan seronok dapat mengimbas kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak bawak kapcai.

“Memang amat rindu mengingat zaman dulu-dulu berlumba moto kapcai. Saya seronok setiap sesi pada hari ini dan saya cuba memahami litar go-kart ini di mana ini merupakan kali pertama saya race motor kapcai di sini,” jelasnya.

Ketika perlumbaan Supermotard 450 pada Sabtu, Hafizh turut melakar kejutan apabila muncul juara meskipun berdepan pelumba supermoto negara, Gabit Salleh.

Hafizh memenangi perlumbaan itu dengan penuh selesa apabila melintasi garisan penamat dengan jarak 33 saat daripada Gabit yang muncul tempat kedua diikuti Khairul Afif Ghazali ketiga.

Hafizh Syahrin bakal mengorak langkah sulung dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) bersama MIE Racing Honda Team, Januari depan di Sepanyol.

Bekas pelumba Moto2 negara itu bersama-sama rakan sepasukan Leandro Mercado bakal menguji jentera Honda CBR1000RR-R.

“Saya tidak pernah bawa jentera ini, ujian mungkin pada hujung Januari atau awal Februari di Sepanyol,” jelasnya.

Sementara itu, dalam usaha mengeejar keserasian lebih baik, pelumba berusia 27 tahun itu mengharapkan dapat menguji jentera baharu itu di Malaysia sejurus pulang dari London.

Dalam perkembangan sama, Hafizh mengharapkan penaja utama, UMW Grantt International akan terus bersamanya ke WorldSBK.

“Saya harap ada peluang untuk teruskan kerjasama lagi. Terima kasih UMW membantu saya di Moto2 termasuk menanggung kos latihan dan perjalanan,” tambah Hafizh. – BH

Pasukan MIE Racing Honda Team dengan rasminya mengumumkan Hafizh Syahrin sebagai pelumba pasukan itu bagi menghadapai saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2022.

Hafizh bakal digandingkan bersama Leandro ‘Tati’ Mercado, yang turut diumumkan sebagai pelumba rasmi musim depan selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan musim ini.

*Leandro ‘Tati’ Mercado

Pelumba negara itu bakal memulakan karier baharu selepas disahkan akan meninggalkan pentas Moto2 bersama NTS RW Racing hujung musim ini.

Pada masa sama, MIE Racing Honda Team turut mengesahkan bahawa Hafizh dan Mercado bakal beraksi dengan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan terutamanya Midori Moriwaki dan Honda atas kepercayaan mereka ke atas saya.

“Saya yakin kami mampu bekerjasama dan menghasilkan keputusan yang baik. Saya akan berikan yang terbaik,” jelas Hafizh dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan MIE Racing Honda Team.

Pada masa sama, pelumba berusia 27 tahun itu juga tidak sabar memulakan cabaran baharu di pentas WorldSBK.

“Ini adalah cabaran baharu buat saya tetapi saya tak sabar untuk mulakannya! Saya mahu berterima kasih kepada penaja, ahli keluarga, sahabat dan peminat atas sokongan berterusan mereka.

Terima kasih semua,” tambah Hafizh.

Pengalaman luas Hafizh terutamanya selepas menghabiskan dua musim di MotoGP dan enam musim di Moto2 dilihat sebagai aspek penting dalam membantu cabaran pasukan satelit Honda itu di WorldSBK musim depan.

Hafizh Syahrin telah pun disahkan meninggalkan saingan Kejuaraan Dunia Moto2 musim depan selepas semusim bersama pasukan NTS RW Racing.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Hafizh dilaporkan bakal sertai Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) musim 2022 bersama pasukan MIE Racing Honda Team.

Meskipun tiada pengesahan setakat ini namun, menurut laporan Two Wheels, kedua-dua belah telah pun mengadakan perbincangan awal.

Bagaimanapun, buat masa ini, tiada sebarang persetujuan dicapai kerana perbincangan membabitkan beberapa pihak termasuk Honda, MIE Racing dan Hafizh sendiri.

MIE Racing Honda Team merupakan pasukan projek HRC hasil kerjasama Honda dan Althea Racing yang telah ditubuhkan pada 2019 dan bergerak sepenuhnya sebagai pasukan satelit pada musim 2020. – Two Wheels

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin akui rasa kecewa dengan pembatalan GP Malaysia musim ini.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC), telah pun mengesahkan pembatalan GP Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober ini.

Bagi Hafizh dia berasa dukacita kerana tidak dapat beraksi di laman sendiri bersama pasukan baharu, NTS RW Racing.

“Saya sangat kecewa kerana tiada perlumbaan di Sepang tahun ini kerana saya masih belum sempat beraksi di situ sejak Moto2 menggunakan enjin Triumph (pada 2019).

“Kali terakhir beraksi di Sepang, saya masih bersama KTM Tech3 di MotoGP,” jelas Hafizh.

Apatah lagi mengakui belum ada kepastian sama ada dia masih ada pasukan musim depan.

“Saya belum pasti tentang masa depan saya. Sekiranya saya ketiadaan pasukan musim depan, tiada jaminan akan ada pelumba Malaysia lain,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh juga menyedari ketiadaan GP Malaysia musim ini melenyapkan peluang peminat sukan permotoran untuk menyaksikan legenda, Valentino Rossi buat kali terakhir sebelum dia bersara hujung musim ini.

“Masih ramai peminat Valentino Rossi yang mengharapkan dapat melihat dia beraksi di Sepang buat kali terakhir,” tambah Hafizh.

Hafizh akan kembali beraksi hujung minggu ini di GP Britain dalam usaha memperbaiki keputusan semasa. – NST

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, telah pun selamat tiba di tanah air sempena cuti musim panas.

Saingan MotoGP kini memasuki cuti pertengahan musim selama sebulan sebelum kembali bersambung pada 8 Ogos nanti di Austria.

Hafizh telah pun tiba di Malaysia semalam dan bakal menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Sementara itu, rata-rata berpendapat kepulangan Hafizh sempena cuti musim panas ini bakal memberi peluang kepada pelumba itu untuk menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

TMJ sebelum ini menyatakan hasrat berminat untuk menaja karier Hafizh di arena permotoran antarabangsa.

Baginda turut berminat untuk mengenal pasti dengan lebih lanjut kos perbelanjaan Hafizh bagi beraksi di Moto2 serta segala bantuan yang telah diterima setakat ini.

Hafizh turut mencuri tumpuan semalam apabila memuat naik iklan menjual basikal S-Works Shiv TT miliknya dengan harga RM42,000 di Instagram dalam usahanya untuk terus berlumba..

Saingan hujung minggu lalu di GP Belanda menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke 23 keseluruhan dihadapan rakan sepasukan Barry Baltus.

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan berminat untuk menaja pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.

Perkara itu diutarakan ketika menjawab soalan di laman sosial Instagram miliknya.

Dalam perkembangan terbaru, TMJ memperjelaskan situasi berkenaan dengan tajaan terhadap Hafizh dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Saya suka tengok sikap dan disiplin serta komitmen Hafizh.

“Bagi saya, jika dia boleh membanggakan negara mungkin saya akan cuba membantu jika tak banyak pun saya akan memberi sumbangan agar dia boleh mengejar impian untuk terus membanggakan negara.

“Sebagai contoh sepertimana saya membantu petinju, Farhan, sebelum ini,” jelas TMJ.

Pada masa sama, beliau menjelaskan masih belum ada sebarang perbincangan diadakan bersama Hafizh ketika ini.

“Saya belum berbincang dengan Hafizh lagi.

“Saya pun nak tahu berapa bajet dia setiap tahun, apa bantuan yang dia terima sebelum ini serta apa perancangan dia.

“Jadi setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan lagi,” tambah TMJ.

Dalam saingan Moto2 di GP Catalunya semalam, Hafizh menamatkan aksi dikedudukan ke-20 yang menyaksikan Remy Gardner muncul juara diikuti Raul Fernandez kedua dan Xavi Vierge ketiga.

Baru-baru ini, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak memberi pelepasan terhadap isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf untuk bersamanya di luar negara.

Bagaimanapun, pihak Imigresen dalam satu kenyataan menjelaskan kebenaran hanya diberikan atas sebab tertentu sahaja.

“Merujuk kepada hantaran tular di media sosial oleh seorang pelumba motosikal berkenaan permohonan isteri beliau untuk keluar negara sudah pun ditolak.

“Bagi tujuan melancong dan bercuti tidak dibenarkan keluar negara. Kelulusan diberikan kepada ahli sukan yang menetap dan berpangkalan di luar negara sahaja dibenarkan membawa pasangan.

“Contohnya, pelumba basikal dan pemain golf profesional. Ahli sukan menyertai kejohanan secara on and off dan tidak menetap di luar negara, tidak dibenarkan membawa pasangan semasa menyertai kejohanan.

“Hanya jurulatih dan kru profesional terbabit dibenarkan keluar bersama ahli sukan berkenaan.”

Pada masa sama, Imigresen turut mendedahkan terdapat beberapa kes penyalahgunaan kelulusan permohonan keluar negara oleh warnganegara Malaysia menerusi pemeriksaan di pintu masuk negara. – HM

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meneruskan misi kutipan mata apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik musim ini di GP Itali, hujung minggu lalu.

Senario itu sekaligus menyaksikan Hafizh berjaya melunaskan objektif awal setelah menyertai NTS RW Racing bagi musim 2021.

Bagaimanapun, menurut Hafizh masih terdapat banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan jentera yang ditunggang terus memberi saingan.

Antaranya memperbaiki ciri aerodinamik dan kelajuan jentera sewaktu di laluan lurus.

“Banyak kali di laluan lurus, rider lain mudah memotong saya.

“Jadi saya memberi saingan di bahagian corner dan sewaktu membrek tetapi agak sukar di laluan lurus.

“Ini kerana jentera saya masih kurang aerodinamik dan kelajuan di laluan lurus,” jelas Hafizh sewaktu sesi temu bual secara atas talian, baru-baru ini.

Hafizh berpeluang menamatkan aksi di Mugello di tempat ke-8 namun dipintas Cameron Beaubier beberapa meter dari garisan penamat sekaligus perlu berpuas hati dengan keduudkan ke-9.

Namun, keputusan tersebut sedikit sebanyak membuktikan Hafizh semakin mencapai keserasian dengan chasis NTS yang merupakan chasis baharu dalam saingan Moto2.

Saingan Moto2 kembali bersambung hujung minggu ini di Litar Catalunya, Sepanyol.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, berjaya menamatkan aksi di dalam kelompok 10 terbaik di GP Itali, hari ini.

Meskipun memulakan aksi di petak ke-20 namun pelumba NTS RW Racing itu tidak berputus asa sebaliknya memperbaiki kedudukan sepanjang perlumbaan.

Dia kemudiannya berjaya menamatkan aksi di Mugello dikedudukan ke-9 meskipun berpeluang cerah menduduki tempat ke-8 sebelum dipintas beberapa meter dari garisan penamat oleh Cameron Beaubier dari pasukan American Racing.

Kejayaan ini sekaligus melunaskan sasaran Hafizh yang sebelum ini meluahkan keyakinan untuk menduduki kelompok 10 terbaik selepas mula mencapai keserasian dengan chasis NTS itu.

Hafizh kini menghuni kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-21 dengan kutipan 8 mata selepas enam pusingan.

Sementara itu, rakan sepasukan dan pelumba muda, Barry Baltus menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

Pada masa sama, Red Bull KTM Ajo merekodkan kemenangan satu-dua menerusi Remy Gardner dan Raul Fernandez manakala Marco Bezzechi melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Aksi Moto2 dibayangi berita pemergian pelumba Moto3, Jason Dupasquier yang disahkan meninggal dunia susulan mengalami kemalangan serius ketika sesi kelayakan, semalam.

Berikut keputusan penuh Moto2:

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube