Bikesrepublic

Dalam Negara

Akhirnya, selepas banyak jangkaan dan khabar angin harga Zontes 368G (2025) telah diumumkan di Malaysia. Zontes Malaysia meletakkan harga jualan yang disyorkan daripada RM28,800.

Kami telah menyiarkan tentang senarai ciri-ciri motosikal ini yang membingungkan setelah menunggang ujinya di Guangzhou, China, tetapi berikut ialah imbasan semula (yang kami terlepas diserlahkan dalam huruf tebal):

  • Enjin 368cc, disejukan cecair, DOHC, silinder tunggal yang menghasilkan kuasa maksimum 38.8hp dan tork maksimum 40Nm, jadi enjin Zontes ini merupakan yang paling berkuasa di dalam kelasnya.
  • Fork depan jenis terbalik 41mm yang boleh dilaras untuk redaman mampatan dan redaman lantunan.

  • Penyerap hentakan berkembar di belakang yang boleh dilaras untuk prabeban dan redaman lantunan.
  • Cakera brek depan 300mm yang digenggam oleh oleh kaliper brek empat piston J.Juan. J.Juan merupakan anak syarikat Brembo.

  • ABS depan dan belakang. Fungsi ABS belakang boleh ditutup bagi tunggangan off-road.
  • Ketinggian pelana yang standard ialah 790mm tetapi pemilik boleh memilih pelana yang lebih rendah berukuran 770mm.

  • Kelegaan bumi ialah 180mm.
  • Rim depan berukuran 17-inch, manakala yang belakang ialah 14-inci.

  • Ruang simpanan di bawah pelana yang amat besar pada 52 liter! Ia boleh menampung dua topi keledar full face. Bahagian belakang ruang itu boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis ‘adventure.”
  • Ada tiga, ya 3 port pengecas USB.

  • Skrin TFT besar 8-inci yang berwarna. Ia sekarang lebih jelas dan paparannya senang dipandang walaupun di bawah matahari terik.
  • Terdapat dua mod kuasa enjin iaitu Sport dan Economy.

  • Suis-suis dengan lampu latar.
  • Pengaktifan dan nyalaan tanpa kunci. Penutup tangki minyak juga tidak memerlukan kunci.

  • Skrin angin boleh dilaras tujuh kedudukan.
  • Tuil brek depan dan belakang boleh dilaras.

  • Pelindung tangan adalah ciri standard.
  • Sepasang pemijak kaki yang ekstra yang membolehkan penunggang berdiri ketika dia menunggang off-road ataupun hendak menunggang secara agresif.

  • Pemanas genggaman handel. Jangan kata tak perlu, sehinggalah anda menunggang ke atas Genting atau Cameron dalam hujan.
  • Sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS).

  • Kamera ‘dashcam‘ depan dan belakang sebagai ciri standard.
  • Kerangka keluli perlindungan badan motosikal.

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Grey with Blue, White with Gold, and Golden Stone Green.

Akhir sekali, mengenai kebimbangan pengguna tentang ketersediaan selepas jualan dan alat ganti, inilah yang Zontes Malaysia katakan:

Memandangkan kebimbangan orang ramai baru-baru ini mengenai perkhidmatan selepas jualan kami, terutamanya ketersediaan alat ganti, kami telah menjalankan semakan menyeluruh dan melaksanakan beberapa langkah untuk menangani isu ini. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan pelanggan kami tidak akan mengalami kesulitan akibat kekurangan alat ganti pada masa hadapan. Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan tahap inventori kami dan mewujudkan perkongsian yang lebih kukuh dengan Ibu Pejabat Zontes. Kami komited untuk menyediakan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaan tertinggi kepada pelanggan kami.

Galeri gambar

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesahkan dua kakitangannya dari cawangan Wangsa Maju telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, bagaimanapun tidak memperincikan sebab kedua-dua kakitangan itu diarah memberi keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ.

Puspakom menegaskan kakitangan terbabit tidak akan dilindungi daripada sebarang tindakan disiplin dalaman, sekiranya terbukti ada salah laku.

Bagi memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti diperuntukkan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja,” katanya dalam kenyataan kepada pihak akhbar, semalam.

Selain daripada itu, Mahmood juga mengesahkan sebuah kenderaan yang diperiksa di cawangan Wangsa Maju disita JPJ kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu sah.

Terdahulu, JPJ dilapor mengadakan operasi secara serentak ke semua cawangan Puspakom di seluruh negara semalam, bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di fasiliti itu mematuhi standard ditetapkan.

Antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori dalam Op Mengejut PUSPAKOM ialah penggunaan tayar celup yang uzur dan tidak selamat dalam kalangan kenderaan berat, meskipun menyedari ia berisiko bocor pada bila-bila masa.

Sementara itu, Mahmood berkata, kerjasama penuh akan diberi kepada JPJ yang menjalankan pemeriksaan mengejut di semua cawangan Puspakom di seluruh negara, hari ini.

Katanya, Puspakom juga mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan ke atas cawangan syarikat berkenaan, bertujuan memastikan operasi pemeriksaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Langkah ini akan membantu usaha membudayakan amalan keselamatan jalan raya di negara ini.

Kerjasama Puspakom dan JPJ ini dipercayai akan mengukuhkan usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.

Puspakom sentiasa komited memastikan semua kenderaan diperiksa memenuhi syarat keselamatan ditetapkan.

Pemeriksaan mengejut ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang berkaitan kenderaan di jalan raya.

Kami menyokong penuh inisiatif untuk memastikan segala prosedur pemeriksaan dilakukan dengan telus dan mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) keluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap 17,729 kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang diperiksa dalam tempoh lima hari Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara yang bermula 25 Disember lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, berkata dalam operasi itu sebanyak 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan satu kenderaan perkhidmatan awam.

Katanya, operasi khas yang diadakan sempena sambutan perayaan Krismas, JPJ telah menggerakkan lebih 1,500 anggota yang menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan kenderaan perdagangan.

Operasi ini memberi tumpuan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi dan lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

Sebanyak 17,729 kenderaan diperiksa membabitkan kenderaan perdagangan sebanyak 15,770 dan kenderaan perkhidmatan awam (1,959).

Sebanyak 1,787 kenderaan dikenakan tindakan manakala sebanyak 578 pemilik kenderaan diberikan slip pemeriksaan babitkan 544 (perdagangan) dan awam (34),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai Operasi Khas Gempur Teknikal di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Arah Selatan, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhmmad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.

Mengulas lanjut, Jana Santhiran berkata pihaknya memandang serius siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang membabitkan kenderaan perdagangan.

Justeru, tindakan penguatkuasaan lebih tegas dilakukan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di seluruh negara.

Bagi memastikan pemantauan lebih agresif dan proaktif dapat dilakukan, JPJ akan mengekalkan jumlah keanggotaan 1,500 orang dalam setiap operasi khas ini termasuk ketika musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Aidilfitri akan datang,” katanya kepada Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Bentong menafikan dakwaan yang pihaknya enggan menerima laporan yang dibuat oleh seorang penghantar barang yang mendakwa telah ditikam pada matanya.

Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengesan dakwaan itu yang ditularkan menerusi WhatsApp.

Beliau berkata, berdasarkan imej tangkap layar itu, ia mendakwa polis Bentong enggan menerima laporan daripada seorang penghantar barang berhubung kejadian perselisihan faham antara penghantar barang dan pelanggannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Menurutnya, kandungan WhatsApp yang tular adalah tidak benar kerana pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan menyiasat kes itu.

Mangsa juga dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, pada 3.01 petang semalam, satu laporan polis dibuat oleh seorang penolong pegawai penyiasat jenayah IPD Bentong berhubuPDRng dakwaan berunsur fitnah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu yang tidak benar.

Polis Bentong juga memohon suspek yang menularkan WhatsApp itu tampil ke IPD Bentong untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Tindakan seorang wanita yang membakar motosikal membawa padah kerana dia telah ditahan oleh polis dan direman tiga hari sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata mereka telah menahan wanita terbabit pada jam 7.30 petang hari Khamis lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 (khianat dengan api) Kanun Keseksaan.

“Terdahulu pada jam 4.27 petang polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang berkerja sebagai penarik kenderaan berhubung tindakan seorang wanita membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.

Susulan laporan itu polis berjaya menahan wanita berkenaan dan motif kejadian berpunca dari tangkapan yang tidak berpuas hati apabila motosikal itu mahu ditarik.

Difahamkan bayaran bulanan motosikal berkenaan tertunggak selama lebih 20 bulan dan motosikal itu dibeli atas nama anaknya,” katanya dihubungi media.

Menurutnya lagi satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman 14 tahun penjara atau denda.

Terdahulu tular di media sosial apabila seorang wanita yang juga peniaga bertindak membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam berhampiran sebuah gerai di Pokok Assam,Taiping.

Difahamkan kejadian berlaku setelah wanita itu enggan memberi kerjasama kepada penarik kenderaan yang ingin menarik motosikal terbabit kerana mengalami tunggakan selama 20 bulan.

Video berkenaan memaparkan wanita terbabit bertindak mencurahkan cecair dipercayai minyak tanah atau petrol sebelum membakarnya. Pihak Bomba terpaksa dikerah bagi memadamkan kebakaran.

Sebanyak 1,457 kematian daripada 3,500 kemalangan yang membabitkan lori telah dicatat sejak Januari 2019 sehingga November 2024. Statistik tersebut telah didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri.

Beliau turut menghuraikan jumlah kematian akibat kemalangan lori menurut tahun:

  • 2019 – 274 kematian.
  • 2020 – 226 kematian.
  • 2021 – 230 kematian.
  • 2022 – 232 kematian.
  • 2023 – 235 kematian.
  • 2024 (setakat November) – 260 kematian.

Selain itu, terdapat 473 kes kecederaan parah dan 1,076 ke kecederaan ringan daripada jumlah kemalangan tersebut.

Bagi kemalangan melibatkan bas pula, 548 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan 153 kematian, 120 kecederaan parah dan 218 kecederaan ringan dicatatkan.

Polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya lori dan bas dalam usaha mengurangkan jumlah kematian yang membimbangkan yang direkodkan,” katanya semasa dihubungi oleh agensi Bernama hari ini.

Datuk Seri Mohd. Yusri berkata polis akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan syarikat konsesi lebuh raya bagi tujuan itu. Beliau juga berharap pemilik, syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan bekerjasama memastikan keselamatan kenderaan mereka.

Nota daripada pengarang:

Didi Group, pengedar tunggal dan pengimport motosikal Aprilia di Malaysia memperkenalkan kempen jualan eksklusif untuk siri Aprilia SR GT 200 yang terkenal (SR GT 200, SR GT 200 SPORT, dan SR GT 200 REPLICA). Kempen ini bermula pada Disember 2024 sementara stok masih ada, dan menawarkan rebat tunai yang tidak dapat dinafikan, nilai luar biasa dan peluang untuk mengalami kelebihan inovatif Aprilia.

Sorotan Kempen:

1. Aprilia SR GT 200

    • Harga Jualan : RM19,900
    • Rebat Tunai: RM 6,000

2. Aprilia SR GT 200 SPORT

    • Harga Jualan : RM20,900
    • Rebat Tunai : RM 5,000

3. Aprilia SR GT 200 REPLICA

    • Harga Jualan : RM20,900
    • Rebat Tunai : RM 2,000

Aprilia SR GT adalah lebih daripada skuter—ia adalah komuter bandar dinamik yang direka untuk memberikan prestasi, keselesaan dan serba boleh.

Ciri-ciri utama:
  • Keupayaan Semua Rupa Bumi: Reka bentuk separa luar jalan yang menampilkan tayar lebar semua rupa bumi memastikan yakin. Pengendalian di pelbagai permukaan, dari jalan bandar ke laluan kasar.
  • Enjin Berprestasi Tinggi: Dikuasakan oleh enjin i-get 174cc, memberikan pecutan responsif dan
    kecekapan bahan api, SR GT sesuai untuk perjalanan harian atau pengembaraan hujung minggu.
  • Rekaan Sporty dan Ergonomik: Diinspirasikan oleh DNA perlumbaan Aprilia, SR GT menggabungkan sporty estetika dengan susun atur ergonomik yang berpusatkan penunggang untuk keselesaan berpanjangan.
  • Teknologi Lanjutan: Termasuk pencahayaan LED penuh, gugusan instrumen digital dan pilihan
    sistem sambungan untuk disegerakkan dengan telefon pintar anda untuk kemudahan tambahan.
  • Keselamatan Unggul: Dilengkapi dengan brek cakera gelombang hadapan dan ABS untuk kuasa berhenti yang optimum.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) panggil semula kenderaan untuk diperiksa oleh syarikat pengeluar kereta berkaitan bagi memastikan keselamatan ketika di jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata panggilan semua adalah pengumuman rasmi daripada JPJ kepada pemilik kenderaan.

Katanya, sebelum ini jika terdapat masalah kenderaan berkaitan isu teknikal, syarikat pengeluar akan mengeluarkan notis memanggil semula. “Namun, pemilik kenderaan biasanya tidak mengendahkan notis pengumuman itu dan beranggapan ia adalah perkara remeh.

Sekarang, kita menetapkan sekiranya didapati ada masalah teknikal terhadap kenderaan, syarikat perlu memaklumkan kepada JPJ sebelum jabatan itu akan membuat pengumuman memanggil semula kenderaan untuk diperiksa.

Pemilik perlu peka dengan setiap pengumuman berkaitan perkara itu dan menghantar semula kenderaan ke bengkel ditetapkan oleh syarikat dengan kos ditanggung oleh syarikat berkenaan,” katanya ditemui selepas merasmikan Progeam MyLesen Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Besar Kuala Klawang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anthony Loke berkata, pemilik berdepan risiko keselamatan ketika menggunakan kenderaan berkenaan sekiranya mengabaikan proses memanggil semula itu.

Yamaha XSR900 (2025) telah dikemas kini. Ini adalah salah satu model yang diminta oleh sesetengah pihak di Malaysia tetapi malangnya, ia hanya boleh didapati di luar negara sahaja.

Bagaimanapun, model 2025 memaparkan skrin TFT 5-inci baharu, menggantikan item 3.5-inci yang kecil sebelumnya. Selain itu, enjinnya kini mematuhi Euro5+.

Selebihnya kekal sama, dikuasakan oleh enjin 890cc, tiga silinder yang dikongsi dengan Yamaha MT-09. Ia menghasilkan kuasa maksimum yang sama iaitu 117.3hp pada 10,000 RPM dan tork maksimum 93.0Nm pada 7,000 RPM.

2025 Yamaha XSR900

Casisnya juga tidak berubah, menggunakan pada roda yang ditempa secara putaran, digantung oleh fork 41mm di hadapan dan monoshock di belakang. Brek terdiri daripada silinder induk Brembo yang sama dan sepasang cakera 298mm di depan. Ketinggian tempat duduk ialah 810mm dan berat basah kekal pada 193kg.

Nampaknya pengeluar tidak mengemaskini model dalam langkah besar kerana ia masih sangat popular di mana ia tersedia. Kecuali ia tidak ada di sini.

Harga untuk Yamaha XSR900 (2025) di UK ialah £11,000 (RM62,114.66) dan tersedia dalam warna Legend Red, dan Midnight Black.

Masih tiada berita mengenai model Yamaha XSR900 GP.

Laluan di Kilometer (KM) 32.1 hingga KM33.2 di Lebuh Raya Utara Selatan antara Jitra ke Hutan Kampung telah dibuka semula hari ini.

Perbadanan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Malaysia dalam hantaran menerusi laman Facebooknya memaklumkan lorong kanan di kedua-dua arah telah dibuka semula untuk laluan trafik. Namun, lorong kiri di kedua-dua arah masih ditutup akibat banjir.

Sepanjang penutupan laluan berkenaan, kenderaan yang menghala ke utara dilencongkan keluar dari lebuh raya menerusi Persimpangan Alor Setar Utara dan masuk semula ke lebuh raya menerusi Persimpangan Jitra Selatan.

Beberapa negeri Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Melaka telah mengalami banjir yang teruk sejak minggu lepas berikutan kedatangan Monsun Timur Laut. Banjir besar-besaran telah menyaksikan lebih daripada 300,000 penduduk di negeri-negeri yang terkesan dipindahkan sementara. Makin ramai mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran luruan monsun yang dijangka berlaku pada minggu hadapan.

Luruan Monsun Dari 8 Hingga 14 Disember akan Bawa Hujan Lebat – MetMalaysia

 

Seramai 4,225 calon Program Peralihan Lesen Kelas B telah lulus setakat November tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata daripada 5,477 calon yang menduduki program peralihan itu, 23 peratus daripadanya iaitu 1,251 calon terkandas dalam proses ujian berkenaan.

Setakat 27 November, 177 institut memandu (IM) daripada 245 IM telah terlibat dalam menawarkan program peralihan ini,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai langkah kementerian untuk memastikan pengusaha pusat lesen memandu menerima dan memproses permohonan yang telah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi program itu.

Loke berkata kementeriannya dan JPJ sentiasa memantau pelaksanaan program itu dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana IM yang telah memberikan komitmen dalam pelaksanaan program itu, namun gagal memproses permohonan orang awam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca signifikan. Mereka berkata bahawa luruan monsun dari 8 hingga 14 Disember 2024 dijangka membawa hujan lebat yang berterusan. Secara khususnya, negeri-negeri Kelantan dan Terengganu akan mengalami cuaca tersebut.

Selain daripada itu dan berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang Selasa (3 Disember) hingga awal pagi Rabu (4 Disember).

Keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini serta sahih.

Kami bukan sebuah saluran cuaca tetapi kami merasakan bahawa berita ini penting bagi kita semua yang memandu dan menunggang, serta yang sedang merancang percutian hujung tahun.

Untuk pengetahuan anda, tahun 2024 merupakan tahun pertama yang merekodkan suhu permukaan yang lebih tinggi daripada garis dasar pra-industri 1.50º. Ia bermaksud tahun ini merupakan tahun yang paling panas.

Suhu permukaan yang lebih panas bukan sahaja menyebabkan kemarau, tetapi juga hujan lebat, taufan, siklon, dan hurikan yang lebih kuat. Ini kerana kepanasan yang tinggi akan mengewapkan air dan hasilnya terdapat lebih banyak wap air di atmosfera. Fenomena ini dinamakan perolakan atmosfera (‘atmosferic convection‘). Wap air ini kemudiannya sejat dan turun sebagai hujan lebat atau ribut.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube