MotoGP merupakan antara acara dan tarikan terbesar di Malaysia. Antara kemudahan yang disediakan ialah kawasan parkir kenderaan percuma dan dihubungkan oleh bas pengantara. Namun, kini pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Sepang International Circuit/SIC) memaklumkan bahawa parkir percuma telah dimansuhkan untuk MotoGP Malaysia 2025.
Dengan ini, caj parkir baharu sebanyak RM20 untuk kereta dan RM10 untuk motosikal akan dikenakan, setiap kali masuk sepangjang minggu perlumbaan akan dikenakan. Pihak penganjur berkata peningkatan ini menandangkan caj penganjuran yang bertambah, serta bagi mengurus kawalan trafik dan menambah baik kawasan-kawasan parkir kenderaan.
Pihak SIC turut menasihatkan penonton agar meletakkan kenderaan hanya di kawasan yang diwartakan. Kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rasmi berisiko dikenakan tindakan seperti saman atau ditunda.
Perubahan ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang sudah terbiasa dengan kemudahan parkir percuma. Ada yang memahami kenapa langkah tersebut dijalankan, dan pada masa yang sama juga terdapat mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana ia menandakan pertambahan kos mengunjungi MotoGP Malaysia yang sudah agak tinggi.