Bas persiaran yang terlibat di dalam kemalangan dan menyebabkan 15 penuntut UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) didapati mencecah kelajuan 117.6 km/j. Perkara itu didedahkan dalam laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
Kegagalan mematuhi had laju 60 km/j itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan hilang kawalan, kenderaan tergelincir dan terbalik ke kiri jalan.
“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan.
“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin sehingga menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.
“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” kata laporan itu.
Selain daripada itu, laporan itu mendapati kemalangan itu bukan sahaja berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta kelemahan pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.
Keluarga mangsa ambil tindakan undang-undang
Sementara itu, keluarga mangsa kemalangan tragis itu nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu dan syarikat bas.
Rosdi Yunus, 56, bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, berkata pihaknya bersama beberapa waris mangsa lain sudah menyerahkan dokumen awal kepada peguam untuk memulakan tindakan undang-undang.
“Pihak UPSI turut membantu dari segi khidmat nasihat undang-undang bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.
Siasatan MOT turut mengenal pasti kedua-dua pemandu yang terbabit dalam kemalangan ini mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi, termasuk saman belum dijelaskan iaitu 18 saman bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.