Mohamad Faizin Mohd Zainodin, 21, hanya mampu kesedihan selepas kehilangan seorang lagi adik lelaki akibat kemalangan. Kejadian kali berlaku di Kilometer 97.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat Yong Peng, semalam.
Adiknya Allahyarham Mohamad Fauzan, 19, yang merupakan penuntut tahun dua di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Pagoh, maut selepas motosikalnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan. Kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.45 malam, semalam.
Kemalangan itu menyebabkan Mohamad Faizin kehilangan adiknya buat kali kedua selepas tragedi sama berlaku dua tahun lalu yang mana meragut nyawa adik lelaki ketiga di Johor Bahru.
Menurut Mohamad Faizin, berita sedih itu diterima pada jam 8 malam daripada kenalan yang memaklumkan adiknya yang juga anak kedua daripada lima beradik kemalangan.
“Sebaik dimaklumkan perkara itu, dalam hati saya berkata-kata adakah saya kehilangan seorang lagi adik. Kami kehilangan Mohamad Zakuan (ketika usianya 15 tahun) dua tahun lalu juga kerana kemalangan.
“Kali ini, saya hilang pula seorang lagi adik walaupun kesedihan itu masih belum reda,” katanya Mohamad Faizin yang juga penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
Namun, Mohamad Faizin berkata, mereka sekeluarga menerima takdir dengan hati terbuka kerana Allah lebih menyayanginya.
Mohamad Faizin berkata, sebelum kemalangan, adiknya dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berjumpa rakan di Batu Pahat.
Kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.