Dua pengarah dan syarikat mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang di atas pertuduhan menggunakan pelekat SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) palsu pada 107 tayar celup.
Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah, Yip Wei Leong, 44, dan Yip Wing Kee, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Kedua-dua Orang Kena Sama merupakan ayah dan anak, serta selaku pengarah dan Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd didakwa membuat tuntutan palsu dengan menggunakan pelekat logo MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz. Tayar-tayar tersebut tidak mempunyai kelulusan oleh SIRIM.
Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat di Meranti Jaya Industrial Park, Puchong kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Februari lalu.
Berikutan itu, syarikat tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] kerana melanggar Seksyen 16(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21 (a) akta yang sama, manakala Wei Leong dan Wing Kee selaku pengarah syarikat didakwa di bawah Seksyen 21 (b) akta sama.
Syarikat mereka berdepan dengan saman sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama, dan sehingga RM1,000,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya. Kedua-dua Orang Kena Saman pula boleh disaman sehingga RM250,000 dan/atau penjara tiga bulan bagi kesalahan pertama, dan saman sehingga RM500,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara serta menetapkan 25 September depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.