Dua rakan yang menyamar sebagai polis trafik dan memeras ugut dua orang remaja lain telah didenda RM5,000 masing-masing oleh Mahkamah Majistret Ipoh.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu menyamar dan memperdaya remaja berusia 17 dan 15 tahun dengan cara meminta wang daripada mereka untuk tidak mengeluarkan saman atau tidak dibawa ke balai polis.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selatan 1, Taman Ipoh Timur Baru dalam daerah Kinta pada 12.38 pagi 1 Nov lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, di mahkamah sama, Jiun Wei turut dikenakan denda RM2,000 dan penjara lima bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki peralatan polis, iaitu satu topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertulis Jabatan Siasatan Polis Trafik (JSPT) dan boot JSPT bertulis PDRM pada waktu dan hari sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 89 Akta Polis Pindaan 2004 membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini memohon hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh menjejaskan integriti PDRM selain terdapat bukti pindahan wang berjumlah RM400.
Peguam K Nathan merayu hukuman diringankan atas alasan itu adalah kesalahan pertama anak guamnya dan kedua-dua mereka bekerja sebagai pembantu kedai makan dan juru elektrik dengan pendapatan RM1,500.
Mengikut fakta kes, tertuduh menahan pengadu dan menyamar sebagai anggota polis trafik dengan memakai pakaian menyerupai uniform polis seperti boot trafik, seluar hitam berjalur krim, dan topi berlogo PDRM.
Dalam kejadian itu tertuduh didapati telah menakut-nakutkan mangsa dengan ugutan akan mengeluarkan saman dan membawa ke balai polis kerana motosikal diubah suai selain meminta wang daripada pengadu bagi menyelesaikan perkara itu tanpa tindakan lanjut.