Kenderaan berat termasuk lori muatan, treler serta bas pelancong tidak lagi dibenarkan melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu bermula tahun hadapan selepas penguatkuasaan palang penghadang dengan ketinggian 3.5 meter bermula 1 Januari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ti Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, penguatkuasaan itu turut membabitkan had muatan kenderaan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) atau Berat Tanpa Muatan (BTM) maksimum lima tan bagi semua kenderaan yang menggunakan jambatan ikonik berkenaan.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melebihi had muatan dan ketinggian dibenarkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain.
Katanya, penguatkuasaan itu dilaksanakan selaras Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Seksyen 86(3) yang melarang kenderaan dengan muatan BTM atau BDM lima tan dan ke atas merentasi Jambatan Angkat itu.
“Langkah yang diambil ini juga penting bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur akibat beban berlebihan.
“Justeru, ia boleh menjejaskan keselamatan serta jangka hayat jambatan yang juga antara infrastruktur penting serta mercu tanda ikonik negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa peka terhadap peraturan ditetapkan, papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan berkaitan akta dan undang-undang sudah dipasang di jalan-jalan utama menuju ke jambatan berkenaan.
Selain itu, menurutnya, amaran had ketinggian turut dipaparkan menerusi papan skrin LED di Jambatan Angkat sebagai peringatan berterusan kepada semua pemandu dan penggunaan laluan itu.
Katanya, kenderaan yang melebihi had muatan lima tan dan ketinggian 3.5 meter ke atas perlu menggunakan laluan alternatif.
Tambahnya, mereka boleh melalui Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir yang menghubungkan kawasan Kuala Nerus dan pusat bandar Kuala Terengganu.
Awasi berkata, laluan penyuraian alternatif serta parkir khas turut disediakan khususnya bagi bas pelancong yang berkunjung ke kawasan sekitar Jambatan Angkat bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengunjung.
































































































