Sebuah Yamaha LC135 mendapat bidaan RM150, manakala sebuah Perodua Myvi mendapat bidaan RM26,00 menerusi Lelongan Awam Siri 2/2025 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur. Harga-harga bidaan tersebut masing-masing merupakan yang terendah dan tertinggi.
Sebanyak 149 kenderaan berjaya dilelong dengan kutipan keseluruhan mencecah RM257,100.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, sebanyak 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan awam ini yang berlangsung berlangsung di sini, hari ini.
“Program ini merupakan inisiatif berterusan JPJ dalam pengurusan aset sitaan secara telus dan berintegriti.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada orang awam untuk memiliki kenderaan pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamidi berkata, daripada 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan itu membabitkan 128 motosikal, 13 kereta, tiga van dan enam lori rigid.
“Lelongan awam ini turut menunjukkan minat dan penyertaan aktif daripada orang awam.
“Rekod pelaksanaan juga menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan awam serta keberkesanan program yang dijalankan secara berkala,” katanya.
Menurutnya, ketika Lelongan Awam Siri 1/2025 pada 21 Mei lalu yang menawarkan 124 kenderaan dan semuanya berjaya dilelong dengan kutipan hasil RM237,000.
Katanya, ia membabitkan bidaan tertinggi pada harga RM27,000 bagi lori rigid tipper/dumper serta bidaan terendah RM200 untuk motosikal untuk sekerap.
“JPJ WPKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidi berkata, orang awam digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi JPJ bagi maklumat terkini mengenai lelongan akan datang.