Yamaha XMAX 250 (2025) muncul dengan beberapa kemaskini kecil tetapi ia masih mengesahkan satu perkara: Ia masih laju!
XMAX 250 telah memegang gelaran Raja Skuter 250cc sejak pelancaran pertamanya pada 2018. Memang benar ia tiada pesaing setanding pada masa itu, namun ia kekal sebagai jualan terbaik dalam kelasnya walaupun kemudiannya dicabar oleh yang lain dalam kelas yang sama, terutamanya Honda Forza 250.
Tetapi industri motosikal telah banyak berubah sejak itu.
Asakan skuter dari China nampaknya telah mengubah keseimbangan ini, secara sedikit sebanyak. Strategi kolektif pengeluar China adalah: Isi motosikal dengan teknologi, ciri-ciri, dan jual pada harga lebih murah. Dan sememangnya ada yang terpikat. Honda juga telah mengemaskini Forza 250 mereka menjadi NSS250 yang sangat bagus.
Namun, Yamaha XMAX 250 terus mendapat tempat dan kami perlu tahu mengapa.
Apakah YAMAHA XMAX 250 (2025) ini?
Hanya satu versi XMAX dijual di Malaysia, varian 250cc (maka namanya). Anda boleh jumpa varian 125cc di Eropah dan negara lain.
Ia adalah skuter ‘grand touring,’ yang direka untuk perjalanan jauh pada kelajuan tinggi sambil menyediakan keselesaan kepada penunggang. Skuter sebegitu juga bermaksud ruang penyimpanan yang besar, tangki minyak besar, skrin angin besar, dan badan yang besar.
Ciri-ciri utama
- Enjin 249.8cc, satu silinder, penyejuk cecair, 4-lejang, SOHC, 4 injap.
- Ia menghasilkan 22.5 hp (16.8 kW) @ 7,000 RPM dan 24.3 Nm @ 5,500 RPM.
- Kuasa enjin dihantar ke roda belakang melalui tali sawat (v-belt).
- Suspensi depan menggunakan fork teleskopik, manakala belakang disokong oleh sepasang penyerap kejutan yang dipasang pada lengan ayun unit.
- Lengan ayun unit bermaksud enjin dan lengan ayun digabungkan menjadi satu.
- Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal di depan dan satu lagi di belakang, disokong oleh ABS.
- Ketinggian tempat duduk ialah 805 mm.
- Berat basah disenaraikan sebagai 183 kg.
- Seperti tradisi Yamaha melengkapkan motosikal mereka dengan skrin gabungan, XMAX 250 juga mempunyai skrin utama TFT 4.2″ dan skrin sekunder LCD 3.2″.
- Yamaha XMAX 250 adalah skuter pertama dilengkapi kawalan traction (TCS) di Malaysia semasa pelancarannya, jadi sistem ada di sini, tetapi “ditala semula” menurut Yamaha.
- Motosikal kini mempunyai skrin angin yang boleh dilaraskan secara elektrik.
- Terdapat juga banyak butang baharu pada hendal kiri.
-
Lampu brek mempunyai fungsi Lampu Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Light) yang mengelipkan kedua-dua lampu isyarat belakang semasa brek kecemasan.
Sebelum menunggang
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyediakan fungsi Yamaha Y-Connect dengan telefon. Untuk berbuat demikian, kami muat turun aplikasi telefon dahulu, dan pasangkannya ke skrin TFT. Dari sini, kami boleh menukar lagu, membuat atau menerima panggilan telefon, memanggil ramalan cuaca, melihat masa untuk penyelenggaraan seterusnya dan pertukaran tali sawat, dan menetapkan ketinggian skrin angin.
Eh? Anda perlu menukar ketinggian skrin angin melalui TFT? Ya. Kami akan bincangkan ini nanti.
Jadi, dengan selesainya membuat ‘setting‘, sudah tiba masanya untuk bergerak. Enjin hidup dengan pantas kepada bunyi enjin skuter satu piston, tetapi ekzosnya seperti jauh lebih senyap kali ini.
Pelana disenaraikan pada 805 mm, tetapi tidak mudah untuk kaki pendek saya mencari tanah. Sisi pelana melebar untuk memuatkan panel sisi yang lebar di bawahnya yang seterusnya menutupi ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang luas. Menyumbang kepada itu ialah papan kaki yang lebar juga. Jadi saya terpaksa mengalihkan sebelah punggung dari tempat duduk untuk memijak tanah pada satu sisi, sementara kaki yang lain tergantung di udara seperti di atas motosikal lasak.
Kami bukan mengeluh tetapi ia hanya pemerhatian dan diharapkan sebagai panduan tentang cara menunggang motosikal dengan ketinggian tempat duduk yang tinggi. Ia tidak sukar, bagaimanapun, kerana keberatan 183 kg adalah seperti motosikal superbike moden.
Pengalaman menunggang Yamaha XMAX 250 (2025)
Buka pendikit dan skuter ini meluru dan terus menarik kuat sehingga ia mencapai kelajuan maksimum. Itu adalah tanda pengunaan pemberat ‘roller‘ yang lebih ringan. Apabila pendikit ditutup dengan tiba-tiba, kilasan enjin boleh dirasakan dan ia mengesahkan lagi tanggapan kami tentang keberatan pemberat yang digunakan. Terdapat kurang inersia untuk diatasi jadi RPM enjin naik dengan cepat, dan juga nyahpecut dengan cepat.
Sebaliknya, skuter dengan pemberat ‘roller’ yang lebih berat memecut lebih perlahan (lebih banyak inersia untuk diatasi), tetapi nyahpecut lebih perlahan – seperti ia terus ‘lajak’ apabila pendikit ditutup (lebih banyak inersia dikekalkan).
Ciri ini mengingatkan kami mengapa kami menyukai XMAX 250 pada mulanya. Ia adalah ciri yang sangat sporty dan agresif yang telah memenangi hati dan minda ramai penunggang motosikal muda di luar sana.
Syukurlah, Yamaha melengkapkan motosikal itu dengan brek yang hebat, terutamanya brek belakang dengan cakera hampir sebesar cakera depan. Tarik brek itu dan motosikal perlahan begitu kuat sehingga hampir menggelincirkan punggung kami dari tempat duduk.
Bercakap tentang tempat duduk, ia mempunyai kusyen yang baik untuk kedua-dua penunggang dan pembonceng yang membantu menyerap sedikit tenaga hentakan.
Kami tidak sabar-sabar untuk mengalami pengendalian motosikal itu yang telah memberikan kesan yang hebat dengan versi sulung. Tetapi ia agak berbeza kali ini.
Versi 2025 terasa lebih bersemangat untuk membelok ke dalam selekoh perlahan dan tajam, serta mengemudi melalui ruang sempit. Sedikit sentakan pada bahu atau pinggul sudah cukup untuk membuatnya membelok ke kiri atau kanan. Itu baik dan hebat sehingga…
Datanglah selekoh kiri yang laju selepas plaza tol Sungai Buloh. Kami membiarkan XMAX berada di sebelah kanan selekoh itu untuk seketika sebelum membelokkannya ke puncak selekoh. Aish! Hendal mula bergetar dari sisi ke sisi, sementara gantung belakang mula mengepam naik dan turun.
Kami masih ingat yang Versi 1 tidak berkelakuan seperti ini. XMAX 250, apabila pertama kali diperkenalkan, adalah skuter paling stabil. Ia tidak menggelengkan depannya seperti kebanyakan skuter, dan tidak mempamerkan kelakuan bahagian belakang yang tidak stabil di selekoh laju.
Kami memeriksa tekanan tayarnya namun ia berada pada bacaan yang ditetapkan.
Adakah Yamaha mengubah sesuatu? Kami tidak tahu. Namun, demi keselamatan, skuter baru ini lebih stabil apabila dibelokkan ke dalam selekh dengan lancar, yang merupakan perkara yang baik kerana ia masih sebuah skuter dan bukannya motosikal.
Tunggangan harian
Rutin harian bangun tidur, menghadapi kesesakan sebelum masuk kerja adalah jauh lebih seronok dengan adanya XMAX ini. Ini kerana kesesakan lalu lintas tidak dapat menghalangnya dan ia masih mampu menyusup lalu lintas dengan mudah, ditambah dengan pecutan kuat yang membolehkan anda memotong kenderaan lain dengan hanya pusingan pergelangan tangan. Malah beberapa skuter 250cc tidak setanding dengan pecutan dan pengendalian ringan XMAX 250.
Ruang bawah tempat duduk itu memuatkan topi keledar jenis jet dan beg galas dengan komputer riba 15″ dengan mudah dan masih meninggalkan banyak ruang. Tiada keperluan untuk kotak simpanan atas melainkan anda benar-benar tidak boleh hidup tanpanya.
Satu-satunya perkara yang kami tidak gemar ialah arahan skrin angin yang tersembunyi dalam menu paparan TFT. Menaikkan skrin angin lebih tinggi dapat mengurangkan pergolakan udara dan seterusnya bunyi bising pada kelajuan di atas lebuh raya, sementara menurunkannya membolehkan aliran udara dan penglihatan yang lebih baik pada kelajuan rendah. Walaubagaimanapun, anda perlu menatal melalui menu yang termasuk strim muzik, telefon, dan arahan lain untuk sampai kepada arahan skrin angin.
Berbuat demikian memerlukan anda melihat ke bawah pada skrin. Membiarkannya dalam submenu skrin angin bermakna anda tidak boleh menukar lagu atau memerintahnya untuk melakukan tugas lain. Kekal dalam submenu main muzik pula bermakna anda tidak boleh mengawal skrin angin dan perlu keluar daripadanya untuk mencari arahan skrin angin. Tiada masalah melakukan ini ketika berhenti di lampu isyarat adalah baik, tetapi kami tahu kebanyakan penunggang akan melakukannya semasa skuter sedang bergerak (termasuk kami) Kami berharap Yamaha akan memisahkan arahan skrin angin daripada senarai menu, atau gunakan butang yang dikhaskan.
Akhirnya, kami hanya membiarkannya dalam submenu arahan kaca angin, sambil menukar lagu dan menerima panggilan dengan menekan butang pada interkom Bluetooth kami.
Penutup
Yamaha XMAX 250 2025 membuktikan bahawa ia masih motosikal yang bagus untuk ditunggang memandangkan kelakuannya yang sporty, dibalut dalam pakej dengan banyak keselesaan dan kemudahan.
Perkara yang sukar ialah, sudah tentu, harganya RM24,888 (harga jualan bersih, bukan di atas jalan) jika dibandingkan dengan pesaingnya. Tetapi mari kita melihatnya dari perspektif pemilikan skuter yang lebih premium. Dan XMAX 250 (2025) ini sememangnya kelihatan premium terutamanya dalam warna Icon Red ini.














































