Triumph Bonneville Bobber (2025) mengingatkan kami mengapa sesetengah pengguna jalan raya menganggap penunggang motosikal sebagai golongan yang sering melanggar undang-undang jalan raya. Dalam kes ini, bukannya kerana kami teringin berbuat demikian tetapi kerana motosikal ini yang mendorong kami.
Dan bukan sekadar menjadi ‘budak nakal’ daripada segi penampilan semata-mata (orang panggil ‘poyo’ atau ‘poser‘ , tetapi jelas menjadi seorang ‘budak nakal’ SEBENAR. Kalaulah kami boleh gunakan hujah ini di mahkamah, “Tetapi Yang Arif, motosikal itu yang mendesak saya!”
Apakah Triumph Bonneville Bobber (2025) ini?
Ulasan bagi mana-mana model dalam barisan Triumph Bonneville perlu dimulakan dengan sedikit huraian sejarah, kerana pengeluar ini menanamkan semangat asal-usul mereka ke dalam setiap motosikal.
Gaya motosikal ‘bobber’ berasal dari akhir tahun 1920-an dan 1930-an apabila penunggang mengubah suai motosikal mereka untuk mengurangkan berat dan meningkatkan kelajuan dengan membuang bahagian berlebihan, terutamanya ‘mudguard‘ depan dan belakang. Selepas Perang Dunia Kedua, zaman itu menjadi simbol pemberontakan dan kebebasan yang lahir daripada askar-askar yang merindui motosikal Eropah yang ringan dan menyesuaikan motosikal Amerika mereka yang besar dan berat menjadi versi yang lebih ringkas dengan ciri yang minima.
Pengubahsuaian lain termasuk membuang rak bagasi, menukar pelana kepada yang lebih kecil, dan komponen lain yang tidak perlu. (Brek belakang dikekalkan pada motosikal ini.)
Gaya ini kemudiannya berkembang, dengan beberapa pengeluar moden mencipta bobber binaan kilang yang mengekalkan estetika klasik yang sama, tetapi dilengkapi ciri-ciri moden. Selain itu, pengurangan berat badan yang melampau mungkin bukan lagi menjadi penekanan utama demi keselamatan dan keselesaan.
Kembali kepada Triumph Bobber, ia mengikuti gaya minimalis yang sama seperti bobber awal. Gambar-gambar beberapa bobber awal ini menghiasi dinding di Ace Café di London.
Apabila Triumph memperkenalkan Bonneville Bobber pada 2016, model itu terus menjadi model yang terlaris dalam sejarah pengeluar itu.
Pada masa itu, ia dilengkapi tayar hadapan yang kurus, manakala versi Bobber Black yang diperkenalkan kemudiannya hadir dengan tayar hadapan yang lebar. Ia dipasangkan enjin selari kembar 1200cc ‘High Torque’ berbanding varian ‘High Power’ yang terdapat pada Speed Twin dan Thruxton RS yang sangat hebat (dan dirindui). Ia juga dipasang dengan pelana solo yang membuatkan penunggang kelihatan seperti duduk di atas udara, suspensi belakang tersembunyi untuk memberikan rangka penampilan ‘hardtail’ (tanpa lengan ayun), dan ciri-ciri elektronik moden.
Kami berpeluang mengulas model Bobber yang pertama ini dan berasa kagum, sambil mencatatkan bahawa motosikal ini mempunyai jalur kuasa yang sangat lancar dan sekata.
Ciri-ciri utama:
- Enjin 1200cc, penyejukan cecair, 8 injap, SOHC, selari-kembar, dengan sudut engkol 270°, dengan talaan yang dikhaskan khas untuk motosikal ini.
- Enjin ini menghasilkan 76.9 hp (57.5 kW) @ 6,100 RPM, dan 106 Nm @ 4,000 RPM.
- Klac plat basah dan pacuan rantai akhir.
- Fork kartrij Showa 47 mm (tidak boleh laras), monoshock RSU dengan sambungan suspensi.
- Cakera berkembar 310mm, kaliper gelongsor 2-piston Brembo di hadapan. Cakera tunggal Ø255mm, kaliper gelongsor 1-piston Nissin di belakang.
- Ketinggian tempat duduk boleh dilaras antara 690 – 700 mm.
- Sudut stereng ialah 25.4º.
- Tangki bahan api kini memuatkan 12 liter petrol.
- Triumph mendakwa berat basah motosikal ini adalah 251 kg.
Pengalaman Menunggang Triumph Bonneville Bobber (2025)
Pra-tunggangan
Triumph benar-benar mahu motosikal ini kekal setia kepada semangat bobber asal, justeru rekaannya ringkas hampir di setiap aspek, termasuk penyediaan pra-tunggang. Tiada navigasi, penstriman muzik, atau tetapan panggilan telefon untuk dimainkan. Pendikitnya menggunakan sistem ‘ride-by-wire‘, yang membolehkan hanya dua mod tunggangan: ROAD dan RAIN. Terdapat kawalan ‘cruise‘, yang merupakan ciri yang bagus untuk perjalanan jauh.
Pelana telah ditetapkan pada kedudukan lebih rendah, yang juga mendudukkannya lebih jauh dari tangki. Dalam kedudukan ini, lengan kami terhulur lebih lurus ketika memegang hendal, untuk ergonomik badan atas motosikal drag yang ‘sebenar’. Walaubagaimanapun, pemijak kaki diletakkan pada kedudukan tengah berbanding penempatan paling depan seperti Bobber pertama. Satu set pemijak racing lebih sesuai untuk lumba drag sebenar (lebih lanjut mengenai ini kemudian).
Pengalaman menunggang
Kawalan cengkaman tayar (TCS) dan ABS boleh dihidupkan atau dimatikan. Tetapi kebetulan hujan turun setiap kali kami mengambil motosikal Triumph untuk diulas. Jadi, kami tetapkan mod tunggangan kepada RAIN, biarkan kawalan cengkaman tayar dan ABS dihidupkan, dan terus bergerak.
Kami kemudian mendapati bahawa itu mungkin cara alam semesta membenarkan kami menguji sepenuhnya kawalan cengkaman, tayar, suspensi, respons pendikit, dan kendalian motosikal ini dalam cuaca buruk. Kalau difikirkan semula, apa gunanya motosikal yang mengendali dengan cemerlang dalam cuaca baik, namun membuatkan penunggang mencengkam hendal sekuat-kuatnya apabila hujan turun? Memandangkan iklim negara kita di mana hujan satu kemungkinan yang akan turun bila-bila (60% kebarangkalian), sebarang motosikal sepatutnya mampu mengendali jalan basah.
Respons pendikit sangat lancar dalam mod ini, walaupun kami perhatikan sedikit tujahan yang lebih kuat berbanding Bobber generasi pertama. Jangan salah faham, enjin ini mampu memecut kuat apabila kami membuka pendikit sepenuhnya, tetapi terdapat sedikit ‘kelelahan’ sebelum tork enjin mencapai tahap penuh, sekali lagi dalam cara yang sangat linear dalam mod ini.
Kami telah banyak kali menyatakannya sebelum ini, dan kami ulangi: mana-mana Triumph adalah antara motosikal yang terbaik kendaliannya, jika bukan yang terbaik. Oleh itu, Bobber ini mendapat pujian tinggi dari segi kendalian dalam keadaan basah. Kami tidak takut untuk membawanya melalui selekoh dengan kemasukan yang lancar dan kelajuan tinggi di tengah selekoh, berbanding terpaksa berhati-hati di selekoh dengan brek enjin yang tinggi seperti penunggang baru.
Syukur, cuaca mulai cerah menjelang petang dan tiba masanya untuk bertukar ke mod ROAD.
Penukaran ke mod ini tidak menyebabkan enjin mengambil watak yang berbeza. Enjin terus melahu dengan lancar pada nada rendah yang berdentum. Sistem ekzos kembarnya juga kekal senyap pada masa ini.
Mengingati Bobber lama, kami membuka pendikit lebih besar daripada yang sepatutnya, dan kali ini motosikal ini mengejutkan kami dengan melonjak dari garisan tanpa ragu-ragu. Dari sinilah ekzos kembarnya mengeluarkan dentuman kuat yang indah dan menyentuh jiwa. Kami mengulangi perkara yang sama di lampu isyarat seterusnya, dan seterusnya.
Lampu merah biasanya tidak disukai oleh mana-mana pengguna jalan raya (termasuk kami) kerana ia memecahkan rentak menunggang. Tetapi ia tidak lama kemudian menjadi satu ketagihan untuk sampai ke lampu isyarat, mengharapkan ia bertukar merah. Inilah yang diinginkan oleh pencipta bobber yang asal, dan Bonneville Bobber menyatakan niatnya dengan sangat jelas.
Dan seperti yang kami sebutkan di atas, pemijak kaki racing sangat sesuai untuk gelagat tunggangan sebegini, kerana ia meletakkan kaki di belakang dan akan membantu menambahkan lebih banyak berat badan ke tayar hadapan untuk kawalan penuh sementara motosikal melonjak ke hadapan seperti roket. Kami tidak dapat menahan diri, terkekeh-kekeh sambil berlepas dari setiap lampu hijau, sambil melirik cermin pandang belakang meninggalkan semua orang di lampu isyarat. Alangkah baiknya jika ekzosnya menyemburkan api biru ketika kami berbuat demikian! Itulah yang dilakukan oleh seorang pembuat motosikal ‘custom’ di UK dengan memasang sistem NOX pada sebuah Bobber.
Namun, tork enjin ini tidak terhad kepada pelancaran pantas dalam gear rendah. Masih banyak pecutan kuat yang boleh diakses dalam mana-mana gear, pada sebarang kelajuan. Buktinya ialah sproket belakang yang kecil yang memberikan motosikal ini sikap jelajah yang lancar, tanpa menjejaskan pecutan. Sproket itulah juga yang membolehkan peralihan lancar apabila pendikit ditutup, tanpa mengakibatkan nyahpecutan mendadak, terutamanya di selekoh. Torknya begitu banyak sehingga kami tidak pernah sekali pun mencapai had rev, walaupun kuasa maksimum hanya dicapai pada 6,100 RPM, berkat nisbah gear yang tersebar dengan baik.
Bercakap tentang selekoh, Bobber ini tidak dibina khusus untuk tujuan itu. Ia memang boleh membelok, namun selekoh panjang lebih menjadi tumpuannya berbanding belokan tajam. Tayar hadapan yang lebar memerlukan sedikit usaha untuk membuatkan motosikal ini berpusing, justeru memerlukan perancangan yang lebih teliti. Tetapi sekali sudah condong, ia akan mengikuti selekoh dengan mudah sambil menggesel footpegs dengan sedikit pendikit. Dari situ, pendikit dibuka lebih awal, membiarkan motosikal itu mengaum keluar.
Satu lagi kepuasan adalah melihat wajah terkejut beberapa penunggang motosikal lain yang menyangka Bobber ini adalah motosikal klasik ‘poyo’. Dan sekali lagi, Bobber ini bukan sekadar untuk gaya.
Dengan itu dijelaskan, mari kita lihat beberapa keunikan motosikal ini.
Suspensinya diturunkan serendah mungkin untuk membolehkan pecutan maksimum yang kuat (dan pastinya, penggayaan), yang menyebabkan penunggangan lebih kasar di jalan berlubang. Kami mengurangkan tekanan tayar sedikit untuk mengimbanginya.
Dengan ketinggian yang rendah, serta berat penunggang diletakkan lebih ke belakang, berat motosikal ini condong ke arah belakang. Menggunakan brek depan dengan keras akan menyebabkan motosikal ini berbuai-buai. Tetapi perhatikan bahawa cakera brek belakang agak besar? Teknik membrek yang betul untuk motosikal ini adalah dengan menggunakan brek belakang dengan lebih kuat dahulu, diikuti brek depan.
Jika anda jenis penunggang yang gemar jalan berliku, kami cadangkan untuk menggerakkan tempat duduk ke hadapan, yang seterusnya akan meninggikannya. Ini akan meletakkan lebih banyak berat pada suspensi dan tayar hadapan untuk membuat motosikal mengendali dengan lebih pantas. Malangnya, walaupun prosesnya mudah, mengubah kedudukan tempat duduk memerlukan penunggang mencapai nat di bawah bahagian belakang tangki bahan api. Jadi pastikan anda membawa alat bersama semasa menunggang.
Penutup
Kami benar-benar jatuh cinta dengan Triumph Bonneville Bobber 2025 baharu ini kerana pengeluar telah menjadikannya sebuah bobber sejati, berbanding model asal yang mempunyai penghantaran kuasa yang lebih “lembut”. Penulis ini bukannya peminat motosikal cruiser, namun tersungkur sepenuhnya kepada Bobber kerana penghantaran torknya yang luar biasa. Memulangkan motosikal ini kepada Triumph Motorcycles Malaysia rasanya seperti dipaksa duduk di barisan depan sambil menyaksikan wanita idamannya dikahwinkan dengan orang lain.
Sila ada yang pinjamkan kami RM88,900!

















