Bayi? Comel. Kucing? Comel. Moda Moca? Comel juga. Tetapi sifat comel semata-mata tidak menjamin motosikal itu bagus untuk ditunggang. Atau sebaliknya benar?
Moda ialah jenama tempatan, dan produk mereka telah mendapat sambutan yang baik sejak melancarkan skuter pertamanya, Sporter S. Anda tidak boleh sekali-kali melabelkan rakyat Malaysia sebagai tidak patriotik, tidak sama sekali, lihat sahaja PETRONAS.
Apakah ia Moda Moca ini?
Moca telah menarik minat kami sejak ia dilancarkan, apatah lagi dengan bentuknya seakan Vespa. Sebelum menyerang kami, ingatlah bahawa gaya skuter jenis ini dipelopori oleh Vespa.
Tetapi Moca ini tetap comel dengan gaya retro modennya yang dilengkapi panel sisi menggembung dan ekor tajam, roda kecil, ditambah kombinasi warna ‘Baby Blue‘ dan putih ini (secara rasmi dipanggil Ocean Blue), antara lain. Kotak simpanan atas bentuk ‘siput’ itu juga pasti memainkan peranan. Secara peribadi, kami akan mempamerkan Moca dalam kombinasi warna khusus ini jika kami memiliki kedai barangan bayi.
Kembali kepada fungsinya sebagai kenderaan, Moda Moca adalah skuter bandar atau mungkin juga skuter sub-bandar, ditujukan kepada orang biasa dengan harga berpatutan dan fungsinya yang mudah.
Kami bercakap tentang satu pakej yang menyeluruh di sini: Pelana yang rendah dan ketinggian keseluruhan rendah, papan kaki panjang dan lebar, banyak ruang penyimpanan di hadapan termasuk cangkuk untuk menggantung minuman ‘ikat tepi,’ ruang penyimpanan di bawah pelana untuk beg sekolah anak-anak, dan port USB untuk mengecas telefon kami yang dahagakan kuasa. Kotak simpanan itu pula muat untuk baju hujan dan beberapa barangan runcit.
Ciri-ciri utama
- Enjin 108cc, satu silinder, SOHC, disejukkan udara, dan suntikan bahan api (EFI) yang menghasilkan 8 hp pada 7,500 RPM dan 8.5 Nm pada 6,500 RPM.
- Kuasa enjin dihantar melalui transmisi CVT dan diakhiri dengan pacuan akhir tali sawat (v-belt).
- Di bahagian rangka, sepasang garpu teleskopik konvensional di hadapan, digabungkan dengan ayunan sebelah tunggal di belakang.
- Tugas membrek dikendalikan oleh satu cakera di depan, dan brek dram di belakang.
- Rim 10-inci di kedua-dua hujung.
- Lampu LED di sekeliling.
- Skrin LCD menyediakan data menunggang yang diperlukan seperti kelajuan, RPM, paras bahan api, perjalanan, odometer, dan jam.
- Tangki bahan api 8 liter.
- Berat yang didakwa hanya 89 kg (kami tidak salah taip!).
- Sila ambil perhatian bahawa top case pada motosikal ujian kami adalah aksesori. Aksesori lain termasuklah skrin angin.
Pengalaman menunggang Moda Moca
Moda tidak menghiasi model Moca ini untuk kelihatan canggih, sebaliknya mengekalkannya dengan prinsip mudah. Tiada navigasi dan sambungan Bluetooth untuk membuang masa berbelas minit, tiada mod menunggang untuk diset atau salah diset bagi situasi yang salah (contohnya, Mod Sport dalam Hujan). Jadi kami hanya naik, hidupkan enjin, pusing pendikit dan jalan.
Gabungan berat ringan 89kg dan roda 10-inci itu mengejutkan kami, apatah lagi selepas baru turun dari skuter maxi yang berat lebih 200kg. Sebarang input stereng atau anjakan berat badan pada Moca membuatkan motosikal ini membelok tanpa ragu-ragu. Secara jujur, pada mulanya ia agak membimbangkan, menyebabkan kami menggenggam handel dengan kuat sementara motosikal ini berliku ke kiri dan kanan. Ia juga melompat-lompat sedikit atas bonggolan kecil di jalan raya, kerana kurang berat dari atas untuk menyerap bonggolan itu.
Perlu dinyatakan bahawa menunggang motosikal, terutamanya motosikal berbeza setiap minggu, memupuk kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan cepat. Dan setelah kami menyesuaikan diri, Moca ini menyeronokkan dengan caranya tersendiri, membelok seperti basikal dan bukannya kenderaan bermotor. Kaedah ‘countersteering‘ membuatkan motosikal ini membelok terlalu mendadak jadi kami hanya perlu mengalihkan berat badan melalui pinggang kami.
Disebabkan keringannya, memotong atau dipotong oleh lori memerlukan sedikit kemahiran untuk mengelak daripada ditiup angin seperti daun kering atau lebih teruk, ditarik ke dalam oleh aliran udara.
Kami bukan mengeluh, kerana terdapat banyak kelebihan lain disebabkan keringanan itu. Pertama, isteri anda akan mendapati lebih mudah untuk menggerakkan motosikal ini sama ada semasa duduk di atasnya atau secara ditolak. Malah, kami yang sudah berusia tidak perlu risiko sakit belakang ketika menolaknya, contohnya, mengundurnya keluar daripada rumah atau tempat parkir. Kedua, breknya tidaklah sangat kuat secara semula jadi, tetapi kekurangan berat membolehkannya berfungsi dengan baik, kerana kurang inersia untuk diatasi untuk melambatkan motosikal ini. Ketiga, motosikal ini boleh memecut lebih pantas daripada yang biasa kami lihat pada motosikal 110cc. Dan keempat, membolehkan motosikal ini menjimatkan bahan api.
Ia mungkin dipasang dengan enjin 110cc, tetapi ia memecut dengan agak cepat serta masih mengekalkan sedikit tenaga semasa menunggang di lebuh raya.
Namun begitu, habitat sebenar Moda Moca, seperti yang diniatkan oleh pengilangnya, adalah persekitaran bandar. Fikirkan kawasan Bukit Bintang, Pavilion Kuala Lumpur, KLCC, dan seumpamanya. Kesesakan lalu lintas? Lalu lintas apa? Cuma ‘cilok-cilok’ sudah lepas.
Handel yang sempit membolehkan kami melepasi cermin sisi kereta dengan mudah, dan memotong kenderaan di antara laluan tanpa rasa takut. Malah, cermin pandang belakang motosikal ini mempunyai tangkai yang sangat panjang dan mudahkan mereka melepasi cermin sisi kereta. Jadi tidak usahlah buang ‘said mirul’ itu.
Walaupun bahagian belakang motosikal ini kelihatan lebar, ia tidak melebar melebihi lebar pengadang kaki depan. Jadi, jika pengadang kaki itu melepasi halangan, begitu juga bahagian belakang.
Dan sekali lagi, apabila menghampiri lalu lintas yang sesak hingga tidak bergerak, anjakan kecil berat badan pada pinggul sudah cukup untuk mengemudikan motosikal ini melalui celahan yang akan meninggalkan skuter dan motosikal lebih besar terperangkap.
Oleh itu, ia mengesahkan bahawa Moda Moca adalah 100 peratus sesuai untuk landskap bandar. Inilah motosikal yang mudah digunakan, mempunyai ketinggian kerusi rendah, sambil menyediakan keselesaan dan ciri utiliti yang diperlukan untuk perjalanan harian. Menghantar anak-anak ke sekolah beberapa minit kemudian apabila lalu lintas semakin padat setiap minit bukanlah masalah kerana lalu lintas tidak penting lagi. Cuma kelok-kelok sahaja melalui semua kesesakan itu sambil memerhatikan ibu bapa lain meradang dalam kesesakan.
Begitu juga, membeli barangan runcit adalah mudah kerana perisai kaki dan struktur tengah tinggi yang memegang tiang stereng membentuk kawasan kaki yang dalam untuk membawa barangan itu.
Kami juga membayangkan motosikal ini digunakan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung di mana pemiliknya menuju ke masjid untuk solat atau mendengar ceramah.
Sebelum mengakhiri, terdapat satu ciri untuk diperhatikan. Tidak seperti skuter automatik lain, enjin Moca boleh dihidupkan semasa diletakkan atas topang sisinya, tetapi sudah tentu, sambil anda menekan tuil brek belakang. Skuter lain, sebaliknya, hanya boleh dihidupkan dengan topang sisi dinaikkan, bermaksud sama ada ketika ia diparkir atas topang tengah atau ketika penunggang duduk di skuter dengan topang sisi dinaikkan. Ini hanya nota kepada bakal pemilik untuk tidak membuka pendikit ketika menghidupkan enjin atau berisiko motosikal itu melonjak memasukki rumah atau kedai. Atau ke dalam lalu lintas.
Penutup
Moda Moca memberikan nilai yang baik kepada mereka yang mahukan kenderaan harian yang mudah ditunggang dan diurus – cuma naik dan tunggang sahaja. Dan, kami tidak perlu mengisi semula tangki bahan api walaupun setelah menunggang motosikal ini dengan galak di lebuh raya. 4.8 liter bahan api lebih daripada mencukupi untuk empat hari. Dengan harga hanya RM3,988 (harga jualan bersih), kami sukar untuk memikirkan skuter lain yang memberikan nilai sedemikian. Ini adalah motosikal yang penulis ini akan tinggalkan dengan isteri untuknya menghantar dan mengambil tiga anak di sekolah dan membolehkan kami menjimatkan yuran bas sekolah.
Sebagai penutup, ini adalah ujian dan ulasan yang memuaskan. Ya, ia comel dalam lebih daripada satu segi.
Moda Moca boleh didapati dalam empat warna terkini, iaitu Ocean Blue, Neon Orange, Citrus Green, dan Piano Black.
SPESIFIKASI MODA MOCA
| Enjin | Piston tunggal, SOHC, sejukan udara, 4-lejang |
| Sasaran | 108cc |
| Sistem bahan api | EFI |
| Piawaian | Euro 4 |
| Kuasa maksimum | 8.0 hp @ 7,500 RPM |
| Tork maksimum | 8.5 Nm @ 6,500 RPM |
| Kotak gear | CVT, tali sawat-V |
| Kapasiti bahan api | 4.8 liter |
| Brek depan | Cakera dengan kaliper satu piston |
| Brek belakang | Brek dram |
| Suspensi depan | Fork hidraulik teleskopik |
| Suspensi belakang | Lengan ayun sebelah |
| Saiz rim (depan) | 3” x 10” |
| Saiz rim (belakang) | 3.5” x 10” |
| Jarak antara gandar | 1275 mm |
| Ketinggian pelana | 738 mm |
| Berat | 89 kg |






































