Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar seorang murid perempuan ketika melintas sebuah sekolah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika waktu pulang dari sekolah.
“Semasa kejadian, murid berusia lapan tahun berkenaan sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dia dilanggar dengan motosikal.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kiri. Laporan polis berhubung kejadian telah diterima dan usaha untuk mengesan penunggang motosikal terbabit sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Helmi berkata, saksi mahupun orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Azrol Md Rejab di talian 019-5429571 untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule10 LN 166/59) iaitu lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.
Terdahulu tular di platform media sosial Facebook (FB) video berdurasi 42 saat memaparkan kejadian kemalangan berkenaan.
Menerusi paparan video itu mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan memberhentikan kenderaan bagi membolehkan dua murid perempuan melintas jalan.
Bagaimanapun, terdapat sebuah motosikal yang tidak memberhentikan kenderaannya sehingga menyebabkan salah seorang murid ‘tersungkur’ atas jalan dan mengalami kecederaan ringan.