Seorang lelaki mengaku bersalah sebagai penganjur lumba haram hanya untuk ‘suka-suka’ di Mahkamah Majistret Tawau. Dia telah menghilangkan diri selama empat tahun sebelum berjaya diberkas oleh Polis Diraja Malaysia.
Tertuduh, Ngok Sing Wing, 21, ketika prosiding mengakui perbuatannya tanpa memberikan alasan munasabah, selain menyatakan ia dilakukan sekadar untuk berseronok.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menaja, mengiklankan atau membantu dalam pengurusan atau penyeliaan apa-apa pertandingan atau ujian kelajuan yang tidak diluluskan di Jalan Apas-Balung dekat sini, antara jam 11.30 malam pada 1 Ogos 2021 hingga 7.45 pagi 2 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau Asisten Superintendan Joan Lee, dalam hujahnya berkata tertuduh ditangkap dalam satu Ops Samseng Jalanan, yang disifatkan sebagai tangkapan terbesar ketika itu.
Menurutnya, seramai lapan Orang Kena Saman (OKS) lain sudah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman, manakala tertuduh gagal dikesan selepas kejadian dan menghilangkan diri selama hampir empat tahun.
“Keberadaan tertuduh hanya berjaya dikesan selepas pegawai penyiasat membuat semakan dan menjejakinya melalui bantuan Pejabat PERKESO, menggunakan alamat tempat kerja tertuduh di Kemaman, Terengganu.
“Mohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran dan mesej jelas terhadap tertuduh dan masyarakat di luar sana,” katanya.
“Kamu tahu ini perbuatan salah. Jika ada kematian bagaimana?” demikian teguran tegas Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin sebelum menjatuhkan hukuman denda RM2,000.
Berdasarkan fakta kes, semasa operasi polis mengesan sekumpulan individu bersama kenderaan masing-masing yang berkumpul dan menyaksikan dua motosikal memecut laju secara serentak dalam aksi menduga kelajuan, termasuk melakukan aksi berbahaya ala ‘superman’.
Susulan itu, polis menahan tertuduh bersama sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bengkel motosikal yang disyaki terbabit dengan aktiviti lumba haram berkenaan.