Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun bank individu yang terbabit dalam siasatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport tayar.
Badan itu telah memberikan kemaskini dan perkembangan terbaharu setelah menjalankan sitaan melalui Op Grip pada 29 September 2025.
Dalam sitaan terbaharu itu, SPRM melalui Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) juga menyita empat aset tak alih bernilai kira-kira RM13 juta. Jumlah di dalam akaun-akaun bank yang dibekukan dinilaikan sehingga RM70 juta.
Dalam perkembangan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata SPRM kini membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes itu.
“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar kerana didapati tayar-tayar ini tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya di sini hari ini.
BH kelmarin melaporkan, SPRM membekukan dan menyita sejumlah aset bernilai RM83 juta dalam Ops Grip membabitkan siasatan penyeludupan tayar yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit cukai kerajaan.
Antara yang dibekukan ialah akaun-akaun bank persendirian dan akaun syarikat-syarikat dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.
Aset lain yang disita kerana disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram ialah enam lot tanah yang dijadikan tapak untuk gudang/kontena bernilai RM4.5 juta dan dua unit rumah teres dua tingkat dengan nilai anggaran RM2 juta.
Turut disita ialah satu unit rumah jenis ‘townhouse’ dengan nilai anggaran RM2 juta dan satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.