Tiga tahun sejak diperkenalkan di EICMA, Moto Morini Corsaro Sport kini bakal mula dijual pada pertengahan 2026, bermula dengan benua Eropah.
Moto Morini dulunya merupakan salah satu pengeluar motosikal ikonik Itali, namun seperti kebanyakan (jika tidak semua) pengeluar motosikal negara itu, ia melalui pelbagai pasang surut sehingga jenama ini dibeli oleh gergasi perindustrian China, Zhongshen Group Holdings Ltd. Namun, jabatan rekabentuk, penyelidikan dan pembangunan Moto Morini kekal di Itali, tetapi pembuatan berpusat di China.
Kami telah menguji beberapa model Moto Morini dan menghadiri pelancarannya semasa di Taizhou bulan lalu, iaitu AllTrhike 450, X-Cape 700, dan X-Cape 1200, dan hasilnya cukup memberangsangkan.
Kembali kepada Moto Morini Corsaro Sport, ia sebahagian daripada platform Corsaro dan Corsaro GT.
Ciri-ciri utama:
- Enjin 749cc, V-Twin 90°, menghasilkan 96 hp pada 9,500 RPM dan 77Nm pada 7,000 RPM.
- Terdapat jarak 2,500 RPM antara tork maksimum dan kuasa kuda yang amat baik.
- Aci engkol berputar berlawanan, mirip Ducati Panigale V4, bagi mengurangkan inersia.
- Rangka belakang diperbuat daripada keluli dipasang pada rangka aluminium yang berpenampilan unik, manakala lengan ayun juga diperbuat daripada aluminium.
- Sistem suspensi terdiri daripada fork boleh laras sepenuhnya dan monoshokk dengan sambungan progresif.
- Menurut spesifikasi di laman web syarikat, brek depan dinyatakan sebagai cakera berganda Brembo 320mm dengan kaliper monobloc.
- Ketinggian tempat duduk dicatatkan pada 840 mm manakala “berat dalam keadaan operasi” ialah “<200 kg”.
Sudah tentu menarik untuk melihat dan menguji motosikal ini, kerana ia tidak tersedia semasa lawatan kami. Selain itu, menarik juga untuk melihat harganya di Malaysia memandangkan X-Cape 700 dijual pada RM33,888 dan X-Cape 1200 berharga RM49,888.
