Juara MotoGP, Marc Marquez, tidak akan mengambil bahagian di MotoGP Malaysia 2025 setelah mengalami patah tulang dan kecederaan ligamen pada bahu kanan dalam kemalangan di Grand Prix (GP) Indonesia, menurut pasukannya Ducati. Beliau akan juga mengecualikan diri di Australia.
Ducati menyatakan Marquez : “Mengalami patah tulang di pangkal proses korakoid dan kecederaan ligamen pada bahu kanan.
“Pemeriksaan klinikal dan penilaian radiologi menolak sebarang kaitan dengan kecederaan terdahulu dan menggesahkan tiada peralihan tulang yang signifikan.”
Marquez masih berkemungkinan untuk beraksi di GP Portugal (7–9 November) dan Valencia (14–16 November), namun beliau menegaskan bahawa dia tidak akan tergesa-gesa dalam proses pemulihan.
“Matlamat saya untuk kembali sebelum musim berakhir, tetapi tanpa tergesa-gesa melangkaui nasihat doktor,” kata pelumba Sepanyol itu.
“Kedua-dua matlamat peribadi dan pasukan telahpun dicapai, jadi keutamaan sekarang ialah pulih dengan betul dan kembali pada tahap 100%.”
Motosikal Marquez telah dirempuh oleh pelumba pasukan pengilang Aprilia, Marco Bezzecchi ketika di dalam perlumbaan utama di litar Mandalika, Indonesia. Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua penunggang terpelanting ke kawasan kerikil pada kelajuan tinggi, dengan Marquez kelihatan kesakitan selepas berpusing ke udara sebelum jatuh.
Marquez yang memenangi kejuaraan MotoGP ketujuhnya di GP Jepun bulan lalu, dilihat membongkok kesakitan di tepi litar selama beberapa minit sebelum perlahan-lahan bangkit sambil memegang bahunya.
Kecederaan kali ini berlaku pada bahu sama dengan lengan yang pernah patah di GP Sepanyol 2020 di Jerez, insiden yang menyebabkan dia terpaksa berehat panjang dan menjalani beberapa siri pembedahan.