Malaysia meraih empat anugerah di Asia Harley Days 2025 (AHD) yang diadakan pada 21–22 November di Midwinter, Khao Yai, Thailand.
Anugerah Pencapaian Menunggang Cemerlang – Rekod Unik disampaikan kepada Dato’ Anand dan K.V.R. Sanjevee kerana berjaya mencatatkan perjalanan tertinggi di Umling La Pass menggunakan Harley-Davidson Fat Boy.
Malaysia turut menerima anugerah Komuniti H-D Terbaik untuk Acara bagi Desaru International Bike Week. Acara ini terpilih daripada pelbagai acara komuniti di seluruh Pasaran Membangun Asia.
Dalam kategori H-D Custom Kings Asia – Raja Segala Raja, David Harrison muncul juara dengan motosikal ‘custom‘ Electra Glide Highway King beliau yang dinamakan “El Patron.” Beliau merupakan salah seorang finalis ‘wildcard‘ dan kemudian mewakili Malaysia ke peringkat akhir serantau di Thailand.
Anugerah keempat, Kontinjen Terbesar ke Asia Harley Days 2025, disampaikan kepada Kelab Motosikal HRB Malaysia, yang mencatatkan penyertaan tertinggi dalam kalangan Pasaran Membangun Asia di luar Thailand.
Keempat-empat pengiktirafan ini menyerlahkan kecemerlangan prestasi Malaysia pada acara tersebut, sekaligus menjadikannya negara dengan kemenangan anugerah terbanyak dalam satu malam di kalangan Pasaran Membangun Harley-Davidson Asia, yang merangkumi Filipina, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Indonesia, Taiwan, Singapura, India, Hong Kong, dan Macau.





