Anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Kangar pada akhir November lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun yang bertugas di Balai Polis Kangar meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan memandu kenderaan dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lagi penunggang motosikal.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Zulhairi Shunazar sebagai pemandu pikap didakwa memandu kenderaan dengan merbahaya sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24.
Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan dengan tidak cermat dan perhatian sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan serta mendatangkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal bernama Aliff Noorhakim Alijesree, 25.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 25 November lalu di Jalan Persiaran Wawasan berhadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, jam 10.20 malam.
Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Muhammad Zulhairi Shunazar boleh didenda tidak lebih daripada RM50,000 serta penjara tidak lebih 10 tahun.
Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun atau hilang kelayakan selama 10 tahun dari tarikh sabitan.
Malah, bagi kesalahan bagi Seksyen 43(1) APJ 1987 pula, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada 12 bulan dan lesen memandu digantung atau hilang kelayakan memandu.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pegawai Pendakwaan, Inspektor S Mageswaran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala tertuduh diwakili peguam, Hasnor Arysha Hamdan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mageswaran dalam permohonannya meminta mahkamah menetapkan RM9,000 sebagai jaminan terhadap tertuduh ke atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Dalam masa sama, Mageswaran turut memohon lesen tertuduh digantung.
Manakala, Hasnor pula memohon mahkamah mempertimbangkan satu jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri serta tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.
Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung ibu yang lanjut usia serta adiknya yang masih belajar.
Hasnor turut menyatakan bahawa anak guamnya itu tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah serta tidak mempunyai risiko melarikan diri disebabkan tinggal dan menetap di Perlis.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Nurul Natasha menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.
Selain itu, lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 28 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.