Bikesrepublic

Pulau Pinang

Projek LRT (Transit Aliran Ringan) di Bayan Lepas, Pulau Pinang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Seorang penganalisa Kenanga Investment Bank Bhd., Teh Kian Yeong, berkata bahawa kontraktor utama, Gamuda Bhd. sudah dalam perbincangan peringkat akhir dengan kerajaan untuk memuktamadkan model pelaksanaan projek terbabit.

“Ini tertakluk kepada kelulusan kerajaan, manakala Jabatan Alam Sekitar telah menerbitkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk segmen LRT ini pada 5 Mac lalu.

“Projek yang dibiayai kerajaan persekutuan ini terdiri daripada kos pengambilan tanah kira-kira RM1.5 bilion dan kos pembinaan di antara RM7 bilion hingga RM8 bilion.”

Projek ini berskala amat besar, menghubungkan Tanjung Bungah di bahagian utara sehingga Permatang Damar Laut di bahagian selatan pulau. Laluan ini merangkumi beberapa lokasi penting, antaranya:

  • Lapangan Terbang Pulau Pinang,
  • Bayan Lepas dan Bayan Baru,
  • Ayer Itam,
  • Bukit Bendara,
  • Terminal feri,
  • KOMTAR (stesen utama),
  • Pulau Tikus.

Terdapat juga laluan yang menghubungi tanah besar Semenanjung Malaysia, dengan stesen utamanya di Penang Sentral, melalui hubungan terowong sepanjang 7.2km di dasar laut.

Laluan ke utara sampai ke Kepala Batas, manakala laluan ke selatan tamat di Nibung Tebal. Laluan terjauh ke sebelah timur sampai ke Kulim South dan Kulim North.

Antara lokasi penting yang dihubungkan ialah:

  • Juru,
  • Tambun,
  • Batu Kawan,
  • Lunas (kampung mendiang ayah penulis ini),
  • Bukit Mertajam.

Projek LRT ini sudah lama diidamkan oleh penduduk di pulau kerana kesesakan trafik yang makin teruk. Projek ini turut akan memainkan impak dalam kemajuan pengujung ke negeri tersebut, selain daripada mengembangkan lagi ekonomi beberapa bandar dan pekan yang dihubungi.

Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri setelah berjaya melancarkan satelit telekomunikasi mini diberi nama PG-1 ke angkasa, baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Pulau Pinang kini mempunyai satelit tersendiri dengan kapasiti menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi kepada pembekal di negeri itu. Menariknya, satelit tersebut juga akan merapatkan jurang akses digital di antara kawasan bandar dan luar bandar. 

Pelancaran PG-1 itu di Russia telah disaksikan sendiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang disiarkan secara langsung di Dewan Persidangan, Universiti Sains Malaysia (USM). 

Sementara itu, aktiviti PG-1 akan turut dipantau sekumpulan pereka, pakar ICT, ahli akademik dan pelajar kejuruteraan angkasa di USM. 

Menurut laporan, PG-1 juga berkeupayaan memantau lanskap Pulau Pinang dan pada masa depan mampu memberi amaran bencana alam kepada penduduk setempat terutamanya tentang perubahan cuaca. 

Untuk makluman, satelit PG-1 itu dibina sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dibawah pengurusan Angkasa-X. 

Sinar Puncak Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi Sinopec Motorcycle Lubricants di Malaysia dengan rasminya melancarkan minyak enjin Sinopec X-Series serba baharu untuk pasaran tempatan. 

*(dari kanan) Pengurus Pemasaran Sinar Puncak Sdn Bhd, Andy Lee , dan Li Chen Ming, Ketua Perwakilan Sinopec Lubricant Malaysia dan Brunei.

Menurut pihak Sinopec Lubricant Malaysia, Sinopec X-Series ini tersedia bagi motosikal manual dan automatik. Menerapkan formulasi sintetik penuh dan bahan tambahan pelbagai fungsi, Sinopec X-Series ini mencapai standard Japanese Automobile Standards Organization (JASO) termasuk JASO MA2 dan JASO MB selain turut berdaftar dengan panel JASO Engine Oil Standards.

Pada masa sama, produk terbaru keluaran Sinopec Lubricant ini juga mencapai standard API SN kategori minyak pelincir.

Untuk rekod, Sinopec X-Series merangkumi produk berikut:

  • XPLORE 10W-30 (semi-synthetic) – RM35
  • XTREME 5W-40 (fully-synthetic) – RM45
  • XPLORE 10w-40 (semi synthetic) – RM35
  • XTRA 10W-30 – semi-synthetic) – RM30
  • XTRA 5W-40 (fully synthetic) – RM40
  • XTRA 10W-40 (semi-synthetic) – RM30

Dalam perkembangan sama, Sinar Puncak Sdn Bhd selaku pengedar rasmi minyak Sinopec Lubricant di Malaysia turut mengadakan Minyak Rahmah RM5 bagi pembelian sebotol minyak enjin Sinopec pada 5 Mei lalu. 

Menariknya, sebanyak 555 botol telah habis terjual dalam tempoh satu jam. 

Dalam pada itu, barisan produk Sinopec X-Series kini sudah boleh didaati di semua pengedar rasmi seluruh negara. 

Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada aktiviti lumba haram membabitkan pelesit rempit terutama pada malam hujung minggu di kawasan panas yang dikenalpasti di seluruh negeri susulan pemantauan berterusan agensi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, sejak tiga minggu lalu pihak polis mendapati peratusan aktiviti membabitkan lumba haram oleh kumpulan bermotosikal telah menurun dengan mendadak.

”Polis telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani isu membabitkan mat rempit, pemantauan berterusan dijalankan bagi membanteras kegiatan ini selepas berlaku kemalangan maut membabitkan lumba haram.

”Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati aktiviti mat rempit di 13 kawasan panas seperti di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan lain-lain telah berkurangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Susulan kejadian itu, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Seramai 6,889 individu telah ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di seluruh negara sejak 2020 hingga Jun tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata negeri Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah.

Beliau berkata, hampir 300 kemalangan motosikal berlaku setiap hari di negara ini bagi tempoh tiga tahun sejak 2019.

Dari jumlah itu, sembilan penunggang motosikal maut setiap hari dalam tempoh sama.

“Didapati kadar kemalangan motosikal meningkat selepas pandemik COVID-19, iaitu sebanyak 122,368 kemalangan membabitkan motosikal dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 33,226 kes berbanding tahun 2020,” katanya.

Oleh itu, pihaknya akan mempergiat operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta mat rempit.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang, Adenan Mat Isa.

Mat Kasim, 3,959 individu dilaporkan meninggal dunia sepanjang tahun 2019 dalam kemalangan membabitkan motosikal, diikuti dengan 3,118 (2020) serta 3,111 (2021).

“Bagi kes kecederaan parah pula, sebanyak 2,009 kes direkodkan bagi tahun 2019 dan 2,599 sepanjang tahun lalu,” katanya.

Sebanyak 675 buah motosikal diperiksa dengan 235 daripadanya telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Op Lejang terbaharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di dua lokasi berbeza di Seberang Perai.

Selain berhampiran Plaza Tol Juru, operasi yang sama turut dijalankan berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang.

Berbanding operasi terdahulu, Op Lejang kali ini diadakan secara bersepadu dan melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

“Antara kesalahan yang dikesan kali ini termasuk melibatkan pemandu di bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.

“Turut dikesan adalah kesalahan mengubah suai motosikal seperti menanggalkan brek belakang, mengubahsuai ‘swing arm’ dan ekzos, menggunakan saiz tayar motosikal yang terlalu kecil (tayar sotong), tiada cermin sisi serta mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ (tidak mengikut spesifikasi) dan ekstrem,” kata pihak JPJ dalam satu kenyataan.

Hadir memantau operasi itu ialah Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali serta Ketua Seksyen Operasi JPJ negeri, Mohd Nasron Aliyasak.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang mengingatkan pemilik serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuat kuasakan selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan haram hingga boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Minggu lalu, sebanyak 722 buah motosikal diperiksa dengan 286 daripadanya telah dikenakan tindakan JPJ dalam operasi Ops Lejang.

Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, yang mengorbankan empat nyawa mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berkata, setakat ini tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Jelas beliau, seramai tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki yang berada di Zon Merah manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

“Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.

“Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

“Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur.

“Pihak PDRM menasihati orang ramai tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain,” tambahnya.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi disaman ketika Ops Khas Motosikal (HRAA) 2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setelah didapati tidak memiliki lesen kelas B (penuh).

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan bersama isteri semasa dalam perjalanan menikmati makan malam di George Town dari Sungai Petani, Kedah.

“Selain itu, seorang lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi berusia dalam lingkungan 20-an dari Kuala Ketil menuju ke tempat kerjanya di kawasan pulau turut ditahan atas kesalahan sama,” katanya semasa operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang empat hari operasi itu dijalankan, sebanyak 4,902 kenderaan telah diperiksa manakala 1,005 saman meliputi pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

Sebagai rutin tiap hari bekerja, seorang juruteknik kilang elektronik, Mohd Hairi Nizam Mohd Hussain, 39, mengayuh basikal di laluan berasingan pesisir pantai sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang menghubungkan kawasan tempat tinggalnya di Batu Maung terus ke tempat kerjanya di FIZ Fasa 3.

“Saya mula berbasikal ke tempat kerja sejak 2020, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mahu mengamalkan gaya hidup aktif.

“Awalnya rutin itu hanya tiga hingga empat kali seminggu. Tapi, masuk tahun kedua hampir setiap hari saya mengayuh basikal termasuk pada Ramadan hingga sekarang.

“Saya keluar rumah jam 7.15 pagi dan ambil masa 35 minit sampai ke tempat kerja sejauh lebih 10 kilometer (km) Saya berkayuh santai untuk mengelakkan badan berpeluh,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, laluan berbasikal di Pulau Pinang mudah diakses kerana mempunyai jaringan luas terutama di bahagian pulau.

“Jika berkereta, tempoh perjalanan mengambil masa 30 hingga 45 minit bergantung keadaan trafik. Dengan berbasikal jimat wang.

“Cabaran utama adalah cuaca tidak menentu seperti hujan lebat secara tiba-tiba dan tayar pancit, namun tidak mematahkan semangat saya meneruskan amalan berbasikal ke tempat kerja,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Lebih ceria apabila berbasikal

Anggota bomba, Noor Amin Nayan, 40, pula bermula mengayuh basikalnya dari rumahnya di Padang Serai, Kedah ke Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth sebanyak satu atau dua kali seminggu sejak Oktober tahun lalu.

Perjalanannya yang sejauh kira-kira 30km sehala mengambil masa sejam setengah.

“Saya hanya menunggang basikal ke tempat kerja ketika bertugas syif malam untuk memudahkan merancang perjalanan lebih awal. Biasanya saya membawa peralatan seperti tiub basikal, pam angin dan sebagainya sebagai persediaan kecemasan.

“Saya dan isteri meminati aktiviti berbasikal dan kami masing-masing ada basikal lipat sendiri. Namun, waktu bekerja mencecah 12 jam sehari membuatkan saya mempunyai kekangan masa untuk melakukan hobi itu,” katanya.

Dia berkata laluan basikal di Seberang Perai tidak sebanyak di kawasan pulau dan berharap ia dapat ditambah baik supaya masyarakat setempat lebih digalakkan menjadikan basikal sebagai pengangkutan seharian.

“Sebenarnya, jalan yang saya gunakan iaitu merentasi jalan utama seperti di Tasek Gelugor dan Sungai Dua sebelum tiba di Butterworth adalah laluan berkongsi dengan kenderaan lain.

“Kali pertama berbasikal ke tempat kerja saya pernah hampir berputus asa sewaktu di pertengahan jalan. Rasa letih dan menyesal hilang apabila menghampiri pintu pagar balai.

“Saya dapati aktiviti berbasikal ke tempat kerja sedikit sebanyak mengubah ‘mood’ saya menjadi lebih ceria dan bersemangat sebelum memulakan tugas,” katanya.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memulakan operasi menebang sebanyak 19 pokok kelapa yang dikenal pasti berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan di Jalan Teluk Kumbar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata kerja menebang pokok kelapa berkenaan membabitkan 15 petugas MBPP serta dua jentera angkat atau skylift.

“Bermula dengan 11 pokok yang kita kenal pasti pagi tadi telah meningkat kepada 19 pokok setakat ini dan mungkin juga bilangannya boleh bertambah lagi dengan radius pemerhatian kami sejauh lebih 1 kilometer.

“Kami berharap urusan menebang kesemua pokok itu selesai lewat petang ini bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan jalan itu,” katanya.

Operasi menebang kesemua pokok membabitkan laluan yang agak sibuk menghubungkan Teluk Kumbar dan Balik Pulau dengan satu lorong jalan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan di jalan terbabit, membuatkan operasi itu lebih mencabar.

Azrul Mahathir berkata, kesemua pokok kelapa dari Jalan Teluk Kumbar hingga Jalan Sungai Batu terbabit berada di atas tanah milik MBPP yang dijadikan rizab jalan selain tanah milik persendirian.

Katanya, kebanyakan pokok kelapa itu hanya dibiarkan tanpa dijaga rapi atau dikutip hasil oleh pemiliknya dan tiada aduan dilakukan pemilik pokok berkenaan.

Sebelum ini, satu rakaman video menunjukkan sebiji buah kelapa menimpa pembonceng motosikal yang melalui Jalan Teluk Kumbar menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang telah tular.

Polis sedang mengesan pemandu kereta yang didapati melawan arus di Georgetown, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Aksi melawan arus oleh pemandu kereta jenis Honda City tersebut telah dirakam kamera ‘dashcam’ yang turut tular di media sosial.

Polis cari pemandu kereta Honda City lawan arus Georgetown: Polis sudah menerima maklumat berhubung video kejadian…

Posted by Inforoadblock on Tuesday, 10 May 2022

Berdasarkan rakaman berdurasi 10 saat tersebut jelas memaparkan pemandu kereta itu melawan arus dan hampir bertembung dengan kereta dan sebuah motosikal sebelum membuat pusingan ke laluan bertentangan.

Menurut pemangku Ketua Polis daerah Timur Laut, Superitendan V Saravanan, pihaknya sedang mengesan pemandu tersebut untuk tindakan lanjut.

“Polis sudah terima (maklumat) tetapi kita masih dalam proses mengesan pemilik kenderaan terbabit dan masih menyiasat,” jelasnya. – BH

Kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membangunkan litar lumba antarabangsa bersebelahan Stadium Batu Kawan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pulau Pinang, Soo Lip Chee yang mendedahkan 2.8 hektar tanah telah pun dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan.

Menurut Soo, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan litar lumba yang kondusif dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan permotoran.

“Ini adalah antara projek yang disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14,” jelas Soon.

Difahamkan, jendela bagi penghantaran kertas cadangan telah pun dibuka 17 Mei dan ditutup pada Selasa lalu dengan kesemuanya harus mengikut kriteria ditetapkan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Antara keperluan ditetapkan MAM adalah ruang penonton, tempat letak kenderaan dan pejabat pengurusan.

Tambah Soon lagi, litar tersebut akan digunakan bagi penganjuran sukan peringat domestik dan antarabangsa.

“Perlumbaan adalah membabitkan motosikal dan kenderaan lain mengikut reka bentuk litar nanti,” tambah Soon.

Projek litar antarabangsa tersebut akan dibina sepenuhnya sektor swasta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi. – The Star

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube