Bikesrepublic

MotoGP

Grid MotoGP bagi musim 2023 akhirnya lengkap dengan pasukan GASGAS mengumumkan Augusto Fernandez sebagai pelumba rasmi pasukan itu musim depan.

Fernandez, yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia Moto2 mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, akan digandingkan bersama Pol Espargaro, musim depan. 

Pelumba Sepanyol itu mempamerkan prestasi cemerlang di Moto2 musim ini selepas merekodkan empat kemenangan setakat ini.

“Ini adalah sesuatu yang mengagumkan, dapat melangkah ke kelas premier bersama GASGAS.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan sejak saya sertai Red Bull KTM Ajo tahun lalu.

“Ini adalah impian saya,” jelas pelumba berusia 25 tahun itu.

Bagaimanapun, Fernandez akan terus bertarung untuk mengekalkan status pendahulu kejuaraan dunia Moto2 di GP Aragon pada Ahad.

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang ketika ini antara pesaing utama kejuaraan dunia MotoGP, akhirnya berjaya mendapatkan lesen motosikal A3 di Itali.

Lesen motosikal A3 membolehkan Bagnaia untuk menunggang pelbagai kapasiti motosikal dan tidak hanya terhad kepada motosikal bersesaran kecil.

Siapa sangka, pelumba utama Ducati itu masih ketiadaan lesen motosikal jalan raya sebelum ini meskipun beraksi cemerlang di pentas MotoGP.

Namun, senario itu bukan perkara baru, tahun lalu, enam kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea juga baru sahaja melengkapkan lesen motosikalnya.

Ini kerana meskipun mereka adalah pelumba namun tak semua terlibat menunggang motosikal di jalan raya biasa.

Antara pelumba MotoGP yang terkenal dengan aktiviti menunggang motosikal adalah Johann Zarco, yang gemar menunggang motosikal klasik jenama Ducati miliknya. 

Yamaha dengan rasminya mengumumkan juara dunia Moto2 musim lalu, Remy Gardner akan sertai projek Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) bagi musim 2023.

Menurut Yamaha, Gardner akan menggantikan tempat Garret Gerloff di pasukan GRT Yamaha WorldSBK. 

Pengumuman tersebut turut menjelaskan bahawa Gardner telah menandatangani kontrak bersama Yamaha. 

Bagaimanapun, ekoran masih terikat dengan KTM di MotoGP musim ini, kenyataan rasmi tersebut tidak disertakan dengan komen daripada pelumba Australia itu.

Namun, Pengurus Yamaha Motor Europe Road Racing, Andrea Dosoli, berkongsi keterujaan atas kejayaan menambat bakat muda itu.

“Remy merupakan bakat muda yang mengujakan dan mempunyai karier cemerlang di perlumbaan GP. 

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat memiliki pelumba yang berpengalaman beraksi di pentas tertinggi.

“Kami percaya dia calon sesuai untuk program WorldSBK Yamaha dan kami tidak sabar untuk melihat kemampuannya menunggang jentera R1 kami,” jelasnya.

Gardner sebelum ini dicanang akan menjadi rakan pasukan Pol Espargaro di Tech3 GASGAS sebelum KTM membuat pusingan ‘U’ dan memilih calon lain. 

KTM juga mendakwa Gardner sebagai tidak profesional meskipun belum sampai setahun pelumba itu bersama KTM di kelas premier. 

Ekoran ketiadaan tempat di MotoGP musim depan, keputusan berhijrah ke WorldSBK merupakan satu-satunya peluang untuk dia terus beraksi di pentas tertinggi. 

Selepas menjalani Misano Test dengan cemerlang, lapan kali juara dunia, Marc Marquez akan kembali ke litar lumba MotoGP pada hujung minggu ini di GP Aragon.

Pelumba Repsol Honda itu berjaya melengkapkan Misano Test yang berlangsung selama dua hari sebelum menyambung latihan intensif di rumah.

Berdasarkan keputusan ujian, Marc Marquez dan Honda telah menetapkan pusingan seterusnya di GP Aragon sebagai medan untuk dia kembali berlumba.

Kali terakhir Marquez beraksi adalah 110 hari lalu (29 Mei) di GP Itali. 

Sejak menjalani pembedahan tangan kanan kali keempat, Marquez telah mengikut panduan ketat yang ditetapkan pasukan perubatannya dalam usaha untuk kembali dalam keadaan 100 peratus cergas.

Selepas pelbagai pemeriksaan dan ujian, semua pihak berpuas hati dengan proses pemulihan yang dijalani Marquez.

Difahamkan, objektif utama penyertaan perlumbaan di Aragon adalah usaha untuk mencapai kecergasaan perlumbaan. 

Sewaktu ujian di Misano, Marquez turut menguji jentera RC213V yang dipasang dengan ‘swingarm’ Kalex. Ini merupakan kali pertama Honda mengguna pakai komponen dari pengeluar lain. 

Takaaki Nakagami akan terus beraksi di kejuaraan dunia MotoGP musim 2023 setelah menandatatangani kontrak satu tahun bersama HRC.

Meskipun sebelum ini didakwa tempatnya akan digantikan dengan pelumba Moto2, Ai Ogura namun HRC terus beri kepercayaan kepada pelumba berusia 30 tahun itu untuk beraksi bersama LCR Honda IDEMITSU, musim depan. 

Ini bermakna Nakagami akan bersaing bersama-sama LCR Honda untuk tahun keenam mereka bersama. 

Membuat 80 penampilan setakat ini, Nakagami antara pelumba yang kekal konsisten dan enam kali berjaya menempatkan diri dikalangan Kelompok Lima terbaik setakat ini. 

Selain itu, Nakagami juga berjaya merekodkan satu petak pertama di MotoGP dan 14 podium di Moto2 termasuk dua kemenangan. 

“Saya sangat gembira kerana dapat terus berlumba di MotoGP bagi musim 2023 bersama LCR Honda. 

“Saya mahu berterima kasih kepada IDEMITSU dan HRC atas sokongan yang diberikan. Saya akan berikan yang terbaik musim depan dan cuba dapatkan keputusan yang terbaik,” jelasnya.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung hujung minggu ini di GP Aragon. 

Tidak dinafikan, prestasi Fabio Quartararo kebelakangan ini kurang memberangsangkan.

Meskipun masih lagi mendahului kejuaraan dunia MotoGP selepas 13 pusingan, namun tekanan yang diberikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, semakin dirasai apabila pelumba Itali mencatatkan empat kemenangan berturut-turut baru-baru ini.

Ini menjadikan Bagnaia telah pun menang enam daripada 13 pusingan setakat ini.

Senario itu berlaku ekoran kegagalan jentera Yamaha M1 memberi saingan terhadap kelajuan Ducati GP 22 yang dipacu Bagnaia. Sewaktu di GP San Marino, Quartararo terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 dengan tiga jentera Ducati berada di hadapannya. 

Juara dunia MotoGP musim lalu itu sebelum ini telah pun membangkitkan isu ‘top speed’ M1 pada permulaan musim 2022 namun setakat ujian ‘Winter Test’ di Sepang, Quartararo akui masih tidak berpuas hati dengan kemampuan jenteranya. 

Bagaimanapun, Misano Test yang sedang berlangsung ketika ini akhirnya menghadirkan keputusan positif buat Quartararo, yang meluahkan rasa berpuas hati dengan prestasi jenteranya.

Ketika hari terakhir Misano Test, Quartararo merekodkan kelajuan terpantas kedua tertinggi dengan catatan 298.3km/j sewaktu menguji enjin prototaip terbaru Yamaha. Sementara itu, Jorge Martin merekodkan kelajuan tertinggi dengan 300km/j.

Meskipun mendapat bantuan ‘slipstream’ daripada rakan sepasukan Franco Morbidelli, namun pelumba Perancis itu tetap berpuas hati dengan prestasi semasa apatah lagi ketika di GP San Marino, Quartararo hanyalah ke-20 terpantas di litar. 

“Pagi ini usaha kami terarah pada bahagian elektronik kerana perwatakan jentera (enjin) baharu itu berbeza. 

“Top speed juga sangat baik, jadi saya sangat gembira dengan perkara ini.

“Walaupun dapat bantuan ‘slipstream’ tapi purata kelajuan juga baik (296km/j) berbanding pelumba lain,” jelas Quartararo.

Tahun 2022 menjadi tahun penting buat Aprilia apabila meraikan ulang tahun ke-30 kejayaan merangkul kejuaran dunia Grand Prix sulung. 

Menariknya, tahun ini juga menyaksikan Aprilia melakar pencapaian penting di pentas MotoGP, dengan Aleix Espargaro memenangi GP Argentina manakal rakan sepasukan Maverick Vinales telah pun merekodkan podium keduanya di GP San Marino, pada Ahad.

Sehubungan itu, Aprilia memperkenalkan RSV4 XTrenta bagi meraikan pencapaian pengeluar motosikal Itali itu.

Berasaskan jentera superbike Aprilia RSV4, jentera RSV4 XTrenta ini merupakan mesin khas dibina untuk litar perlumbaan (track-only). 

Menariknya, RSV4 XTrenta ini disuntik dengan pelbagai ciri sama yang terdapat pada jentera MotoGP Aprilia, RS-GP 22 yang ditunggang Espargaro dan Vinales.

Pertamanya, RSV4 XTrenta ini dibangunkan dengan proses PAN Compositi yang sama diguna pakai pasukan MotoGP. 

Hasilnya, Aprilia RSV4 XTrenta ini menawarkan pakej aerodinamik dan winglet seperti yang terdapat pada RS-GP.

Bukan itu sahaja, RSV4 XTrenta turut tampil dengan ciri ‘under-wing’ atau ‘The Spoon’ yang dipasang pada bahagian bawah swingarm dan dihadapan tayar belakang.

‘The Spoon’ tersebut berfungsi mengawal keadaan suhu tayar belakang bagi memastikan cengkaman berada di tahap optimum.

Ini pertama kalinya sebuah motosikal ‘production’ dilengkapi ciri tersebut.

Selain itu, Aprilia turut mengemas kini enjin V4 1,099cc yang kini menghasilkan 230hp. Ekzos titanium yang dibangunkan bersama rakan kerjasama SC-Project turut menyumbang kepada peningkatan kuasa mendadak itu.

Pada masa sama, penggunaan komponen ringan (terutamanya gentian karbon) juga menyaksikan Aprilia RSV4 XTrenta hanyalah seberat 165kg.

Antara ciri unik lain ditawarkan termasuk,  IMU Magneti Marelli, panel butang Jetprime, suspensi Ohlins dan rim magnesium Marchesini M7R Genesi.

Sementara itu, brek pula dikendalikan kaliper monoblock Brembo GP4-MS yang dipadankan bersama cakera brek T-drive 330mm.

Menurut Aprilia, tempahan bagi RSV4 XTrenta ini boleh dibuat bermula Selasa (6 September) pada harga EUR50,000 (RM222,400). 

Joan Mir akan terus beraksi di kelas premier MotoGP bagi musim 2023 setelah disahkan menjadi pelumba pasukan Repsol Honda musim depan. 

Honda Racing Corporation (HRC) dalam satu kenyatana rasmi kepada media mengumumkan perkara tersebut.

Menurut HRC, pelumba berusia 24 tahun itu akan beraksi dengan jentera Honda RC213V bersama pasukan factory setelah mengikat kontrak dua tahun.

Ini bermakna, bekas juara dunia MotoGP musim 2020 itu akan dipadankan bersama Marc Marquez musim depan.

Pengumuman itu pastinya sesuatu yang dinantikan Mir setelah masa depannya terumbang-ambing ekoran penarikan diri Suzuki dari kejuaraan dunia MotoGP, sebelum ini.

Mir ketika ini sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius ekoran kemalangan ‘highside’ di litar Red Bull Ring di Austria.

Dia juga akan terlepas aksi hujung minggu ini di Misano dengan tempatnya akan digantikan dengan pelumba Suzuki Endurance Racing Team, Kazuki Watanabe.

Umum mengetahui bahawa RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali akan beralih kepada jentera Aprilia bagi musim 2023.

Ini kerana pasukan itu akan bergerak sebagai skuad satelit Aprilia musim depan setelah mempersetujui kerjasama jangka panjang bersama jenama motosikal Itali itu.

Bagaimanapun, setakat ini Razlan Razali dan pasukan RNF Racing masih belum mengumumkan barisan pelumba bagi musim depan.

Bagi menjawab persoalan tersebut kami berpeluang untuk berbicara bersama Razlan Razali pada Sabtu ketika pasukan Withu Yamaha RNF MotoGP selesai menjalani sesi Kelayakan 2 (Q2) di Austria.

Apabila ditanya adakah kemungkinan pasukan RNF Aprilia akan dibarisi pelumba Itali susulan ditaja WithU (syarikat Itali) dan Aprilia selaku jenama pengeluar dari negara itu, ini jawapan Razlan.

“Dalam kelas MotoGP ketika ini tiada pelumba Itali. Pada masa sama, kami tidak akan mengambil khidmat pelumba dari Moto2.

“Kedua-dua pelumba pasukan akan hadir dari kelas (premier) MotoGP,” jelasnya. 

Mendengar penjelasan itu, kami memetik nama pelumba KTM Tech3 ketika ini,Raul Fernandez yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing sebelum ini dan reaksi Razlan yang tertawa dengan persoalan itu sedikit sebanyak memberi bayangan pelumba Sepanyol itu dilihat sebagai calon utama. 

Sewaktu temu bual tersebut, Razlan turut mendedahkan pelumba berusia 21 tahun itu sememangnya pertama dalam senarai ‘wishlist’ nya musim depan. 

Sementara itu, Miguel Oliveira turut disebut akan sertai pasukan RNF Aprilia musim depan.

Apa pun, segalanya akan terjawab pada 1 September ini apabila Datuk Razlan mendedahkan pengumuman rasmi akan dibuat di GP Misano, sehari sebelum bermulanya sesi ujian bebas. 

Francesco Bagnaia berjaya merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut yang pertama dalam kariernya selepas memenangi GP Austria, sebentar tadi.

Pelumba Ducati itu bermula baik sebaik perlumbaan dilepaskan dan terus mendahului aksi di Red Bull Ring.

Walaupun pada satu ketika dipintas rakan sepasukan, Jack Miller namun Bagnaia mudah mengambil semula kedudukan pertama sejurus selepas itu.

Kemenangan di GP Austria menyaksikan Bagnaia kini mengutip 156 mata, 44 mata dibelakang pendahulu, Fabio Quartararo. 

Quartararo turut menampilkan aksi cemerlang untuk terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan apabila menamatkan aksi di tempat kedua.

Meskipun berada di kedudukan keempat pada sebahagian besar perlumbaan namun pelumba Monster Energy Yamaha itu berjaya memintas Jorge Martin (Pramac) dan mula mengejar kelompak depan yang diterajui Bagnaia-Miller.

Quartararo kemudiannya menghasilkan aksi yang cukup mengagumkan apabila memintas Jack Miller di Turn 2(a) dan Turn 2(b) sekaligus mengutip mata penting untuk terus mendahului kejuaraan.

Walaupun bermula di petak kelima dan sedikit bergelut di awal perlumbaan, pelumba Perancis itu bingkas menemui rentak untuk terus beri asakan.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Jack Miller yang merekodkan podium ketiganya musim ini.

Dalam perkembangan sama, Aleix Espargaro juga kutip mata penting selepas menamatkan saingan di tempat keenam. Pelumba Aprilia itu terus ekori rapat Quartararo dengan perbezaan 32 mata.

Saingan MotoGP akan bersambung di Misano pada 3-5 September ini. 

Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna mengakui terkilan dan kecewa apabila pembangunan teknologi yang cuba diketengahkan oleh mereka dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) seakan-akan tidak dihargai.

Ducati memperkenalkan beberapa teknologi baharu yang mampu meningkatkan prestasi jentera mereka sekaligus menjadi pencabar utama kejuaraan MotoGP musim ini.

Bagaimanapun, inovasi yang dibawa Ducati mendapat tenta­ngan pesaingnya termasuklah pengenalan sistem aerodinamik seperti winglet atau fairing yang kini dipakai semua pasukan ­MotoGP.

Dall’Igna menuntut agar FIM dan MotoGP bertindak lebih adil terutama selepas peranti ride height bahagian depan jentera yang diperkenalkan oleh Ducati bakal diharamkan pada musim depan.

Bukan itu saja, peranti holeshot juga tidak lagi boleh digunakan.

Keadaan tersebut memberi tekanan kepada Ducati ke­rana mereka telah mengeluarkan dana besar terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kesemua jentera Desmosedici GP pada musim ini.

“Saya tidak boleh menentukan peraturan sendiri. Saya hanya boleh cuba memahami peraturan dan melakukan perkara yang dibenarkan.

“Tidak adil jika peranti-peranti­ berkenaan diharamkan selepas perlumbaan musim 2022 nanti.

“Tetapi, apabila semua orang menentang saya, tangan saya terikat dan tiada apa yang boleh saya lakukan mengenainya. Saya terpaksa menerima perubahan ini,” kata Dall’Igna.

Pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP hujung musim ini.

Dovizioso mengesahkan perkara itu dengan mendedahkan bahawa dia tidak akan mencari slot bagi musim 2023 sebaliknya akan mencari alternatif lain atau bersara terus dari dunia perlumbaan.

“Saya tidak akan berlumba, itu pasti. Saya selalu berkata bahawa jika saya gagal beraksi secara kompetitif, saya tidak mahu berada di sini lagi.

“Saya tenang sahaja tentang perkara ini. Sebelum ini saya telah pun berehat dari perlumbaan selama enam bulan. Jadi saya tidak ada sebarang masalah,” jelasnya.

Pelumba Itali itu ketika ini memasuki musim ke-15 di MotoGP dan bersama-sama pasukan RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali yang disertainya di penghujung musim 2021.

Bagaimanapun, pelumba itu seakan bergelut sejak kembali ke MotoGP apabila hanya mampu mengutip empat mata selepas 11 pusingan.

Pada masa, peralihan RNF Racing dari Yamaha ke Aprilia musim depan juga menyaksikan kedudukannya di pasukan satelit Yamaha itu tergugat.

Apa pun, Dovizioso sendiri tidak bercadang untuk meneruskan kariernya di perlumbaan berprestij itu namun masih belum mengesahkan sama langkah seterusnya adalah bersaing di kejuaraan lain ataupun bersara.

Ini merupakan kali kedua Dovizioso tinggalkan MotoGP selepas meninggalkan Ducati pada penghujung musim 2020 ekoran masalah gaji. Dovizioso juga menolak tawaran dari Aprilia tahun lepas sebelum membuat keputusan sertai RNF.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube