Bikesrepublic

moto2

Petronas Sepang Racing Team (SRT) dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Raul Fernandez di Moto2 sebagai pengganti Valentino Rossi musim 2022.

Kontrak Rossi di SRT bakal berakhir hujung musim ini dengan pelumba itu dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan itu.

Dalam perkembangan terbaru, SRT dikatakan berminat dengan pelumba KTM Ajo di Moto2, Fernandez.

“Sudah tentu kami berminat dengannya, kerana dia pelumba yang sangat laju.

“Tetapi jika dia mahu bersama kami (di SRT), dia perlu menyelesaikan situasinya terlebih dahulu,” jelas pengurus pasukan SRT, Johan Stigefelt.

Bagi meninggalkan KTM, Fernandez perlu membayar penalti sekitar setengah juta Euro, jumlah yang sukar untuk dipersetujui pihak SRT.

Pada masa sama, Stigefelt turut menjelaskan SRT tidak merancang untuk menggangu hubungan antara KTM dan Fernandez.

Fernandez bakal memasuki tahun terakhirnya bersama KTM Ajo musim depan sementara rakan sepasukan, Remy Gardner telah pun mengesahkan slot ke MotoGP bersama KTM Tech3.

Bagaimanapun, bos KTM Motorsport, Pit Beirer, mendakwa Fernandez berminat untuk kekal di Moto2 semusim lagi. – autosport

Pelumba Moto3, John McPhee meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Petronas Sprinta Racing, memindahkan ketua kru, Mark Woodage, kepada Jake Dixon di Moto2.

Perpindahan orang penting di belakang McPhee itu merupakan antara usaha Petronas Sprinta untuk membantu Dixon yang ketika ini bergelut di saingan Moto2.

Bagaimanapun, McPhee gagal menyembunyikan kekecewaannya terhadap keputusan mengejutkan itu.

“Senario ini mengecewakan dan saya sangat kecewa dengan pasukan ini terhadap apa yang mereka telah lakukan.

“Saya rasa ini merupakan kali kedua saya berasa kecewa dalam tempoh 10 bulan – yang pertama adalah tidak melunaskan kontrak Moto2 kepada saya musim lalu.

“Kali ini, seleas tujuh pusingan, mereka mengambil ketua kru saya dan meletakkannya di Moto2. Jadi saya berasa sangat kecewa,” jelas McPhee.

Difahamkan, Petronas Sprinta telah menugaskan juruteknik data, Daniel Bonmati untuk mengisi kekosongan tersebut buat sementara waktu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Petronas Sprinta, Johan Stigefelt menjelaskan keputusan disebalik perpindahan ketua kru McPhee ke Moto2.

“Saya rasa keputusan ini akan memberi manfaat kepada semua empat individu yang terlibat.

“Saya setuju keputusan ini agak sukar ditelan tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan membuahkan hasil,” jelasnya.

Saingan MotoGP berlangsung minggu ini di Sachsenring. – bikesportnews

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan berminat untuk menaja pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.

Perkara itu diutarakan ketika menjawab soalan di laman sosial Instagram miliknya.

Dalam perkembangan terbaru, TMJ memperjelaskan situasi berkenaan dengan tajaan terhadap Hafizh dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Saya suka tengok sikap dan disiplin serta komitmen Hafizh.

“Bagi saya, jika dia boleh membanggakan negara mungkin saya akan cuba membantu jika tak banyak pun saya akan memberi sumbangan agar dia boleh mengejar impian untuk terus membanggakan negara.

“Sebagai contoh sepertimana saya membantu petinju, Farhan, sebelum ini,” jelas TMJ.

Pada masa sama, beliau menjelaskan masih belum ada sebarang perbincangan diadakan bersama Hafizh ketika ini.

“Saya belum berbincang dengan Hafizh lagi.

“Saya pun nak tahu berapa bajet dia setiap tahun, apa bantuan yang dia terima sebelum ini serta apa perancangan dia.

“Jadi setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan lagi,” tambah TMJ.

Dalam saingan Moto2 di GP Catalunya semalam, Hafizh menamatkan aksi dikedudukan ke-20 yang menyaksikan Remy Gardner muncul juara diikuti Raul Fernandez kedua dan Xavi Vierge ketiga.

Tunku Mahkota Johor (TMJ),Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa beliau berminat untuk menaja pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.

Perkara itu diutarakan ketika menjawab beberapa soalan di laman media sosial Instagram miliknya.

Hafizh memerlukan seberapa banyak tajaan untuk bersaing di peringkat tertinggi di Moto2.

Musim lalu ketika bersama pasukan Angel Nieto di Moto2, Hafizh terpaksa bertarung semusim tanpa bayaran gaji namun itu tidak menyekat dirinya untuk terus bersaing.

Bagaimanapun, situasinya bertambah baik sejak menyertai pasukan baharu, NTS RW Racing GP, musim ini yang menggunakan khidmat dan pengalaman Hafizh bagi membangunkan chasis NTS musim ini.

Minggu lalu di Mugello, Hafizh berjaya menduduki kelompok 10 terbaik buat julung kalinya apabila menamatkan aksi di tempat ke-9.

Sementara itu, diharapkan pendedahan TMJ yang menyuarakan minat untuk menaja Hafizh bakal membakar semangat pelumba itu yang akan beraksi hujung minggu ini di GP Catalunya.

Ujian bebas 1 dan 2 (FP1 dan FP2) menyaksikan Hafizh merekodkan masa ke-27 terpantas dikalangan 32 pelumba semalam.

Baru-baru ini, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak memberi pelepasan terhadap isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf untuk bersamanya di luar negara.

Bagaimanapun, pihak Imigresen dalam satu kenyataan menjelaskan kebenaran hanya diberikan atas sebab tertentu sahaja.

“Merujuk kepada hantaran tular di media sosial oleh seorang pelumba motosikal berkenaan permohonan isteri beliau untuk keluar negara sudah pun ditolak.

“Bagi tujuan melancong dan bercuti tidak dibenarkan keluar negara. Kelulusan diberikan kepada ahli sukan yang menetap dan berpangkalan di luar negara sahaja dibenarkan membawa pasangan.

“Contohnya, pelumba basikal dan pemain golf profesional. Ahli sukan menyertai kejohanan secara on and off dan tidak menetap di luar negara, tidak dibenarkan membawa pasangan semasa menyertai kejohanan.

“Hanya jurulatih dan kru profesional terbabit dibenarkan keluar bersama ahli sukan berkenaan.”

Pada masa sama, Imigresen turut mendedahkan terdapat beberapa kes penyalahgunaan kelulusan permohonan keluar negara oleh warnganegara Malaysia menerusi pemeriksaan di pintu masuk negara. – HM

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meneruskan misi kutipan mata apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik musim ini di GP Itali, hujung minggu lalu.

Senario itu sekaligus menyaksikan Hafizh berjaya melunaskan objektif awal setelah menyertai NTS RW Racing bagi musim 2021.

Bagaimanapun, menurut Hafizh masih terdapat banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan jentera yang ditunggang terus memberi saingan.

Antaranya memperbaiki ciri aerodinamik dan kelajuan jentera sewaktu di laluan lurus.

“Banyak kali di laluan lurus, rider lain mudah memotong saya.

“Jadi saya memberi saingan di bahagian corner dan sewaktu membrek tetapi agak sukar di laluan lurus.

“Ini kerana jentera saya masih kurang aerodinamik dan kelajuan di laluan lurus,” jelas Hafizh sewaktu sesi temu bual secara atas talian, baru-baru ini.

Hafizh berpeluang menamatkan aksi di Mugello di tempat ke-8 namun dipintas Cameron Beaubier beberapa meter dari garisan penamat sekaligus perlu berpuas hati dengan keduudkan ke-9.

Namun, keputusan tersebut sedikit sebanyak membuktikan Hafizh semakin mencapai keserasian dengan chasis NTS yang merupakan chasis baharu dalam saingan Moto2.

Saingan Moto2 kembali bersambung hujung minggu ini di Litar Catalunya, Sepanyol.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, berjaya menamatkan aksi di dalam kelompok 10 terbaik di GP Itali, hari ini.

Meskipun memulakan aksi di petak ke-20 namun pelumba NTS RW Racing itu tidak berputus asa sebaliknya memperbaiki kedudukan sepanjang perlumbaan.

Dia kemudiannya berjaya menamatkan aksi di Mugello dikedudukan ke-9 meskipun berpeluang cerah menduduki tempat ke-8 sebelum dipintas beberapa meter dari garisan penamat oleh Cameron Beaubier dari pasukan American Racing.

Kejayaan ini sekaligus melunaskan sasaran Hafizh yang sebelum ini meluahkan keyakinan untuk menduduki kelompok 10 terbaik selepas mula mencapai keserasian dengan chasis NTS itu.

Hafizh kini menghuni kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-21 dengan kutipan 8 mata selepas enam pusingan.

Sementara itu, rakan sepasukan dan pelumba muda, Barry Baltus menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

Pada masa sama, Red Bull KTM Ajo merekodkan kemenangan satu-dua menerusi Remy Gardner dan Raul Fernandez manakala Marco Bezzechi melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Aksi Moto2 dibayangi berita pemergian pelumba Moto3, Jason Dupasquier yang disahkan meninggal dunia susulan mengalami kemalangan serius ketika sesi kelayakan, semalam.

Berikut keputusan penuh Moto2:

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, telah selesai menjalani sesi ujian sebagai persediaan menghadapi GP Itali, minggu depan.

Sesi ujian di Litar Catalunya, Barcelona itu menyaksikan Hafizh merekodkan 120 lap dalam tempoh 1 hari setengah dalam usaha untuk terus memperkemas prestasi dan memahami jentera.

Usaha Hafizh turut mendapat pujian pengurus pasukan RW Racing GP, Jarno Janssen.

“Terima kasih Hafizh atas usaha keras beberapa hari ini. Kami menjadi semakin kuat untuk berlumba.

“Mugello, kami datang,” katanya.

Prestasi Hafizh bersama jentera NTS telah mula mempamerkan peningkatan dengan pelumba itu berjaya mengutip mata pertama minggu lalu di tempat ke-15 susulan pembatalan keputusan terhadap Lorenzo Dalla Porta yang menduduki tempat ke-11.

Hafizh turut berjaya menduduki tempat ke-11 ketika perlumbaan berbaki 7 lap di Le Mans – meskipun bermula di P26 – namun masalah suhu jentera memaksanya menamatkan aksi di tempat ke-16.

Aksi Moto2 kembali bersambung dengan ujian bebas rasmi bermula 28 Mei ini di litar Mugello.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, akhirnya mengutip mata pertama musim ini meskipun menamatkan aksi di kedudukan ke-16.

Penganugerahan mata itu diberikan ekoran keputusan Lorenzo Dalla Porta menduduki tempat ke-11 dibatalkan sekaligus menyaksikan Hafizh secara rasminya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.

Keputusan pembatalan pelumba itu dibuat setelah mendapati Dalla Porta dan jentera Moto2 miliknya merekodkan (gabungan) berat 216kg, kurang satu kilogram berbanding had minimum yang ditetapkan pada 217kg.

Panel FIM MotoGP mendapati kegagalan pelumba Italtrans Racing Team itu mencapai berat minimum 217kg melanggar Artikel 2.5.4.1 Peraturan Kejuaraan Dunia GP FIM yang ditetapkan.

“Mengambil kira faktor tersebut, FIM memutuskan untuk membatalkan keputusan tersebut mengikut Artikel 3.2.1,” jelas Panel FIM dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hafizh mempamerkan tunggangan mantap apabila pada suatu ketika menduduki tempat ke-11 dengan perlumbaan berbaki 7 lap meskipun memulakan perlumbaan di P27.

Bagaimanapun, masalah jentera menyaksikan pelumba itu menamatkan aksi di kedudukan ke-16.

“Saya kecewa dengan perlumbaan hari ini. Saya mampu memberi saingan dengan kelompok depan tetapi suhu jentera naik dari 80 darjah celsius kepada 130 darjah celsius lalu memberi kesan kepada prestasi keseluruhan,” jelasnya sebaik perrlumbaan berakhir.

Namun, Hafizh mampu menarik nafas lega apabila dianugerahkan satu mata selepas pembatalan keputusan Dalla Porta.

Pelumba berusia 27 tahun itu akan kembali beraksi pada hujung bulan ini di GP Itali yang dijadualkan berlangsung di Mugello.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin melakar catatan terbaiknya musim ini apabila menamatkan aksi di GP Sepanyol di kedudukan ke-17.

Meskipun masih belum mengutip mata selepas empat pusingan, ini merupakan persembahan terbaik Hafizh setakat ini apatah lagi bermula di kedudukan ke-28.

Peningkatan prestasi itu turut mendapat perhatian peminat sukan permotoran tanah air yang mengharapkan pelumba NTS RW Racing itu terus berikan saingan terbaik menjelang pusingan kelima yang akan berlangsung di Le Mans pada 14 hingga 16 Mei depan.

Persiapan Hafizh sebelum ini sedikit terkesan apabila terpaksa menjalani kuarantin wajib 7-hari di hotel selepas pulang dari Litar Portimao, April lalu.

Dia turut meluahkan rasa kurang senang terhadap senario tersebut meskipun telah mendapat suntikan vaksin Pfizer sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, aksi Moto2 menyaksikan pelumba Federal Oil Gresini, Fabio Di Giannantonio muncul pemenang diikuti Marco Bezzechi (SKY Racing Team VR46) dan Sam Lowes (Elf Marc VDS Racing Team).

Berikut keputusan penuh perlumbaan Moto2:

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, bakal memulakan aksi pusingan kedua GP Qatar di petak ke-27 selepas sekali lagi bergelut sewaktu sesi kelayakan.

Pelumba NTS RW Racing itu mengharapkan pusingan kedua di litar sama menghadirkan keputusan yang lebih baik selepas gagal menamatkan aksi perlumbaan minggu lalu.

Dia terpaksa bersara awal selepas jenteranya mengalami masalah teknikal selepas 11 lap.

Bagaimanapun, Hafizh terus bergelut untuk memperbaiki catatan kali ini selepas merekodkan 2 minit 01.466s sewaktu Q1.

“Sesi kelayakan hari ini (malam tadi) cukup sukar kerana cuaca sangat berbeza berbanding semalam (ujian bebas) jadi saya tidak mampu memperbaiki tunggangan.

“Disebabkan keadaan yang sukar ini, saya tidak dapat menggunakan keseluruhan kuasa jentera. Esok (hari ini) kami akan cuba memperbaiki sewaktu sesi pemanas badan dan harapnya dapat menunggang dengan kumpulan depan sewaktu perlumbaan,” jelas pelumba berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, pelumba Marc VDS Racing Team dan juara minggu lalu, Sam Lowes, bakal memulakan aksi di P1 diikuti Remy Gardner (KTM Ajo) di P2 dengan Marco Bezzecchi (SKY Racing Team VR46) di P3.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, mendedahkan masih memerlukan masa untuk mencapai keserasian dengan jentera baharu menjelang pusingan kedua di Litar Antarabangsa Losail, hujung minggu ini.

Pelumba NTS RW Racing GP itu gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembukaan minggu lalu selepas hanya menyempurnakan 11 lap.

“Saya masih cuba memahami jentera baharu ini secepat mungkin, walaupun masih belum terima banyak maklumat tetapi saya akan cuba sebaik mungkin minggu ini.’

“Saya akui agar sukar, tetapi masih bersemangat untuk teruskan bersaing dan memahami jentera dengan lebih baik,” jelasnya.

Minggu lalu, Hafizh mendedahkan jenteranya mengalami masalah teknikal membabitkan bahagian ‘rectifier’ sehingga menyebabkan enjin jentera terhenti.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube