Modenas bakal memulakan penjenamaan beberapa model Kawasaki bermula dengan Ninja 250.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, sewaktu sesi Track Day Modenas Bersama Media yang berlangsung di 3StonePark, Glenmarie, hari ini.
Menurut Roslan, tatkala kekangan pandemik Covid-19 semakin berkurang, pihaknya akan kembali merancakkan kerjasama bersama Kawasaki bermula 2022.
Model yang pernah ditayangkan sebelum ini, Modenas Ninja 250, akan dilancarkan sekitar hujung suku pertama 2022.
Pada masa sama, Roslan turut mengulangi bahawa buat masa ini perancangan awal masih lagi babitkan penjenamaan semula beberapa model dari 250cc hingga 650cc namun perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan buat masa ini.
Sementara itu, kami turut dimaklumkan bahawa Kawasaki Heavy Industries (KHI) akan menghantar seorang wakil dari Jepun yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi membantu melancarkan kerjasama Modenas-Kawasaki.
Antara aspek yang turut akan diperhalusi adalah soal servis selepas jualan serta alat ganti dengan segala maklumat terperinci akan diumumkan kemudian.
Sebelum ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun mengumumkan pengambil alihan sebagai pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia.
Bagaimanapun, proses peralihan tersebut akan mengambil masa enam bulan dan akan dibantu pengendali terdahulu Kawasaki Motors Sdn Bhd (KMSB).
Dalam tempoh peralihan tersebut pemilik motosikal Kawasaki boleh mendapatkan bantuan teknikal dan selenggara serta alat ganti di pengedar rasmi Kawasaki terdahulu.
Awal tahun ini, timbul khabar angin yang mengatakan Kawasaki rancang untuk memperkenalkan Z650RS, motosikal bercirikan retro klasik yang diinspirasikan daripada Z900RS.
Desas-desus itu kemudian bertambah kuat apabila Kawasaki mendedahkan video teaser dengan slogan ‘Retrovolution’ yang sekaligus beri bayangan merujuk kepada model retro baharu.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, pengeluar motosikal Jepun disahkan akan memperkenalkan Z650RS berdasarkan dokumen kelulusan yang difailkan di Eropah.
Dokumen itu bukan setakat mengesahkan nama model sebagai Z650RS malah mendedahkan kapasiti enjin yang diguna pakai.
Kawasaki Z650RS akan datang itu (seperti jangkaan) akan dikuasakan enjin 650cc yang sama terdapat pada model Z650 yang menawarkan 67hp dan 63.7Nm.
Z650RS itu juga akan berkongsi kerangka sama dengan Z650 namun dengan panel badan bercirikan retro seperti model popular Z900RS.
Ketika ini, tiada tarikh diumumkan bagi pelancaran model baharu tersebut namun berdasarkan video teaser yang dikongsikan sebelum ini, Kawasaki Z650RS 2022 pastinya sudah hampir untuk didedahkan secara rasmi.
Peluang untuk Toprak Razgatlioglu menyapu bersih pusingan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) di Magny-Cours, Perancis, tidak kesampaian apabila kemenangan di Superpole telah dibatalkan gara-gara protes dari Kawasaki.
Kawasaki mendakwa pelumba Yamaha itu telah melebihi had litar (track-limit) sewaktu melakukan pintas terhadap Jonathan Rea.
Penganjur kemudiannya mengambil masa lebih empat jam sebelum memutuskan protes Kawasaki itu berasas lantas menghadiahkan kemenangan kepada Rea.
Keputusan itu turut menyaksikan jurang antara Razgatlioglu selaku pendahulu kejuaraan dan Rea dipisahkan hanya tujuh mata.
Ini juga menyaksikan Razgatlioglu masih berputih mata dalam melakukan kemenangan berganda di pusingan WorldSBK.
Sementara itu, prinsipal pasukan Pata Yamaha, Paul Denning, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut.
“Minggu ini kami disajikan dengan saingan hebat antara dua calon kejuaraan,
“Bagi pasukan kami, ini kali pertama kami menang ketiga-tiga perlumbaan. Bagi Toprak, ini adalah pencapaian sulung dalam kariernya.
“Saya kecewa dengan protes dari Kawasaki kerana kami sesekali tidak akan mengambil jalan itu,” jelasnya.
Difahamkan, Race Direction telah pun memutuskan diakhir perlumbaan bahawa tiada kesalahan dilakukan Razgatlioglu kerana situasi itu tidak memberikan sebarang kelebihan pada pelumba itu.
Bagaimanapun, protes dari Kawasaki termasuk rakaman ‘onboard’ dari Rea meletakkan tayar belakang Razgatlioglu cecah had litar kurang 5mm.
Umum sedia maklum bahawa Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) bakal melakukan beberapa penjenamaan semula model Kawasaki di Malaysia.
Ini ekoran Kawasaki Heavy Industries (KHI), telah pun membeli 14,300,000 unit saham MODENAS setelah memeterai perjanjian bersama DRB-HICOM Berhad.
Perjanjian ini menyaksikan KHI – yang sebelum ini memegang ekuiti 19 peratus – meningkatkan pegangan kepada 30 peratus sekaligus membolehkan KHI terlibat dalam operasi MODENAS.
Berdasarkan beberapa info yang kami perolehi sebelum ini, penjenamaan semula itu akan membabitkan beberapa model antara 250cc hingga 650cc yang turut akan dipasang di kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah.
Berikut 5 model yang kami jangka akan membawa lencana MODENAS di Malaysia:
Kawasaki Ninja 250 SE ABS
Ini bukanlah satu kejutan ekoran MODENAS telah pun menayangkan model ini sewaktu pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 , tahun lalu.
Tampil dengan pilihan warna serba hitam, Ninja 250 SE ABS ini dikuasakan enjin parallel twin 249cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 38.4hp pada 12,500rpm dan 23.5Nm pada 10,000rpm.
Seperti model lain yang dijenamakan semula oleh MODENAS antaranya Dominar dan Pulsar, Ninja 250 ini juga mengekalkan kesemua spesifikasi yang sama ditawarkan Kawasaki.
Kawasaki Versys-X 250
Sebuah lagi model dicanang akan dijenamakan semula oleh Modenas.
Versys-X 250 merupakan motosikal segmen adventure yang digerakan enjin 249cc parallel-twin dengan suntikan bahan api ‘dual throttle valves’ yang menjana 33.5hp pada 11,500rpm dan 21.7Nm pada 10,000rpm.
Model ini dijangka bakal menjadi antara yang terlaris ekoran mempunyai ciri yang praktikal sebagai tunggangan harian mahupun jarak jauh di hujung minggu dengan bantuan tangki 17L.
Kawasaki Z650 ABS
Motosikal segmen naked ini merupakan antara model yang popular di Malaysia.
Berkonsepkan ‘Sugomi’, Z650 menggabungkan rekaan yang agresif dengan ciri yang praktikal serta enjin parallel-twin 649cc yang cukup berkuasa.
Dengan nisbah mampatan 10.8:1, Z650 ini menawarkan 67hp dan 65.7Nm pada 6,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.
Selain daripada sistem membrek dengan bantuan ABS, model ini juga didatangkan dengan cakera brek 300mm depan dengan kaliper 2-piston dan 220mm belakang.
Penggunaan kerangka jenis trellis dengan kekuatan tegangan tinggi menjadikan Z650 antara model yang mudah dikendalikan di jalan raya.
Kawasaki Ninja 650 ABS
Ninja 650 merupakan antara model yang turut mencuri perhatian setelah diperkenalkan Kawasaki bagi menggantikan ER6-F sebelum ini.
Menariknya, model baharu ini mendapat sentuhan inspirasi daripada ZX-6R sekaligus tampil sporty.
Meskipun berimej agresif, namun Ninja 650 meneruskan kesinambungan ER6-f sebagai model yang selesa ekoran menawarkan ergonomik lebih menegak dan kedudukan ‘handlebar’ yang lebih tinggi.
Ninja 650 dihidupkan dengan enjin sama ditawarkan Z650 dengan 67hp pada 8,000rpm dan 63.72Nm pada 6,700rpm.
Bagi menjamin keselesaan menunggang, Ninja 650 didatangkan dengan fork teleskopik hidraulik 41mm depan dan spring boleh laras (horizontal back-link) di belakang.
Kawasaki Versys 650
Versys 650 sememangnya antara model ‘touring’ popular di Malaysia ekoran menawarkan harga dan sokongan servis selepas jualan yang berpatutan.
Sekiranya dijenamakan semula oleh MODENAS, pastinya akan terdapat pertambahan Versys 650 disini.
Bercirikan model touring, Versys 650 tampil dengan penghadang angin tinggi, tempat duduk yang selesa dan menegak untuk penunggang dan pembonceng selain daripada kapasiti tangki 21L.
Model ini dilengkapi enjin parallel-twin 649cc DOHC yang menawarkan 68.05hp dan 61Nm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.
Versys 650 ini juga didatangkan dengan ciri Dual Throttle Valve, Economical Riding Indicator dan ABS.
Antara ciri menarik lain ditawarkan:
kerangka jenis double-pie diamond
tayar 120/70-17 depan
tayar 160/60-17 belakang
cakera brek 300mm depan
cakera brek 250mm belakang
Perlu diingatkan senarai ini hanyalah berdasarkan jangkaan kami semata-mata selepas mengambil kira info yang berjaya diperolehi sebelum ini.
Terdapat beberapa lagi model yang wajar disebut antaranya ZX-25R dan KLR650 namun setakat ini tiada sebarang info sama ada kedua-duanya akan terlibat dalam barisan model yang akan dijenamakan semula MODENAS.
Ketika ini, pihak MODENAS juga sibuk mengadakan kajian pendedahan jenama Kawasaki di Malaysia bagi mengenal pasti impak jenama Jepun itu dikalangan peminat motosikal tempatan.
Meskipun tiada sebarang tarikh pengumuman mengenai barisan model yang akan diperkenalkan, apa yang pasti penjenamaan semula motosikal Kawasaki akan berlaku.
Kawasaki mencuri tumpuan sebaik melancarkan ZX-25R di Indonesia sekitar Julai tahun lalu.
Hampir setahun kemudian, populariti motosikal sportsbike segmen 250cc itu terus meningkat naik dan hasilnya mengatasi sasaran 2,000 unit yang ditetapkan.
*Kawasaki ZX-25R ABS SE Lime Green
Menerusi pelancaran empat pilihan warna baharu semalam, Kawasaki Motor Indonesia (KMI) mendedahkan jualan ZX-25R telah pun melebihi 4,000 unit setakat ini, lebih dua kali ganda daripada jangkaan awal.
*Kawasaki ZX-25R ABS SE Passion Red
Mengambil kira kejayaaan itu, KMI membuat keputusan untuk memperkenalkan empat pilihan warna baharu bagi pasaran negara itu, tahun ini.
*Kawasaki ZX-25R ABS SE Metallic Matte Graphene Steel Grey
Berbanding tahun lalu, ZX-25R ABS SE 2022 dapat tiga pilihan warna baharu menerusi Lime Green, Passion Red dan Metallic Matte Graphene Steel Grey manakala varian standard hanya ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja, Metallic Spark Black.
*Kawasaki ZX-25R Metallic Spark Black
Kawasaki ZX-25RR 2022 ini terus dikuasakan enjin 249.8cc 4-inline DOHC yang menawarkan 50hp pada 15,500rpm (51hp dengan Ram Air) dan 22.9Nm pada 14,500rpm dengan nisbah mampatan (compression ratio) 11.5:1.
Setakat ini, model ZX-25R ini masih belum lagi dipasarkan Malaysia tatkala masih menanti pengesahan di antara pihak yang berkenaan.
Jonathan Rea mengakui peluang untuk beraksi di MotoGP sudah pun ditutup meskipun mendominasi Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dengan enam kejuaraan berturut-turut.
Keputusan berhijrah ke Kawasaki Racing Team (KRT) selepas beberapa musim bersama Honda ternyata membuahkan hasil apabila gandingan Rea bersama jentera ZX-10RR menghadirkan kejayaan berganda.
Dia kini memegang status selaku enam kali juara WorldSBK selepas enam musim bersama KRT.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya umur yang kini telah pun mencecah usia 33 tahun, Rea akui tiada ruang untuknya beraksi di MotoGP.
“Jika saya mahu meninggalkan WorldSBK, saya perlukan sesuatu yang kukuh sebagai pembakar semangat kerana saya sudah selesa dan persekitaran WorldSBK.
“Untuk pertimbangkan MotoGP, saya perlukan sokongan factory tetapi perkara ini tidak pernah berlaku.
“Saya juga rasa peluang ini tidak akan hadir kerana saya kini berusia 33 tahun. SBK adalah dunia saya dan saya gembira,” jelasnya.
Bagaimanapun, Rea mendedahkan rancangan untuk melibatkan diri dalam sukan permotoran motocross profesional selepas bersara dari WorldSBK.
“Saya mahu sertai Anaheim Supercross dan kejuaraan motocross kebangsaan di Ireland Utara. Saya gemar menunggang ‘dirt bike’ jadi saya amat berminat untuk melakukannya,” tambah Rea.
Meskipun peluang untuk Rea ke MotoGP sudah pun terkubur namun dia pernah membuat penampilan sementara di kelas premier itu pada 2012, menggantikan Casey Stoner yang mengalami kecederaan di Repsol Honda.
Rea berjaya menamatkan aksi di Misano dan Aragon di tempat ke-8 dan ke-7 sebelum kembali ke WorldSBK bersama Honda.
Kawasaki memperkenalkan dua pilihan warna baharu bagi model naked, Z650 bagi tahun 2021.
Menurut Kawasaki, Z650 kini didatangkan dengan warna Metallic Spark Black dan Pearl Robotic White.
Pengeluar motosikal Jepun itu turut mengemaskini grafik di bahagian tangki.
Bagaimanapun, kesemua ciri dan spesifikasi kekal sama dengan Z650 2021 ini masih lagi dikuasakan enjin 649cc parallel-twin yang menawarkan 67hp dan 64Nm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.
Sistem suspension dikendalikan fork teleskopik 41mm dan monoshock dengan preload boleh laras.
Manakal sistem brek dibarisi cakera brek berkembar 300mm depan dan 220mm belakang yang dipadankan bersama ABS dwi-saluran sebagai standard.
Penggunaan lampu jenis LED penuh serta paparan TFT berwarna dengan keterhubungan telefon pintar menyerlahkan lagi aspek moden Z650 kali ini.
Walaupun pasaran Malaysia masih kempunan namun sejak Kawasaki melancarkan ZX-25R, motosikal itu bingkas mencuri tumpuan terutamaya di pasaran negara jiran hasil penggunaan enjin 4-inline meskipun bersesaran 250cc.
Bagi meneruskan kesinambungan itu, timbul khabar angin yang mendakwa Kawasaki merancang untuk membangunkan versi ZX-4R dengan enjin 4-inline.
Menurut laporan Young Machine, perkara itu akan dicapai dengan membesarkan bore enjin ZX-25R, menukar piston dan crank dan dipadankan dengan ECU yang telah dinaik taraf.
Seperti ZX-25R sebelum ini, dijangka ZX-4R juga akan menawarkan prestasi dan spesifikasi lebih tinggi berbanding Ninja 400.
Meskipun sekadar khabar angin namun disebabkan dakwaan itu ditimbulkan media Jepun, Young Machine, senario ini sudah boleh dianggap berasas berdasarkan laporan lain sebelum ini.
Sementara itu di pasaran Malaysia, masih lagi menanti khabar berita ZX-25R yang sehingga kini masih tak nampak ‘batang hidung’ pun lagi.
Kawasaki KLR650 2022 mendarat di Thailand dengan dua varian ditawarkan menerusi versi ABS dan Adventure.
Kawasaki KLR650 ABS dan Adventure ditawarkan pada harga THB268,500 (RM35,841) dan THB299,000 (RM39,913). *tukaran langsung matawang tidak mencerminkan harga sebenar
Antara motosikal paling popular Kawasaki sejak diperkenalkan pada 1987, KLR650 kembali dengan model tahun 2022 selepas kali terakhir dikemas kini pada 2008.
Kawasaki mengekalkan enjin satu silinder 652cc DOHC dengan penyejukan cecair namun perubahan paling ketara adalah penggunaan suntikan bahan api Keihin EFI menggantikan karburetor di samping throttle body 40mm.
Enjin baharu ini juga menawarkan penjimatan terbaik dengan penggunaan sensor oksigen (O2 sensor) di samping timing cam baharu dan diameter ekzos yang lebih kecil.
DNA KLR650 dengan penggunaan transmisi 5-kelajuan turut dikekalkan namun dengan beberapa perubahan mekanikal antaranya gear keteiga mendapat fork shift baharu manakala pelepasan klac (clutch release) mengguna pakai jenis thrust-needle bearing berbanding ball bearing.
Swingarm kini 1.2 inci lebih panjang berbanding model sebelumnya sekaligus menjadikan KLR650 2022 lebih stabil.
Kawasaki turut mengekalkan penggunaan fork konvensional (tidak boleh laras) namun spring lebih keras di kiri dan kanan dengan ‘suspension travel’ lebih memfokus ciri ‘adventure’ berbanding ‘dual-sport’.
Bagaimanapun, monoshock belakang boleh laras bagi spring-preload dan rebound.
Hakikatnya, terdapat banyak motosikal klasik dan lama yang boleh didapati dengan mudah antaranya secara atas talian.
Namun, tak semua menawarkan kondisi terbaik dan hampir pasti kesemua motosikal klasik ini telah pun merekodkan perbatuan yang tinggi.
Bagaimanapun, kes berbeza bagi sebuah motosikal Kawasaki ZX7-R 1996 ini yang masih lagi tidak mencatatkan sebarang perbatuan walaupun selepas 25 tahun!
Motosikal dalam keadaan ‘new old stock’ ini adalah untuk dijual di United Kingdom dan ditawarkan pada harga GBP39,995 (RM224,500)!
Selain berada dalam keadaan serba baharu dan perbatuan kosong, ZX7-RR merupakan keluaran khas edisi ‘homologation’ dengan hanya 500 unit dihasilkan untuk pasaran dunia.
Menurut laporan, motosikal ini pada awalnya dijual di Itali dan merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi pembeli.
Difahamkan, pemilik motosikal ini juga mencari pembeli bagi yang berminat mendapatkan sebuah Ducati 1299 Superleggera serta Yamaha YZF-R7 OW02 (perbatuan kosong) yang dijual pada harga GBP69,995 (RM392,970) serta GBP59,995 (RM336,829).
Berita baik bagi pencinta motosikal ‘dual-sport’, Kawasaki mengumumkan kembalinya KLR650.
Antara motosikal paling popular Kawasaki sejak diperkenalkan pada 1987, KLR650 akan kembali bagi tahun 2022 selepas kali terakhir dikemas kini pada 2008.
Bagi memudahkan pembaca, kami senarai 10 perkara tentang Kawasaki KLR650 yang anda perlu tahu:
Enjin
Kawasaki mengekalkan enjin satu silinder 652cc DOHC dengan penyejukan cecair namun perubahan paling ketara adalah penggunaan suntikan bahan api Keihin EFI menggantikan karburetor di samping throttle body 40mm.
Enjin baharu ini juga menawarkan penjimatan terbaik dengan penggunaan sensor oksigen (O2 sensor) di samping timing cam baharu dan diameter ekzos yang lebih kecil.
Transmisi
Kawasaki mengekalkan DNA KLR650 dengan penggunaan transmisi 5-kelajuan namun dengan beberapa perubahan mekanikal antaranya gear keteiga mendapat fork shift baharu manakala pelepasan klac (clutch release) mengguna pakai jenis thrust-needle bearing berbanding ball bearing.
Swingarm dan kerangka belakang
Swingarm kini 1.2 inci lebih panjang berbanding model sebelumnya sekaligus menjadikan KLR650 2022 lebih stabil.
Sistem ‘suspension’
Kawasaki mengekalkan penggunaan fork konvensional (tidak boleh laras) namun spring lebih keras di kiri dan kanan dengan ‘suspension travel’ lebih memfokus ciri ‘adventure’ berbanding ‘dual-sport’.
Bagaimanapun, monoshock belakang boleh laras bagi spring-preload dan rebound.
Sistem membrek
Kawasaki menawarkan versi ABS bagi KLR650 yang dipadankan bersama cakera breka 300mm depan manakala cakera brek belakang adalah 1mm lebih tebal.
Penyalaan
Kawasaki KLR650 lengkap dengan penggunaan lampu jenis LED manakala paparan meter mengguna paki skrin jenis LCD berbanding analog.
Tayar
Kawasaki KLR650 ini didatangkan dengan rim jenis spoke 17 inci depan dan 21 inci belakang yang dipadankan dengan tayar Dunlop K750.
Keselesaan menunggang
Kawasaki telah mengemas kini rekaan dan tahap praktikal KL650 bagi memfokuskan keselesaan terbaik dengan handlebar dan foot peg 0.4 inci lebih lebar manakala tangki berkapasiti 23L memastikan kaki penunggang lebih selesa ketika tunggangan jarak jauh.
Penghadang angin juga dua inci lebih tinggi dan boleh dinaikkan 1.2 inci lebih tinggi untuk tunggangan di lebuhraya.
Timbul dakwaan Kawasaki Eliminator H2 memasuki peringkat pembangunan terakhir meskipun tiada info sahih bagi mengesahkan perkara itu.
Khabar angin mengenai jentera ‘power cruiser’ itu timbul beberapa bulan lalu menerusi majalah Young Machine yang berkongsi imej ‘render’ jentera terbabit dengan nama ‘supercharged Vulcan’.
Jarang sekali dakwaan Young Machine salah sekaligus memberi bayangan bahawa Kawasaki sememangnya giat membangunkan jentera tersebut.
Dakwaan terbaru mengatakan bahawa pembangunan motosikal tersebut telah pun memasuki peringkat akhir.
Meskipun rupa bentuk jentera tersebut belum didedahkan namun bukan satu kejutan jika kebanyakan komponen berkongsi ciri sama seperti yang terdapat pada Z H2 apatah lagi turut disuntik unit ‘supercharge’ yang sama.
Bagaimanapun, dijangka kuasa supercharge itu akan ditala semula bagi menyesuaikan pada sebuah motosikal cruiser berbanding 200hp yang ditawarkan Z H2 dan H2 namun pastinya Eliminator H2 ini bakal muncul sebagai cruiser paling berkuasa dalam segmennya.