Supermoped yang ditunggu-tunggu daripada Modenas dikhabarkan telah mula menjalani ujian awal di luar negara.
Memetik laporan rakan media PanduLaju, prototaip berkenaan didakwa sedang menjalani proses ‘fine-tuning’ dengan wakil Jepun yang memantau proses tersebut telah pun hadir ke Modenas bulan lalu bagi berkongsi perkembangan terbaru.
Difahamkan, projek supermoped itu dijangka siap sekitar tahun 2025 dan dijadualkan pendedahan rasmi pada tahun sama.
Menariknya, laporan tersebut juga mendakwa bahawa projek berkenaan turut dipantau rapat oleh Kawasaki bagi memastikan supermoped tersebut dibangunkan secara teliti. – PanduLaju
Kawasaki akan menaik taraf model retro Z650RS dengan fungsi Kawasaki Traction Control (KTRC) bagi model keluaran 2024.
Naik taraf itu dilaksana bagi memastikan barisan model Kawasaki kekal selamat dan berteknologi tinggi bagi tahun akan datang.
KTRC bukanlah sistem baharu dan merupakan fungsi standard yang ada pada barisan model Kawasaki termasuk Ninja 650 dan Z650. Susulan daripada pengeluar motosikal mula memperkenalkan fungsi traction control sebagai standard sepertimana ABS, maka tidak hairanlah model Z650RS juga diberi layanan sama.
Bagaimanapun, sistem KTRC yang ada pada Z650RS ini berfungsi bersama sistem sensor kelajuan dan bukannya dikawal selia oleh IMU sepertimana yang terdapat pada model ZX-10R, H2 dan Versys 1000.
Dalam pada itu, Kawasaki juga dijangka menaik taraf panel meter analog berkembar Z650RS bagi memuatkan notifikasi KTRC.
Namun begitu, Kawasaki Z650RS 2024 dijangka mengekalkan enjin parallel-twin 649cc yang berupaya menghasilkan 67hp.
Indonesia menjadi negara kedua Asia Tenggara untuk menyambut ketibaan model ‘sportsbike’ terbaru Kawasaki, Ninja ZX-4R, selepas Thailand.
Menurut laporan, hanya varian tertinggi, Ninja ZX-4RR dijual di pasaran negara itu dengan harga jualan rasmi INR239.9 juta (RM70k). Sementara itu, hanya 40 unit sahaja diperkenalkan.
Bagaimanapun, tanda harga tersebut pastinya mencuri tumpuan ekoran dua kali ganda lebih tinggi berbanding Ninja ZX-25R.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah.
Platform tersebut berupaya menghasilkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air.
Dalam pada itu, varian RR ini datang dengan penghadang angin gelap, sistem ‘quickshifter’ serta fork depan Showa SFF-BP 37mm boleh laras dan ‘monoshock’ Show BFRC Lite.
Sistem brek pula menampilkan cakera brek berkembar 290mm depan dan 220mm belakang yang diapit kaliper brek radial 4-pot depan dan 2-pot belakang.
Pakej elektronik pula menampilkan sistem ‘traction control’ KTRC, empat mod menunggang (Sport, Road, Rain dan Rider), panel meter LCD berwarna 4.3-inci yang boleh dihubungkan ke aplikasi Kawasaki Rideology.
Selan itu, ciri lain yang turut ditawarkan adalah seperti berikut:
Kawasaki membuat kejutan beberapa hari lalu apabila mengumumkan kembalinya model Eliminator 400 bagi tahun 2023.
Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, motosikal gaya ‘cruiser’ itu turut membuat penampilan mengejut di Bangkok International Motor Show 2023 sekaligus menandakan ketibaan model itu bagi pasaran di Thailand.
Perkembangan tersebut secara langsung mengesahkan kembalinya lencana Eliminator selepas model itu dihentikan pengeluarannya pada 2007.
Digerakkan enjins sama yang menghidupkan Ninja 400 dan Z400, Kawasaki Eliminator 400 ini menawarkan 47hp pada 10,000rpm dan 37Nm pada 8,000rpm.
Mengguna pakai kerangka trellis besi seperti Ninja 400, Eliminator 400 tampil dengan gaya ‘cruiser’ klasik dengan reka bentuk rendah dan panjang. Meskipun begitu model ini hanyalah seberat 176kg sekaligus sesuai untuk mereka yang mahu berjinak dengan motosikal ‘cruiser’.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk tangki 13L dan ketinggian tempat duduk 735mm. Menurut laporan, Kawasaki Eliminator 400 itu dipasarkan di Thailand dengan harga jualan THB224,900 (RM29k).
Sempena ulang tahun ke-50 siri Kawasaki Z, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan ‘Z-Anniversary Box (Z-Box) istimewa bagi pemilik baharu Modenas Z250.
Kotak khas itu merangkumi pelbagai barangan rasmi jenama ‘Z’ termasuk; buku, baju dan bandana khas Kawasaki ‘Z’.
Menurut pihak EMOS, seramai 300 pemilik baharu Modenas Z250 akan menerima kotak khas itu.
Untuk rekod, sejarah model Z bermula pada tahun 1972 menerusi Kawasaki 900 Super4 yang diberi jolokan Z1 yang merupakan motosikal 4-inline pertama dalam kelasnya dengan sistem DOHC.
Dalam pada itu, Modenas Z250 merupakan motosikal jenis ‘naked’ yang digerakan enjin parallel-twin 249cc yang berupaya menghasilkan 36hp dan 23Nm.
Dibangunkan dengan DNA ‘Sugomi’, Modenas Z250 ini juga amat ringan dengan berat hanya sekitar 165kg.
Barisan model RS keluaran Kawasaki sememangnya cukup popular ekoran pengeluar motosikal Jepun itu mengekalkan DNA klasik yang pernah popular pada era 70an hingga 80an.
Hasilnya, model seperti Kawasaki Z900RS yang diinspirasikan daripada model Z1 kekal popular sejak diperkenalkan.
Populariti Z900RS juga membawa kepada Kawasaki menghasilkan Z650RS dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas terutamanya dalam memikat penunggang muda.
Kawasaki juga sebelum ini didakwa bakal memperkenalkan Z400RS namun tiada perkembangan lanjut mengenai model itu setakat ini.
Bagaimanapun, laporan terbaru di Jepun mendakwa Kawasaki bakal memperkenalkan sebuah motosikal yang diilhamkan daripada GPZ900R. Menurut laporan Young-Machine, model tersebut diberi nama GPZ900RS Ninja.
Dijangka mengguna pakai platform 948cc 4-inline DOHC dengan penyejukan cecair yang sama pada Z900RS, GPZ900RS Ninja menawarkan reka bentuk yang mirip dengan jentera ikonik, GPZ900R yang dihasilkan Kawasaki dari 1984 hingga 2003.
Bagaimanapun, berbanding enjin 908c empat-silinder yang terdapat pada GPZ900R menghasilkan 115hp dan 85Nm, enjin moden yang digunakan pada Z900RS menawarkan 111hp pada 8,500rpm dan 98Nm. Namun, belum dapat dikenal pasti sama ada Kawasaki akan menala semula enjin tersebut untuk digunakan pada GPZ900RS Ninja.
Tinjaun imej ‘render’ yang dikongsikan Young-Machine juga memaparkan beberapa komponen daripada Z900RS dikekalkan termasuk rim, suspensi dan kerangka.
Untuk rekod, Kawasaki GPZ900R turut dikenali sebagai model terawal Ninja dan turut dipopularkan filem Top Gun yang ditayangkan pada 1986.
Meskipun pendedahan terbaru ini cukup menarik namun tiada kenyataan rasmi dibuat pihak Kawasaki setakat ini. Namun, mengambil kira dakwaan Young-Machine jarang sekali tersasar selama ini, kami menjangkakan projek GPZ900RS Ninja ini sedang giat dijalankan ketika ini.
Tiga tahun lalu, sebuah syarikat aksesori motosikal di Jepun, DOREMI Collection pernah menghasilkan kit GPZ900R bagi model Z900RS. – Young-Machine
Malaysia antara negara Asean yang dibanjiri motosikal dengan lebih 13 juta motosikal direkodkan setakat hujung 2021.
Jadi tidak hairanlah Malaysia menduduki tangga ke-4 dunia dengan 83 peratus isi rumah memiliki motosikal selepas Thailand, Vietnam dan Indonesia menurut WorldAtlas.
Namun begitu, itu tidak bermakna Malaysia ditawarkan dengan motosikal pelbagai model sebaliknya terdapat beberapa model yang kami harap dipasarkan di sini.
Berikut lapan motosikal yang kami harap akan masuk Malaysia pada masa akan datang:
Kawasaki KLR 650
Antara motosikal paling popular Kawasaki sejak diperkenalkan pada 1987, KLR650 kembali bagi tahun 2022 selepas kali terakhir dikemas kini pada 2008.
Menariknya Kawasaki mengekalkan enjin satu silinder 652cc DOHC dengan penyejukan cecair sama seperti generasi sebelumnya namun menaik taraf kepada sistem suntikan bahan api EFI menggantikan karburator.
Meskipun model ini tidaklah berkuasa seperti model Kawasaki 650 lain namun KLR 650 dikenali dengan tahap ketahanan tinggi di samping mampu meredah permukaan yang ekstrim.
Kawasaki W175
Selain daripada pasaran Filipina dan Thailand, Kawasaki baru-baru ini telah melancarka W175 di pasaran India.
Motosikal gaya retro ini pastinya akan mendapat tempat di pasaran Malaysia apatah lagi motosikal gaya klasik kini bukan sahaja diminati golongan berusia malah remaja.
Kumpulan motosikal seperti Hikari Riders – yang diketuai Noh Hujan – dan acara seperti Distinguished Gentleman’s Ride menjadi daya penarik kepada anak muda terlibat dengan motosikal retro.
Untuk rekod, Kawasaki W175 ini dikuasakan enjin satu silinder 177cc yang menghasilkan 13hp dan 13.2Nm. Meskipun kuasa enjin agak rendah namun motosikal ini tetap nampak bergaya.
Honda Trail 125/Hunter Cub 125
Sebuah lagi motosikal yang kami harap dapat dipasarkan di Malaysia adalah Honda Trail 125 (Eropah) atau Hunter Cub 125 bagi pasaran Jepun.
Menariknya, model ini dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Honda Super Cub 125 yang dipasarkan di Malaysia.
Bagaimanapun, Honda Trail 125 ini lebih menarik perhatian ekoran menawarkan gaya dan reka bentuk lasak.
Rekaan keseluruhan Trail 125 ini diinspirasikan daripada model Trail 110 era 70an terutamanya reka bentuk ekzos yang ditempatkan di bahagian sisi penunggang.
Honda Trail 125 ini menawarkan 9.65hp pada 7,500rpm dan 10.4Nm pada 6,250rpm dan digerakkan transmisi 4-kelajuan. Meskipun kurang sengat namun model ini pastinya sesuai digunakan sebagai motosikal harian oleh semua jenis peringkat umur.
Yamaha XSR 155
Walaupun Yamaha XSR 155 ini cukup popular di Thailand, Indonesia dan Filipina namun model ini tidak dipasarkan di Malaysia sehingga kini.
Selain XSR 155, versi 900cc juga tidak dipasarkan disini oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Seperti Kawasaki W175 dan Honda Trail 125, Yamaha XSR 155 ini juga datang dengan gaya retro dengan penggunaan lampu bulat di depan, kerangka terdedah, panel meter digital LCD bentuk bulat dan tempat duduk gaya klasik.
Menariknya, Yamaha XSR 155 ini dikuasakan enjin satu silinder 155cc SOCH dengan VVA yang sama terdapat pada Yamaha R15M.
Honda Ruckus
Secara peribadi, kami berasakan Honda Ruckus merupakan skuter kompak paling cantik pernah dihasilkan Honda dan sukar ditandingi pengeluar lain dalam kelasnya.
Manakan tidak, rekaan keseluruhan Ruckus ini tampak unik dan luar biasa.
Walaupun hanya bernadikan enjin satu silinder 49cc dengan penyejukan cecair namun dengan reka bentuk terdedah dan ;ampu bulat berkembar menjadkan Ruckus sebuah skuter yang sangat menarik perhatian.
Menariknya, Ruckus dilengkapi dengan tangki sebesar 4.9L dan sesuai digunakan sebagai motosikal harian.
Skuter ini sangat popular di Amerika Syarikat terutamanya bagi budaya kustom di negara itu.
Yamaha Tenere 700
Sudah bertahun kami harapkan Yamaha Tenere 700 dibawa masuk ke Malaysia namun sehingga kini masih tiada jawapan dari HLYM.
Tenere 700 merupakan sebuah jentera ‘adventure’ pertengahan yang terbukti menawarkan kemampuan meredah permukaan lasak.
Baru-baru ini di Rimba Raid 2022, tiga jentera Yamaha Tenere 700 mendominasi podium bagi Class B.
Pihak penganjur juga menharapkan HLYM membawa masuk model itu ekoran sudah terbukti kemampuannya.
Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 digerakkan enjin parallel-twin 689cc DOHC yang menawrakan 72.4hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 68Nm.
Honda Super Cub 110
Ketika ini, Boon Siew Honda (BSH) hanya menawarkan Honda Super Cub 125 untuk pasaran negara.
Walaupun model gaya klasik itu menarik perhatian namun tidak dinafikan harga yang ditawarkan sekitar RM13,999 adalah agak tinggi bagi model sebegitu.
Namun, lain kisahnya jika BSH memasarkan Honda Super Cub 110 yang ketika ini dipasarkan di Jepun dan beberapa negara jiran.
Menampilkan ciri klasik seperti varian 125, Super Cub 110 dipasarkan di Jepun pada harga hanya JPY280,500 (RM8.9k) berbanding JPY440,000 (RM14k) bagi sebuah Super Cub 125.
Ini bermakna, sekiranya dipasarkan di Malaysia permintaan Super Cub 110 pastinya lebih tinggi.
Untuk rekod, Honda Super Cub 110 dikuasakan enjin 109cc 4-stroke, SOHC dengan PGM-FI yang berupaya menghasilkan 7.8hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm pada 5,500rpm.
Meskipun kurang berkuasa namun gaya yang ditampilkan cukup menarik perhatian di samping berpeluang untuk dikustom dengan pelbagai cara oleh pengguna.
Di antara semua model yang disebut di atas kami menharapkan Yamaha Tenere 700, XSR 155 dan Honda Super Cub 110 antara model yang harus dipertimbangkan untuk pasaran tempatan kerana pastinya terdapat permintaan yang tinggi mengikut demografik masing-masing.
Kawasaki melancarkan Z650RS pada tahun lalu dan sekaligus menerima sambutan baik di Jepun dan Eropah ekoran menampilkan ciri retro-moden yang sememangnya menjadi trend ketika ini.
Bagi memastikan Z650RS kekal segar bagi tahun 2023, Kawasaki telah memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model tersebut di Jepun.
Bagi tahun 2023, Kawasaki Z650RS tampil dengan warna Metallic Moondust Grey x Ebony yang menggabungkan warna metalik kelabu gelap dengan kemasan hitam di bahagian tangki dan panel serba hitam.
Bagaimanapun, tiada perubahan lain ditawarkan pada model 2023 ini ekoran masih lagi baru berada dalam pasaran.
Untuk rekod, Kawasaki Z650RS meneruskan kesinambungan daripada Z900RS dengan reka bentuk retro.
Namun, berbanding Z900RS, profil Z650RS lebih kecil dan lebih sesuai untuk penunggang yang baharu.
Meskipun begitu, Z650RS berjaya membawa imej retro sepertimana yang dilakukan Z900RS sehingga kini.
Kawasaki Z650RS ini dihidupkan enjin parallel-twin 649cc yang sama terdapat pada Versys 650, Ninja 650 dan Z650 dan berupaya menghasilkan 68hp pada 8,000rpm dan 63Nm.
Buat masa ini, Kawasaki Z650RS masih belum dipasarkan di Malaysia.
Kawasaki telah menaik taraf dua model 650cc, Ninja 650 dan Z650 dengan fungsi ‘traction control’ bagi tahun 2023.
Kedua-dua model terbabit kini tampil dengan tiga peringkat Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.
Dalam mod 1, sistem tersebut akan mengukur kadar pusingan tayar bagi meningkatkan tahap cengkaman sewaktu masuk dan keluar dari selekoh.
Sementara itu mod 2 pula boleh diaktifkan sekiranya menunggang di atas permukaan licin – jalan basah, berpasir dan berbatu. Mod 2 akan memastikan ‘traction control’ bertindak lebih cepat bagi mengimbangkan motosikal.
Bagi yang mahukan cabaran dan tunggangan lasak terutamanya di litar, pengguna juga boleh menyahaktifkan KTRC sekaligus.
Pengguna boleh akses fungsi KTRC menerusi paparan skrin TFT berwarna yang disertakan.
Bagaimanapun, kedua-dua model ini kekal dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang menawarkan 67.3hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.
Penggunaan kerangka jenis steel trellis juga dikekalkan dan dipadankan bersama fork teleskopik 41mm di depan dan penyerap hentakan jenis ‘back-link’ di belakang.
Adakah model 2023 ini akan turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan menerusi pengedar baharu MODENAS? Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti.
Pada Jun lalu, kami telah pun melaporkan bahawa pemasangan tempatan (CKD) beberapa model Kawasaki antaranya Ninja 250 dan Z250 sedang berjalan dan akan tiba di pengedar sekitar Julai atau Ogos.
Dalam info baharu yang diperolehi, MODENAS telah pun disahkan akan melancarkan Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS untuk pasaran tempatan pada hujung bulan ini.
Menariknya, ketiga-tiga model tersebut – yang akan dijenamakan semula sebagai MODENAS – dijangka akan dipasarkan dengan harga antara RM18,000 hingga RM20,000 sekaligus lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan Kawasaki sebelum ini.
Sekiranya dakwaan itu benar, maka pastinya akan menarik minat ramai pembeli yang mahu memiliki sebuah jentera 250cc dengan harga sedemikian apatah lagi rata-rata motosikal jenama lain mengalami kenaikan harga.
Ketiga-tiga model ini bernadikan enjin parallel-twin 248cc dengan penyejukan cecair yang menjana 36.2hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm yang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan ‘assist/slipper clutch’.
Info lanjut akan dikongsikan sewaktu hari pelancaran nanti.
Kawasaki bakal memperkenalkan generasi baharu Ninja 1000SX untuk pasaran global bulan ini.
Generasi terbaru Ninja 1000SX itu merupakan jawapan Kawasaki bagi menandingi GSX-S1000GT yang diperkenalkan Suzuki hujung tahun lalu.
Selama ini, motosikal ‘sports tourer’ itu sering diposisikan di antara ZX-10R dan Versys 1000 kerana menawarkan ciri jentera touring namun dengan kuasa seperti sebuah superbike.
Bagaimanapun, menurut laporan di Jepun, rekaan Ninja 1000SX akan datang itu akan lebih mengikut acuan ZX-10R baharu namun masih lagi mengekalkan tempat duduk yang selesa dan ergonomik tempat duduk yang lebih menegak sesuai untuk kegunaan jarak jauh.
Sementara itu, Ninja 1000SX itu akan dikuasakan enjin empat-silinder 1043cc yang telah ditala bagi menghasilkan kuasa lebih lancar pada rev rendah dan pertengahan.
Meskipun info sahih belum dikongsikan ketika ini namun media Jepun, Bike News mendedahkan bahawa Kawasaki akan melancarkan Ninja 1000SX itu pada 15 Julai ini.
Persoalannya, adakah Ninja 1000SX baharu itu akan turut dipertimbang pihak MODENAS untuk pelancaran di pasaran tempatan sebagai model CBU? Apa pun, nantikan pelancaran global Ninja 1000SX di Jepun pada 15 Julai ini.
Susulan peraturan baharu emisi yang akan dilaksanakan di Jepun, empat jenama besar motosikal di negara itu, Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki dilaporkan bakal memberhentikan pengeluaran beberapa model bermula hujung tahun ini.
Rombakan tersebut akan dilakukan bagi mencapai standard emisi terbaru di Jepun.
Pelaksanaan peraturan emisi di Eropah juga telah menyaksikan beberapa model jenama Jepun telah dihentikan pengeluaran dan jualan antaranya Yamaha R6 dan FJR1300.
Yamaha kini hanya meneruskan pengeluaran R6 Race, sebuah model yang hanya khas untuk kegunaan litar lumba.
Pemberhentian beberapa model itu juga akan berlaku di Jepun dengan laporan terbaru mendakwa Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki akan menghentikan 10 peratus daripada 190 model yang ditawarkan ketika ini.
Honda akan menghentikan 10 daripada 80 model sedia ada dengan khabar angin mengatakan model ikonik, Gold Wing akan turut menjadi mangsa. Baru-baru ini, Honda telah pun menghentikan pengeluaran CB400 Super Four.
Langkah sama akan turut diikuti Suzuki yang dikatakan akan menghentikan beberapa model termasuk GSX-R250.
Bagaimanapun, keempat-empat jenama ini dijangka akan memberi fokus pada jentera elektrik bagi kembali memperkembangkan tawaran model baharu untuk pasaran dunia.
Namun, dengan keempat-empat jenama ini merangkumi 40 peratus daripada bekalan motosikal dunia, penyingkiran lebih 20 model itu pastinya akan memberi impak besasr pada pasaran motosikal dunia.