Selepas kejayaan memperkenalkan QJMotor SRK600 baru-baru ini, MForce Bike Holdings terus memperkembangkan jenama QJMotor di pasaran negara menerusi SRT800.
QJMotor SRT800 merupakan motosikal segmen ‘adventure tourer’ yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula dari RM38,888 bagi varian standard dan RM42,888 bagi varian X.
Dikuasakan enjin parallel-twin 754cc DOHC, motosikal ini menawarkan 75.1hp pada 8,000rpm dan 67Nm pada 6,5000rpm dengan kuasa disalurkan ke tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.
Antara ciri ditawarkan SRT800 dan SRT800X adalah seperti berikut:
fork depan USD boleh laras
penyerap hentakan belakang jenis ‘shock linkage’ boleh laras
cakera brek 320mm depan dan 260mm belakang
kaliper brek Brembo
Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran
klac Assist & Slipper
Selain daripada itu, QJMotor SRT800 juga didatangkan dengan ciri elektronik lain antaranya paparan skrin TFT berwarna serta pengecas USB.
Sebagai sebuah motosikal ADV, kedua-dua varian menawarkan tangki 18.5L sekaligus menjanjikan tunggangan jarak jauh.
Bagaimanapun, perbezaan ketara bagi kedua-dua varian menyaksikan SRT800X didatangkan dengan rim jenis spoke 19-inci depan (rim aloi 17″ pada varian Standard), luggage (top box dan panniers) serta ketinggian tempat duduk pada 835mm (berbanding 810mm pada Standard).
Menurut MForce, SRT800X didatangkan dengan pilihan warna Navy Blue dan Cadmium Green manakala varian standard menawarkan warna Stone Grey dan Passion Red.
Orang ramai yang berminat sudah boleh membuat tempahan di pengedar sah MForce seluruh negara dengan motosikal tersebut akan mula dipasarkan pada pertengahan Julai ini.
Selepas Zhejiang Qianjiang memfailkan paten motosikal ‘adventure’ pada Oktober tahun lalu, pengeluar motosikal China itu akhirnya memaparkan rupa sebenar QJ650 di China.
Imej QJ650 tersebut didedahkan menerusi permohonan paten terbaru yang difailkan di China yang turut mendedahkan beberapa info penting mengenai model terbaru itu.
Berdasarkan laporan sebelum ini, QJMotor QJ650 disahkan akan dikuasakan enjin V-Twin 649cc. Menariknya, dokumen kali ini mendedahkan bahawa QJ650 tersebut akan menawarkan sekitar 75hp dan mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 185km/j.
Terdapat dua dokumen difailkan dan mendedahkan QJ650 akan tampil dengan dua varian, dengan varian tertinggi menampilkan ciri ADV yang lebih ketara terutamanya dengan kelengkapan rim jenis lidi (spoke) serta ‘top box’ dan ‘panniers’.
Dokumen tersebut memaklumkan bahawa varian Standard adalah seberat 219 kilogram manakala varian ADV adalah 19kg lebih berat (238kg).
Walaupun spesifikasi lebih terperinci tidak didedahkan namun setakat ini QJ650 tersebut menawarkan ciri berikut:
panjang 2340mm
lebar 950mm
tinggi 1380mm
‘wheelbase’ 1520mm
tayar 110/80-19 depan
tayar 150/70-17 belakang
QJMotor turut mendedahkan bahawa QJ650 serba baharu ini juga dilengkapi dengan ABS.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan bilakah QJMotor merancang untuk memperkenalkan model ADV serba baharu ini namun dijangkakan QJ650 ini akan dilancarkan lewat tahun ini.
Tidak dapat dinafikan pengguna dua roda paling terdedah dengan bahaya di jalan raya.
Jika melanggar orang lain pun sudah cukup untuk nyawa melayang apatah lagi jika dilanggar, risiko untuk terselamat daripada kecelakaan jalan raya amatlah tipis.
Saban minggu ada sahaja kes kemalangan maut babitkan penunggang motosikal yang diterbitkan berita tempatan dengan mangsa dilaporkan sebagai seorang ayah, ibu, suami, isteri dan anak.
Baru-baru ini, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berkongsi sedikit peringatan kepada pengguna dua roda di Malaysia.
*Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein
Tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Kapten Nik merupakan antara individu penting sewaktu tragedi MH370. Merupakan Ketua Juruterbang untuk syarikat penerbangan negara sebelum bersara, beliau juga merupakan seorang ‘rider’ tegar.
Memiliki pengalaman 50 tahun menunggang motosikal dan pernah memiliki lebih dari 200 buah jentera dua roda pelbagai ‘genre’.
Dalam perkongsian terbaru di akaun Facebook, Datuk Kapten Nik berkongsi beberapa poin penting sebagai peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia untuk menunggang dengan selamat.
Sentiasa ada jalan keluar
Kurangkan risiko kecederaan dengan memakai ‘riding gear’
Tetapi sentiasa beringat memakai ‘riding gear’ bukan menjadikan seseorang itu kebal.
Sentiasa menjaga jarak terutamanya menunggang bersama kumpulan yang kurang dikenali.
Jika tertinggal dibelakang sewaktu konvoi, TAK PERLU kejar. Kawan yang sebenar akan tunggu di depan.
Tak perlu beriya nak berada di depan, tiada trofi menanti.
Sentiasa pasang mata terhadap pemandu kereta/lori, kebanyakan pemandu adalah ‘buta’ dan ‘pekak’.
Sentiasa berjaga terhadap kenderaan yang bersaiz besar kerana terdapat banyak ‘blind spot’.
Berhati-hati di simpang atau pusingan ‘U’, walaupun anda berada di jalan yang betul.
Jangan ambil mudah Lampu Hijau, sentiasa berjaga-jaga.
Sentiasa periksa keadaan di belakang.
Perlahankan jentera sewaktu menghampiri kenderaan lain.
Jangan tunggang lebih laju daripada kemampuan untuk berhenti.
Berhati-hati di jalan raya utama dengan laluan dua hala.
Berjaga-jaga dengan kehadiran penghadang jalan raya yang hanya melindungi kereta tetapi boleh membunuh penunggang motosikal.
Lubang di jalan raya yang rata lebih bahaya dari lubang di jalan raya rosak.
Tumpahan minyak boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Kemalangan pada 50km/j sudah cukup untuk membunuh.
Tiada adab menunggang sewaktu konvoi boleh membahayakan penunggang lain.
Keletihan dan tak cukup tidur adalah ‘silent killer’.
Sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.
Penyahidratan (tak cukup air) boleh cetuskan rasa ngantuk dan kurangkan tahap kesedaran.
Selain daripada poin penting yang dikongsikan, Kapten Nik turut memberi peringatan bahawa lima tahun pertama menunggang motosikal adalah tempoh yang paling membahayakan.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan bahawa jangan hanya melabur pada helmet yang mahal tetapi juga sertai kursus menunggang motosikal bertauliah.
Perkongsian panjang oleh Kapten Nik hanyalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia yang sering berdepan bahaya bukan hanya berpunca dari orang lain malah diri sendiri.
“Selama 50 tahun menunggang motosikal, saya telah menyaksikan sendiri beberapa kawan saya kemalangan di depan mata (beberapa daripadanya maut), berada di kawasan kemalangan babitkan kawan-kawan dan mendengar kawan saya maut dalam kemalangan.
“Beberapa kali juga saya berada di rumah mayat menunggu ketibaan ahli keluarga, sesuatu yang saya harap tidak akan berlaku kepada sesiapa pun,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.
Suzuki bakal meninggalkan saingan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.
Suzuki dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sedang berbincang dengan Dorna akan kemungkinan untuk berhenti daripada saingan itu hujung musim ini.
Keputusan itu ternyata memberi impak besar kepada pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir, yang ketika ini sedang memberi saingan terhadap kejuaraan dunia selepas enam pusingan.
Selepas pengumuman rasmi dibuat, Rins dan Mir akui terkilan dengan keputusan tersebut.
“Pada Isnin selepas ujian di Jerez, Livio (Suppo) dan Sahara-san memanggil saya ke dalam ofis dan memberitahu perkara ini dan sudah tentu keputusan ini amat sukar untuk ditelan.
“Saya menangis kerana saya telah berikan segalanya kepada pasukan ini sejak 2017.
“Ahli pasukan juga telah mencurahkan segalanya sejak 2015 ketika Suzuki kembali ke MotoGP. Jadi sudah tentu keputusan ini mengejutkan untuks saya dan seluruh pasukan,” jelas Rins.
Bagaimanapun, Rins akur dengan keputusan Suzuki.
“Sama ada saya faham atau tidak dengan keputusan ini itu sudah tidak penting tetapi pastinya saya kecewa. Kami sedang mencabar kejutaan dunia dan pertama dalam kedudukan pasukan.
“Tetapi orang besar di HQ Suzuki telah membuat keputusan, kami tidak mampu mengubahnya,” tambah Rins.
Menjelang aksi GP Perancis hujung minggu ini, Rins tekad membuktikan ‘orang besar’ di Suzuki bahawa keputusan yang diambil adalah tidak tepat.
“Bagi saya pakej (GSX-RR) kali ini adalah yang terbaik kami pernah ada di Suzuki. Jadi kami akan buktikan mereka telah membuat keputusan yang salah,” tegasnya.
Benelli telah menaik taraf Leoncino 800 dan 800 Trail bagi tahun 2022 dengan kemas kini terbesar dilaksanakan di bahagian enjin.
Bagi tahun 2022, Leoncino 800 dan 800 Trail kini menawarkan enjin berstatus Euro 5 setaraf dengan pelarasan emisi di Eropah.
Walaupun Leoncino 800 dan 800 Trail dilengkapi enjin dan kerangka yang sama namun kedua-duanya menawarkan ciri yang berbeza dengan Leoncino 800 menampilkan rekaan motosikal naked sementara 800 Trail bercirikan jentera scrambler.
Kedua-dua model ini dilengkapi enjin parallel-twin 754cc DOHC 4-valve yang sama dan menawarkan 75hp pada 8,500rpm dan 67Nm pada 6,500rpm dengan kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 6-kelajuan.
Selain daripada enjin Euro 5, Benelli turut menaik taraf bahagian chasis dan kerangka trellis yang sekaligus membantu meningkatkan tahap kelincahan dan lebih berkeupayaan menangani permukaan ‘off-road’.
Bahagian suspensi juga dipertingkat kepada fork USD 50mm di depan dengan ‘monoshock’ belakang boleh laras (preload/rebound).
Bagaimanapun, sistem membrek kekal dengan kedua-duanya didatangkan dengan cakera brek 320mm di depan yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo 4-pot. Sementara itu, Leoncino 800 dipadankan dengan tayar 17-inci depan dan belakang manakal Leoncino 800 Trail dilengkapi tayar 19-inci depdan dan 17-inci belakang.
Antara ciri lain ditawarkan:
lampu LED penuh
tangki 15 liter
paparan skrin TFT
ekzos ‘double-barrel’
Buat masa ini Leoncino 800 dan Leoncino 800 Trail masih belum ditawarkan di Malaysia oleh pengedar rasmi MForce Bike Holdings.
Royal Alloy memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model GP125 dan GP180 untuk pasaran Malaysia.
Menurut info dikongsikan, GP125 kini didatangkan dengan pilihan warna Matte Black sementara GP180 mendapat warna Metal Blue.
Bagaimanapun, kemas kini bagi tahun 2022 itu tidak membabitkan spesifikasi lain yang masih kekal seperti generasi sebelumnya yang dilancarkan tahun lalu.
GP180
GP125
Pada masa sama, GP125 kekal ditawarkan pada harga RM12,497 dan RM15,252 bagi GP180.
Royal Alloy GP125 menawarkan 9.65hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 7,000rpm sementara GP180 menghasilkan 10hp pada 7,250rpm dan 10.6Nm pada 5,250rpm.
Walaupun ciri kedua-dua model ini adalah sama namun GP180 menawarkan fungsi ABS.
Suzuki akhirnya mengesahkan khabar angin mahu meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.
Suzuki Motor Corporation dalam satu kenyataan mendedahkan sedang mengadakan perbincangan dengan Dorna akan kemungkinan meninggalkan MotoGP sebaik musim ini berakhir.
Sekiranya Dorna bersetuju, maka Suzuki Ecstar akan tinggalkan MotoGP sekali lagi seperti yang berlaku pada musim 2012 hingga 2014.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan hari ini, Suzuki pastinya akan meninggalkan MotoGP buat selama-lamanya kerana mahu memberi fokus terhadap pembangunan teknologi baharu.
Ini sekaligus pelumba sedia ada, juara dunia musim 2020 Joan Mir dan rakan sepasukan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.
Ketika ini hangat diperkatakan bahawa Mir akan berhijrah ke Repsol Honda menggantikan Pol Espargaro dengan kontraknya bersama pasukan Jepun itu tamat tidak akan disambung.
Media Itali, La Gazetta Dello Sport mendakwa Mir telah pun menandatangani kontrak dua tahun bersama Repsol Honda dan bakal digandingkan bersama Marc Marquez musim depan.
Bagaimanapun, Repsol Honda menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai barisan pelumba bagi musim 2023 setakat ini.
Walaupun, pihak Honda menafikan perkara itu namun pengeluar motosikal Jepun itu sebelum ini mengakui telah mendekati Mir selepas usaha mendapatkan Fabio Quartararo gagal.
Sekiranya benar, ketibaan Mir di Repsol Honda bermakna Espargaro perlu mencari pasukan baharu musim depan.
Sementara itu, Rins pula dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing kendalian Razlan Razali. yang didakwa bakal bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia bagi musim 2023 setelah kerjasama dengan Yamaha akan berakhir musim ini.
Walaupun tiada pengesahan setakat ini namun apa yang pasti ketersediaan Mir dan Rins menjelang musim 2023 akan mencetuskan pelbagai rombakan pelumba di grid.
Selepas berminggu spekulasi dan pelbagai dakwaan timbul, akhirnya pihak Suzuki Motor Corporation buka mulut mengenai status semasa di MotoGP.
Dalam kenyataan terbaru dikeluarkan hari ini, Suzuki mendedahkan pihaknya dalam perbincangan bersama Dorna untuk menamatkan penyertaan di MotoGP pada penghujung musim 2022.
Menurut Suzuki, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi di dan perubahan besar dalam sektor Automotif sekaligus memaksa syarikat mengalihkan kos dan tenaga kerja dalam membangunkan teknologi baharu.
Dalam kenyataan tersebut, pihak Suzuki juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap pasukan Suzuki Ecstar yang selama ini menyokong aktiviti perlumbaan Suzuki di pentas dunia.
Dalam perkembangan sama, pengumuman Suzuki ini juga menyaksikan pelumba sedia ada Joan Mir dan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.
Lima mangsa telah dikenal pasti rentung dalam satu kemalangan maut babitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kemalangan tragik itu membabitkan sebuah kereta bersama dua lori treler yang masing-masing membawa muatan besi dan mozek.
Nahas tersebut membabitkan keseluruhan lapan mangsa dengan lima penumpang kereta tersebut telah disahkan maut ditempat kejadian dalam keadaan rentung terbakar lebih 90 peratus.
Jelas JBPM Perak, treler bermuatan besi tersebut juga terbakar 90 peratus.
“Terdapat lima mangsa di dalam kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital. Kerja mengeluarkan mangsa masih dijalankan.
“Pemandu dua treler serta kelindan yang terbabit dalam nahas ini selamat, dengan treler bermuatan mozek hanya mengalami kemalangan kecil akibat pelanggaran dari arah belakang,” jelasnya. – HM
Seorang pelajar Tingkatan Satu maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam satu kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang, tengah malam tadi.
Mangsa baru berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan ke Kepala Batas dari arah Penaga dan cuba memintas kereta yang berada di depan lalu memasuki lorong bertentangan.
Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi motosikal datang dari arah bertentangan yang ditunggang pelajar berusia 14 tahun.
Kegagalan memintas kereta tersebut telah menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung lalu pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi alami cedera parah di kaki dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, kedua-dua motosikal tersebut adalah milik bapa masing-masing. – BH
Castrol Malaysia dan Continental Tyre Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka inisiatif bersama di seluruh negara.
Castrol Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan kerjasama kali ini adalah mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam negara dengan memanfaatkan jaringan pengedar dan kepakaran untuk ditawarkan kepada pengguna.
“Kerjasama ini adalah bukti bahawa kedua-dua jenama komited dalam aspek keselamatan dan kepuasan pengguna dan bersama-sama kami dapat membina jenama kami di Malaysia.
“Menerusi gabungan kepakaran sedia ada kami akan terus berinovasi dalam meneraju pasaran global dalam aspek perkhidmatan dan penyelenggaraan,” jelas Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura, Gan Wee Kiong.
Sementara itu, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andera Somorova berkata permintaan kukuh terhadap kedua-dua jenama ini membuka peluang untuk kami terokai bersama.
“Ini adalah peluang yang baik untuk bersama-sama menawarkan perkhidmatan yang lebih baik terhadap pelanggang. Kami percaya servis dan perkhidmatan yang telah ditawarkan sekian lama membuatkan kami akan terus diberi kepercayaan sebagai jenama pilihan dalam penyelenggaraan kenderaan,” jelasnya.
Sudah tiga tahun sejak Harley-Davidson memperkenalkan motosikal elektrik sulung menerusi LiveWire.
Nama LiveWire itu kemudiannya bertukar kepada sebuah jenama motosikal elektrik dibawah Harley-Davidson dengan motosikal LiveWire tersebut dinamakan semula sebagai LiveWire One.
Tidak lama kemudian, timbul khabar angin bahawa LiveWire akan kembangkan portfolio syarikat dengan model baharu diinspirasikan daripada motosikal ‘flat-track’.
Khabar angin itu akhirnya bertukar realiti apabila LiveWire mendedahkan Del Mar, motosikal elektrik yang lebih ringan dan sesuai untuk tunggangan ‘off-road’.
Sebagai penghargaan kepada pelancaran platform baharu itu, LiveWire memperkenalkan Del Mar edisi terhad yang didatangkan dengan warna dan rim khas di samping menamakan model baharu itu sebagai Del Mar Launch Edition.
Terhad kepada 100 unit, Del Mar Launch Edition ini didatangkan dengan dua warna pilihan, Comet Indigo dan Jasper Gray dengan nombor siri turut dicat di bahagian sisi tangki.
Menariknya, 18 minit selepas pelancaran, kesemua 100 unit telah pun terjual.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, LiveWire Del Mar dibangunkan daripada platform S2 Arrow yang merangkumi bateeri, motor, pengecas dan sistem kawalan.
Platform tersebut juga dijangka akan mewujudkan lebih banyak model elektrik pada masa akan datang.
Menurut info, LiveWire Del Mar ini menawarkan 80hp dan berat sekitar 199kg di samping mampu mencapai jarak lebih 160km/j bagi setiap cas penuh. – CycleWorld