Pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa mahupun hak untuk meminta, memegang atau mengimbas kad pengenalan (MyKad) orang awam, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kami rasa kita semua pernah terjumpa pengawal keselamatan sesebuah kondominium atau kawasan perumahan yang meminta kad pengenalan atau lesen memandu kita. Tetapi ia merupakan suatu kesalahan di bawah rang undang-undang Malaysia.
Isu ini telah pernah ditimbulkan beberapa kali di masa lepas namun ia menjelma semula.
JPN dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan hanya lima kategori pegawai dibenarkan berbuat demikian di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, iaitu pegawai JPN, pegawai polis, pegawai kastam, anggota tentera yang sedang bertugas, serta pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
Di bawah peraturan 8A, jika kakitangan yang tidak berkuasa memegang IC anda, dia melakukan satu kesalahan. Sesiapa yang sabit kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan/atau denda sehingga RM 20,000.
“Sebarang tindakan oleh pengawal keselamatan untuk meminta atau menyimpan kad pengenalan melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” menurut kenyataan itu.
JPN turut menegaskan bahawa penggunaan alat elektronik untuk mengimbas data MyKad juga tidak dibenarkan kerana ia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Sebarang pemprosesan data peribadi oleh pihak swasta tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, yang menetapkan garis panduan dan kewajipan untuk melindungi maklumat peribadi individu,” menurut JPN.
Bernama menghubungi JPN bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu terbabit, susulan satu hantaran yang tular melalui media sosial baru-baru ini berkenaan tindakan seorang pengawal keselamatan di sebuah premis yang didakwa menggunakan peranti elektronik untuk mengimbas MyKad.
Tindakan pegawal keselamatan itu mencetuskan persoalan orang awam mengenai kesahannya dari aspek undang-undang.
Sebagai langkah keselamatan, JPN menasihati orang ramai supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu yang tidak diberi kuasa, serta segera melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa yang berkenaan.