Pemandu Nissan Navara yang merempuh sebuah motosikal telah dijatuhkan hukuman penjara 30 hari dan disaman RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Dia telah didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 11 Mei lalu. Tertuduh telah direman dua hari bermula daripada tarikh tersebut.
Pemandu itu telah didapati memandu secara melulu sehingga mendatangkan kecederaan kepada pihak lain. Melalui video yang telah tular di media sosial, kereta Navara yang dipandunya telah melanggar kotak simpanan barang sisi sebelah kanan motosikal itu. Impak tersebut menyebabkan motosikal terjatuh, serta penunggung dan pemboncengnya terjatuh dengan kuat di atas jalan. Hasilnya, penunggang motosikal yang berusia 53 tahun itu retak tulang selangka dan luka buku lali. Isteri beliau pula cedera serius dengan patah buku lali dan tulang rusuk kana, serta pendarahan otak.
Pemandu itu pada mulanya membuat laporan bahawa motosikal itu telah memasukki laluannya dengan tiba-tiba dan dia tidak dapat mengelak. Namun, rakan video daripada dashcam sebuah motosikal lain menunjukkan motosikal mangsa ditunggang dengan berhemah di laluan paling kiri lebuh raya. Pemandu itu tidak memberhentikan kenderaannya namun terus melarikan diri daripada tempat kejadian.
Terdapat juga rakaman video yang menunjukkan bahawa pemandu tersebut berlumba-lumba dengan tiga buah lagi kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asistent Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, “Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal namum gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.”
Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.