Pelumba negara, Saidatul Zakirah Zairin telah mengharumkan nama Malaysia di dalam perlumbaan Kejohanan Qatar Superstock 600 (QSTK), kategori Qatar Supersport 300 (QSSP). Beliau telah berjaya menaikki podium setelah menamatkan perlumbaan di tempat kedua di dalam Perlumbaan 2.
Saidatul Zakirah afau lebih dikenali dengan panggilan Kirah telah mendapat tempat keempat di dalam Perlumbaan 1, sebelum melonjakkan diri ke tempat kedua di dalam Perlumbaan 2. Prestasi cemerlang Kirah telah membuka mata beberapa pihak, apatah lagi kerana dia menyertai perlumbaan tersebut sebagai seorang pelumba ‘wildcard’ (bukan sepenuh masa). Beliau juga merupakan pelumba wanita yang pertama yang menaikki podium di dalam kejohanan itu.
Kejohanan berprestij ini berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar dan telah mendapat sambutan daripada pelumba profesional dari seluruh dunia.
Pada masa yang sama, seorang lagi pelumba Malaysia, Johann Zharfan turut menaikki podium di dalam kategori yang sama, setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam Perlumbaan 1. Namun nasib tidak menyebelahi beliau kerana suatu isu teknikal memaksanya untuk menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keenam.