Teknologi klac pintar Honda E-Clutch akan diperluas kepada model-model lain dalam barisan pengeluar. Selain CBR650R, CB650R, dan Rebel 250 yang sedia ada, model seterusnya ialah Honda CL250.
Memang benar, model CL250 itu belum dijual di Malaysia (setakat ini), tetapi menarik yang ia ditawarkan pada lebih banyak model, dan siapa tahu, mungkin untuk keseluruhan barisan, tidak termasuk yang menggunakan transmisi DCT. Jadi, bagaimana dengan membawanya ke CBR250RR?
Rebel 500 memang ada di Malaysia, tetapi mana tahu, mungkin ia juga akan dilengkapi dengan teknologi E-Clutch (jangan petik kami, ya). Motosikal ini berkongsi enjin selari kembar 471cc yang sama dengan CL500, NX500, CBR500R, dan CB500 Hornet.
E-Clutch membolehkan penunggang memasukkan gear daripada Neutral tanpa menggunakan tuas klac. Sistem ini akan aktif selagi kita tidak menggunakan tuas klac semasa menunggang. Dengan mengikuti prosedur ini, kita boleh berhenti dalam gear tanpa perlu menarik tuas klac. Sistem ini juga membolehkan penunggang menyesuaikan kelajuan sambungan klac dan gear, untuk gear naik dan turun secara berasingan, iaitu dalam mod SOFT, MEDIUM, atau HARD.
Selain itu, tidak seperti DCT (Dual Clutch Transmission) yang membenarkan pertukaran gear automatik sepenuhnya, E-Clutch masih mengekalkan tuas gear dan klac, dan penunggang masih perlu menukar gear secara manual menggunakan tuas gear.
Perlu diingat bahawa sistem E-Clutch ini berbeza sama sekali dengan klac emparan yang terdapat pada motosikal berkuasa kecil, yang membenarkan pertukaran gear tanpa klac. E-Clutch masih mengekalkan klac berplat standard tetapi menggunakan penggerak elektro-mekanikal.
Teknologi E-Clutch Honda juga telah mencetuskan perkembangan dan pelaksanaan kotak gear klac automatik dalam industri, dengan beberapa pengeluar membangunkan sistem mereka sendiri, seperti Yamaha Y-AMT, BMW Automated Shift Assistant, dan KTM AMT. Malah, Ducati juga telah memfailkan paten untuk kotak gear automatik mereka.