Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan pemberian diskaun tol 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini (2025).
“Tahun lalu, memang Kabinet telah memutuskan untuk selaraskan pemberian subsidi supaya lebih tersasar kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Jadi, keputusan itu memang tetap dan tak ada lagi pada tahun ini (tol percuma). Seperti sedia maklum, minggu lepas Tahun Baru Cina bukan diberi tol percuma tetapi diskaun 50 peratus.
“Disebabkan itu, Aidilditri dan perayaan lain tahun ini kita akan buat diskaun 50 peratus,” katanya.
Keputusan itu, katanya ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet pada 24 Januari lalu membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Dalam perkembangan sama, Nanta Linggi memaklumkan Kabinet boleh memutuskan dan bertukar pandangan mengikut keperluan.
“Semua tol dibiayai oleh kerajaan dan bukan dibiayai syarikat konsesi. Saya berharap rakyat tahu akan perkara ini (duit rakyat dibelanjakan).
“Kalau tol percuma, kita menggunakan lebih RM 100 juta setahun. Jika diskaun 50 peratus, kira-kira RM 80 juta kerajaan akan bayar kepada syarikat konsesi dan penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.