“Perang skuter di Malaysia belum berakhir,” demikian kata Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. semasa pelancaran rasmi ARIIC 318 GT, malam tadi.
Apa yang dikatakannya benar, justeru semakin banyak skuter kini memasuki pasaran kita yang memberikan pelbagai pilihan kepada pembeli. Dan itu adalah sesuatu yang baik.
Seperti namanya, ARIIC 318 GT adalah skuter ‘grand touring‘ (kembara mewah) kelas pertengahan yang menawarkan pemiliknya keselesaan semasa mengembara, serta kemudahan ketika menunggang di bandar.
Ciri-ciri utama:
- Enjin 330cc, satu silinder, penyejukan cecair, SOHC, 4 injap yang menghasilkan 28 HP pada 7,000 RPM dan tork 30.8 Nm pada 5,500 RPM.
- Tork maksimum lebih tinggi daripada kuasa maksimum, ciri yang baik untuk enjin motosikal jelajah dan bandar.
- Brek depan dengan cakera berkembar 260mm dengan kaliper empat piston dipasang secara radial, dan brek cakera belakang 240mm, disokong oleh ABS Bosch dwi-saluran.
- Saiz tayar depan ialah 120/70-14, manakala tayar belakang berukuran 150/70-13.
- Bahagian depan menggunakan fork teleskopik, manakala belakang disokong oleh sepasang penyerap hentakan yang boleh dilaras untuk pra-beban.
- Meter TFT bersaiz besar dilengkapi sistem pemantau tekanan tayar (TPMS).
- Kamera hadapan terbina dalam.
- Skrin angin elektrik boleh laras.
- Ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang memuatkan untuk dua topi keledar muka penuh.
- Pencahayaan LED.
- Suis handel bercahaya belakang.
- Penghidupan tanpa kunci (‘keyless ignition‘).
- Tangki minyak 16 liter, yang secara teori mampu memberikan jarak perjalanan kira-kira 500 km, berdasarkan penggunaan bahan api terbaik yang dinyatakan iaitu 3 liter/100 km.
Walaubagaimanapun, skuter ini tidak dilengkapi kawalan cengkaman (‘traction control‘) atau mod tunggangan (‘ride mode‘), tetapi ia tetap menawarkan banyak ciri hebat pada harga jualan RM22,888.00.
ARIIC 318 GT dilindungi waranti selama dua tahun tanpa had jarak. Ia akan mula dijual di pengedar rasmi MForce Bike tidak lama lagi.