Dua remaja lelaki ditahan polis selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, satu laporan polis dibuat 5.13 petang semalam berkaitan satu video tular di media sosial membabitkan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.55 petang 4 Disember lalu, yang mana remaja terbabit dari arah Persiaran Putra Perdana ke arah Kampung Tengah dilihat menunggang secara berbahaya.
Katanya, mereka tidak berhenti di persimpangan lampu isyarat dan hampir merempuh sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu isyarat berwarna hijau .
“Tindakan yang dilakukan dua remaja itu boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lalu lintas yang lain.
“Bertindak atas maklumat trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya mengesan dan menahan dua remaja berkenaan yang masih di bawah umur di Bukit Lancong dan dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Harian Metro