Bikesrepublic

Usaha Mencari Rezeki, Kayuh Lebih 30km Tiap Hari

Sebagai rutin tiap hari bekerja, seorang juruteknik kilang elektronik, Mohd Hairi Nizam Mohd Hussain, 39, mengayuh basikal di laluan berasingan pesisir pantai sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang menghubungkan kawasan tempat tinggalnya di Batu Maung terus ke tempat kerjanya di FIZ Fasa 3.

“Saya mula berbasikal ke tempat kerja sejak 2020, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mahu mengamalkan gaya hidup aktif.

“Awalnya rutin itu hanya tiga hingga empat kali seminggu. Tapi, masuk tahun kedua hampir setiap hari saya mengayuh basikal termasuk pada Ramadan hingga sekarang.

“Saya keluar rumah jam 7.15 pagi dan ambil masa 35 minit sampai ke tempat kerja sejauh lebih 10 kilometer (km) Saya berkayuh santai untuk mengelakkan badan berpeluh,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, laluan berbasikal di Pulau Pinang mudah diakses kerana mempunyai jaringan luas terutama di bahagian pulau.

“Jika berkereta, tempoh perjalanan mengambil masa 30 hingga 45 minit bergantung keadaan trafik. Dengan berbasikal jimat wang.

“Cabaran utama adalah cuaca tidak menentu seperti hujan lebat secara tiba-tiba dan tayar pancit, namun tidak mematahkan semangat saya meneruskan amalan berbasikal ke tempat kerja,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Lebih ceria apabila berbasikal

Anggota bomba, Noor Amin Nayan, 40, pula bermula mengayuh basikalnya dari rumahnya di Padang Serai, Kedah ke Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth sebanyak satu atau dua kali seminggu sejak Oktober tahun lalu.

Perjalanannya yang sejauh kira-kira 30km sehala mengambil masa sejam setengah.

“Saya hanya menunggang basikal ke tempat kerja ketika bertugas syif malam untuk memudahkan merancang perjalanan lebih awal. Biasanya saya membawa peralatan seperti tiub basikal, pam angin dan sebagainya sebagai persediaan kecemasan.

“Saya dan isteri meminati aktiviti berbasikal dan kami masing-masing ada basikal lipat sendiri. Namun, waktu bekerja mencecah 12 jam sehari membuatkan saya mempunyai kekangan masa untuk melakukan hobi itu,” katanya.

Dia berkata laluan basikal di Seberang Perai tidak sebanyak di kawasan pulau dan berharap ia dapat ditambah baik supaya masyarakat setempat lebih digalakkan menjadikan basikal sebagai pengangkutan seharian.

“Sebenarnya, jalan yang saya gunakan iaitu merentasi jalan utama seperti di Tasek Gelugor dan Sungai Dua sebelum tiba di Butterworth adalah laluan berkongsi dengan kenderaan lain.

“Kali pertama berbasikal ke tempat kerja saya pernah hampir berputus asa sewaktu di pertengahan jalan. Rasa letih dan menyesal hilang apabila menghampiri pintu pagar balai.

“Saya dapati aktiviti berbasikal ke tempat kerja sedikit sebanyak mengubah ‘mood’ saya menjadi lebih ceria dan bersemangat sebelum memulakan tugas,” katanya.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan