Bikesrepublic

Harley-Davidson Malaysia Akan Diurus Oleh Sebuah Syarikat Baru Yang Mengujakan!


Artikel oleh Keshy Dhillon

Jadi, ianya telah disahkan, Naza telah kehilangan hak pengedaran Harley-Davidson bagi pasaran Malaysia. Naza, di bawah anak syarikat, Naza Prestige Bikes Sdn. Bhd., telah menjadi pengedar eksklusif motosikal Harley-Davidson di Malaysia melebihi satu dekad, tetapi, berita ini bukannya satu berita yang mengejutkan bagi orang dalaman industri berkenaan.

Secara peribadinya saya telah pun mendengar berita ini sejak dua bulan yang lalu, namun digesa untuk tidak mengatakan apa-apa mengenainya, sebelum keluarnya kenyataan rasmi. Walaupun permintaan itu bercanggah dengan segala naluri kewartawanan dalam diri saya yang inginkan “berita eksklusif”, persahabatan membawa lebih makna buat saya berbanding cerita itu, jadi saya akur akan permintaan berkenaan.

Ianya tidak mengejutkan yang Naza kehilangan hak berkenaan, lebih-lebih lagi apabila syarikat berkenaan menjual motosikal “grey import” Harley-Davidson bersebelahan dengan motosikal Harley-Davidson yang serba baru, ianya satu tindakan yang tidak masuk dek akal. Mengapa anda perlu membayar jumlah melebihi RM100,000 untuk sebuah motosikal Harley-Davidson yang serba baru, apabila anda boleh membelanjakan sekitar RM60,000 untuk sebuah motosikal telah digunakan namun masih lagi baru yang diimport? Dan Naza juga turut mempunyai kepakaran teknikal dan pengetahuan selepas jualan bagi membantu anda setelah anda membeli motosikal berkenaan.

Ianya tindakan perniagaan yang tepat buat Naza, tetapi tidak untuk Harley-Davidson.

Persoalan utama yang bermain di minda semua orang sekarang adalah, apakah tindakan seterusnya yang akan diambil jenama Harley-Davidson untuk pasaran Malaysia? Siapakah yang akan menggalas tugas yang amat berat menguruskan jenama yang sangat elit ini di Malaysia? Hanya mereka yang mempunyai pengalaman meluas dalam jualan dan mengendalikan jenama pasaran luas, dan yang memahami perkhidmatan selepas jualan serta mempunyai kapasiti untuk menguruskannya yang mampu dan patut menyahut cabaran ini.

Telah terdapat satu jawapan yang jelas untuk persoalan itu, dan rakan kami di dsf.my telah pun memberikan bayangannya (anda boleh baca laporan mereka DI SINI), dan mereka adalah The Gasket Alley.

The Gasket Alley adalah sebuah bilik pameran yang baru di Petaling Jaya yang terletak berhampiran dengan Jaya 33 dan menjadi ibu pejabat buat beberapa buah jenama yang unik seperti Moto Guzzi dan juga pembina motosikal buatan khas Jepun, Zero Engineering. Mereka mempunyai lokasi yang sesuai untuk merumahkan Harley-Davidson, dan orang-orang kuatnya amat bijak dalam menguruskan jenama-jenama besar seperti Harley-Davidson.

The Gasket Alley ditubuhkan oleh beberapa orang usahawan yang amat berjaya. Saya tidak akan menerangkan dengan terperinci siapakah mereka ini tetapi salah seorang daripada mereka datang dari kumpulan automotif terkenal negara dengan pengalaman yang luas dalam menguruskan jenama automotif, termasuklah jenama pasaran besar, dan juga jenama mewah. Dan seorang lagi merupakan usahawan bumiputra yang berjaya dengan minat dalam pembangunan hartanah di dalam dan luar negara.

Pengalaman terkumpul syarikat berkenaan cukup sesuai bagi sebuah jenama seperti Harley-Davidson kerana ia sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan jenama yang unik serta mewah, dan mempunyai kapasiti bagi mengendalikan perkhidmatan selepas jualan. Malahan, syarikat ini dikenali untuk perkhidmatan selepas jualannya yang hebat, dan jika mereka mampu menguruskan jenama mewah yang menuntut perkhidmatan selepas jualan yang sempurna daripada ke semua pengedarnya, sudah pasti mereka mampu melakukan tugas yang baik dalam menguruskan jenama seperti Harley-Davidson.

Selain itu, The Gasket Alley juga turut mempunyai beberapa orang utama yang sebelum ini bertugas di Naza dan cukup arif tentang pengurusan jenama seperti Harley-Davidson. Mereka ini merupakan kunci kejayaan buat jenama di bawah pengurusan Naza seperti Harley-Davidson dan juga Ducati, tetapi telah dilepaskan atas sebab yang tidak diketahui, atau pun mereka dengan sendirinya telah berhenti.

Tiada lagi sebarang kenyataan rasmi mengesahkan sama ada The Gasket Alley akan bertindak sebagai salah sebuah pengimport dan pengedar baru bagi jenama Harley-Davidson di Malaysia, tetapi anda boleh menganggapnya sebagai hanya menunggu masa sahaja. Lebih-lebih lagi apabila orang utama yang bertanggungjawab atas perkhidmatan selepas jualannya baru-baru ini dilihat telah menghadiri Harley-Davidson University yang berprestij di Bangkok. Jadi, dengan ini kita boleh membuat rumusan yang pengedar terbaru bagi jenama Harley-Davidson di Malaysia adalah – The Gasket Alley!

Jadi, para pemilik Harley di Malaysia, anda tidak perlu risau, mereka akan menjaga anda sebaiknya.

Gambar ihsan laman Facebook The Gasket Alley

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan