Bikesrepublic

Kawasaki Z900RS 2018 Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia! Dari RM67,900!

  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah memperkenalkan motosikal terkini mereka, Kawasaki Z900RS 2018.
  • Tawaran moden klasik terbaru ini dijana oleh enjin empat selari 948cc yang sama seperti motosikal Kawasaki Z900 ABS 2017.
  • KMSB telah menetapkan harga bagi motosikal Kawasaki Z900RS ini pada harga RMM69,900 bagi skema warna Special Edition Orange dan RM67,900  bagi edisi standard berwarna hijau dan hitam  (harga asas beserta GST).

Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) dengan secara rasminya telah melancarkan motosikal pertama mereka untuk tahun ini, iaitu Kawasaki Z900RS 2018. Ianya merupakan motosikal moden klasik Kawasaki yang pertama sejak motosikal Kawasaki W800 yang telah dihentikan pengeluarannya pada tahun 2016 dan ia tampak amat menawan, cukup untuk menarik minat penggemar motosikal retro mahu pun masa kini.

Kawasaki Z900RS 2018 ini telah dilancarkan bersempena “Premium Dealers’ Annual Gala Dinner 2018: New Launch and Chinese New Year Gathering” Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. Acara dan motosikal Z900RS ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YBhg. Dato’ Seri Hamzah Bin Zainuddin, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK); Encik Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.; Dato’ Jeffrey Lim, Pengarah dan Pengurus Besar Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.; Encik Naoki Kawaguchi, Pengurus Motorcycle & Engine Company, Kawasaki Heavy Industries Ltd.

Mengambil ilham dari motosikal Kawasaki Z1, atau lebih dikenali ramai dengan gelaran “Zephyr”, yang telah dikeluarkan pada tahun 1973, motosikal Kawasaki Z900RS 2018 ini menandakan “The Return of the Legend” ke abad yang ke-21. Kemunculan semula yang dinantikan ramai ini terhasil dari gabungan penggayaan ‘old-school’ dengan teknologi penunggangan terkini dari Kawasaki.

Berasaskan enjin Kawasaki Z900 ABS 2017 yang berkuasa serta lincah, motosikal Z900RS ini membawa tahap kuasa dan kebolehtunggangan yang sama, namun, pada masa yang sama, lebih istimewa dengan penggayaan retro dan rupa parasnya yang malar segar. Evolusi terkini Z900 ini dijana oleh enjin empat silinder 948cc yang sama seperti Kawasaki Z900 ABS, yang mana menghasilkan tahap kuasa jangkauan rendah-ke-sederhana yang hebat, selain kelajuan tahap tertinggi yang mengagumkan.

Selain itu, enjin Z900RS ini telah ditala semula bagi menghasilkan 110bhp (82 kW) pada 8500rpm berbanding 123bhp (92kW) pada 9500rpm. Tork maksima 98Nm dicapai pada tahap 6500rpm, berbanding 98.6Nm pada 7700rpm di atas motosikal Z900 ABS. Kemuncak kuasa kuda bukan penentu segalanya, ianya lebih kepada bagaimana daya kilas (tork) enjin tersebut disebarkan di seluruh jangkauan enjin – perbezaan sebanyak 2000rpm di antara tork maksima dan kuasa kuda menggambarkan ciri tersebut.

Kawasaki telah mengambil langkah yang hebat bagi memastikan setiap aspek pada motosikal Z900 ini mengikut tema moden retro, termasuklah dari segi bunyi yang dihasilkan. Dari waktu ia dihidupkan, deruman yang berkuasa dan pada masa yang sama, lancar, dapat didengar dari sistem paip ekzos “four-into-one”, “double wall”, direka khusus bagi model ini.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, keseluruhan penggayaannya diinspirasikan dari motosikal Z1, bermula dari bahagian hadapannya, hinggalah ke bahagian belakangnya. Rekabentuknya, bagaimana pun, telah dikemaskini dengan segala spesifikasi tercanggih seperti paparan LCD pelbagai fungsi, terletak kemas di antara dial dwi-analognya, di samping kelengkapan-kelengkapan terkini yang lain.

Gabungan moden dan klasik boleh juga dilihat pada lampu LED keseluruhannya, yang mana telah membantu meningkatkan lagi tarikan retro motosikal ini. Jentera ‘jalanan sejati’ ini dilengkapi dengan fork hadapan terbalik 41mm boleh laras sepenuhnya yang membolehkan penunggang untuk menala pramuatan, mampatan dan lantunan untuk pengalaman menunggang yang optimum.

Digandingkan dengan sistem penyerap hentakan belakang lengan ayun pautan belakang melintang (horizontal back-link swingarm), motosikal Z900RS 2018 ini dikatakan mempunyai pengendalian serta kebolehtunggangan yang mengagumkan, menandingi pengeluar utama lain dalam pasaran ini. Ke semua kelengkapan ini dirumahkan di dalam kerangka trellis moden yang ringan yang membolehkannya membekalkan fleksibiliti, tindak balas yang tangkas dan kelincahan semulajadi.

Pakej pembrekannya didatangkan dalam bentuk cakera brek hadapan berganda dengan angkup pautan jejari bersama dengan pam silinder utama jejari beserta dengan satu cakera brek belakang yang membekalkan kuasa yang mencukupi bagi menghentikan motosikal Z900RS dengan selamat apabila perlu. Ia juga telah dilengkapi dengan sistem ABS dwi-saluran terkini bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan motosikal terbaru dari Kawasaki ini. Z900RS ini juga telah dilengkapi dengan pakej kawalan cengkaman Kawasaki, K-TRAC sebagai ciri keselamatan.

Kawasaki Motors Malaysia telah menetapkan harga motosikal Kawasaki Z900RS 2018 ini pada harga RM69,900 bagi skema warna Special Edition Orange dan RM67,900  edisi standard berwarna hijau dan hitam (harga asas beserta GST).

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layarilah laman Facebook rasmi Kawasaki Motors Malaysia, atau mana-mana pengedar sah di seluruh negara.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube