Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Dua lelaki telah serah diri di Balai Trafik Port Dickson setelah dirakam dalam aksi lagak marshal di jalan awam Port Dickson.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed yang turut memaklumkan kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu telah tiba pada Isnin bagi memberi keterangan.

“Kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular di media sosial.

“Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu,” jelasnya.

Difahamkan, dua jentera jenis Kawasaki GTR 1400 turut dirampas termasuk beberapa barangan yang digunakan dalam rakaman video tersebut.

Video berdurasi tiga minit telah tular di laman sosial baru-baru ini yang memaparkan beberapa marshal telah bertindak mengarahkan kenderaan awam untuk memperlahankan kenderaan dan ketepi bagi memberi laluan kepada konvoi motosikal berkuasa tinggi. – HM

Brabus sememangnya nama besar dalam dunia kenderaan empat roda terutamanya dalam menghasilkan kereta Mercedes berprestasi tinggi.

Bagaimanapun, selepas 45 tahun, syarikat Jerman itu julung kalinya bakal membangunkan jentera dua roda yang dinamakan Brabus 1300 R.

Perkara itu disahkan menerusi dokumen yang telah difailkan di Eropah yang memaparkan nama KTM Brabus 1300 R sekaligus merujuk kepada sebuah motosikal.

Nama model tersebut turut mendedahkan model itu dibangunkan dengan kerjasama pengeluar motosikal Austria, KTM.

Kertas kerja itu juga memaklumkan bahawa jentera yang akan mendapat talaan istimewa dari Brabus adalah sebuah KTM 1290 Super Duke R.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah dokumen tersebut menjelaskan Brabus 1300 R itu menawarkan 177hp dan 139Nm sama seperti 1290 Duke R. Ini bermakna, Brabus hanya akan menyentuh aspek rekaan di samping menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding meningkatkan prestasi enjin.

Bagaimanapun, dimensi jentera tersebut jauh lebih langsing berbanding versi KTM.

Apa pun nantikan pendedahan rasmi oleh Brabus yang dijangkakan akan berlaku tidak lama lagi dan bakal ditawarkan sebagai model 2022.

Meskipun 11 tahun tidak beraksi dengan jentera kapcai namun bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mudah mempamerkan dominasi apabila menjuarai Braaap Track Attack 2021 kategori MP150 Elite.

Berlangsung di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad, Hafizh yang beraksi bagi pasukan J Performance langsung tidak kekok meskipun beraksi dengan jentera jauh lebih kecil berbanding yang ditunggangnya beberapa tahun di MotoGP.

Meskipun berdepan nama besar dari pentas Cub Prix, Hafizh mendahului keseluruhan 15 lap di litar sepanjang 1.2km itu.

Walaupun pada mulanya mendapat saingan sengit dari rakan sepasukan, Izzat Zaidi yang bermula di petak pertama namun Hafizh tenang untuk terus merekodkan kemenangan kedua di Braaap Track Attack kategori MP150 selepas turut menjuarai Supermotard 450 pada Sabtu.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Syafiq Rasol yang ketinggalan 24 saat di belakang Hafizh dan Izzat.

Hafizh turut meluah rasa teruja atas kesempatan diberikan terhadapnya untuk memanaskan badan sebelum saingan Kejuaraan Superbike Dunia musim 2022 bermula.

“Saya sememangnya teruja dan seronok dapat mengimbas kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak bawak kapcai.

“Memang amat rindu mengingat zaman dulu-dulu berlumba moto kapcai. Saya seronok setiap sesi pada hari ini dan saya cuba memahami litar go-kart ini di mana ini merupakan kali pertama saya race motor kapcai di sini,” jelasnya.

Ketika perlumbaan Supermotard 450 pada Sabtu, Hafizh turut melakar kejutan apabila muncul juara meskipun berdepan pelumba supermoto negara, Gabit Salleh.

Hafizh memenangi perlumbaan itu dengan penuh selesa apabila melintasi garisan penamat dengan jarak 33 saat daripada Gabit yang muncul tempat kedua diikuti Khairul Afif Ghazali ketiga.

Honda Malaysia telah pun merasmikan Honda City Hatchback serba baharu untuk pasaran tempatan.

Model lima pintu itu tampil dengan empat varian berlainan – S,E,V dan RS e:HEV.

Menurut Honda Malaysia, model terbaru itu telah menerima lebih 2,000 tempahan setakat ini sekaligus menyaksikan Honda City Hathcback bakal menggempur segmen-B hatchback disini.

Aspek paling mencuri tumpuan bagi City Hatchback kali ini adalah penggunaan ‘Utlra Seat’ yang membolehkan penggunaan ruang dalam yang lebih efisien.

Sementara itu, trim RS pula menghadirkan reka bentuk yang lebih agresif termasuk penggunaan rim 16-inci berbanding 15″ pada varian S dan E.

Berikut harga mengikut varian:

  • 1.5L S – RM75,670
  • 1.5L E – RM83,080
  • 1.5L V – RM87,860

*Harga bagi varian RS hanya akan diumumkan pada awal 2022 nanti.

Tiga varian pertama dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjana 121PS dan 145Nm yang disalurkan menerusi transmisi CVT. Penggunaan bahan api pula diletakkan pada 5.6L/100km.

Bagaimanapun, varian tertinggi, RS pula hadir dengan enjin 1.5L Sports i-MMD e:HEV yang menawarkan 109PS 253Nm dengan pengunnan bahan api diletakkan pada 3.6L/100km.

Varian RS juga didatangkan dengan ciri keselamatan Honda SENSING yang menawarkan fungsi berikut:

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High Beam (AHB)
  • Honda CONNECT + more

Ketika ini segmen motosikal ‘adventure’ sememangnya popular namun melibatkan jentera berenjin besar antaranya BMW R 1250 GS, KTM 1290 Adventure R, Ducati Multistrada V4 dan Honda CRF1100L Africa Twin.

Bagaimanapun, jika niat untuk mengembara memfokuskan tunggangan ‘off-road’ maka jentera yang lebih ringan dan mudah dikendalikan seperti KTM 390 Adventure menjadi pilihan utama.

Selepas dua tahun berada dalam pasaran sejak diperkenalkan di EICMA 2019, pengeluar motosikal Austria itu akhirnya menaik taraf 390 Adventure bagi 2022.

Secara amnya, 390 Adventure kekal menawarkan enjin 373cc satu silinder DOHC yang menghasilkan 43hp dan 37Nm yang dimuatkan kedalam kerangka jenis ‘steel trellis’.

Bagaimanapun, model 2022 menyaksikan sistem ‘traction control’ kini mempunyai mod ‘off-road’.

Bukan itu sahaja, 390 Adventure 20022 ini juga beralih kepada rim aloi 10-bilah berbanding 12-bilah sebelum ini dengan KTM mendakwa jauh lebih lasak dan kuat.

Model akan datang ini juga kini menawarkan fungsi ‘cornering ABS’ dan ‘off-road ABS’ yang boleh dipadamkan menerusia paparan skrin TFT 5-inci.

Antara ciri menarik lain dikekalkan:

  • fork depan WP Apex USD 43mm
  • penyerap hentakan tunggal WP Apex belakang
  • brek ByBre dengan cakera brek 320mm depan dan 230mm belakang
  • berat 172kg
  • tangki 14L

Honda sedang membangunkan sebuah jentera bersesaran 1100cc baharu dan dijadualkan untuk pelancaran bagi tahun 2023.

Perkara itu disahkan menerusi paten baharu yang difailkan pengeluar motosikal Jepun itu baru-baru ini.

Paten tersebut jelas memaparkan sebuah jentera yang bercirikan elemen retro-klasik seperti yang ditawarkan Honda menerusi CB1100 sebelum ini.

Bagaimanapun, dengan CB1100 bakal ditamatkan pengeluaran selepas Honda memperkenalkan ‘Final Edition’ sebelum ini, paten tersebut sedikit sebanyak memberi bayangan model baharu ini akan meneruskan legasi CB1100 tersebut.

Young-Machine turut mendakwa model akan datang itu akan dinamakan sebagai GB1100, meneruskan kesinambungan GB350 yang telah dilancarkan awal tahun ini.

Menariknya, GB1100 itu dijangka dikuasakan enjin parallel-twin 1084cc yang sama terdapat pada CRF1100L Africa Twin dan 1100 Rebel dan juga bakal tampil dengan dua jenis transmisi, manual dan dual-clutch transmission (DCT).

Difahamkan, Honda bakal melancarkan model serba baharu itu pada 2023.

Polis Negeri Sembilan memberi amaran kepada marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi untuk tidak berlagak seperti ‘polis trafik’ ketika berkonvoi ke negeri itu.

Amaran tersebut disampaikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop selepas video yang memaparkan seorang pengiring atau marshal telah mengarahkan sebuah kereta untuk memperlahankan kenderaan dan ketepi bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui jalan tersebut di Port Dickson.

“Kalau kita tengok baru-baru ini ada dua insiden yang sudah berlaku di daerah Port Dickson.

“Perkara ini sudah pun diuar-uarkan di media berhubung motosikal berkuasa tinggi. Mereka tidak boleh menahan, melencong, menghalang apa jua kenderaan di jalan raya sebab mereka tidak ada kuasa.

“Tidak perlu datang ke negeri ini kalau berlagak seperti polis,” tegasnya.

Sementara itu, Mohamad Mat mengesahkan pihaknya sedang mengesan individu yang didapati bertindak seperti polis trafik berdasarkan rakaman video berdurasi 3 minit yang tular itu. – SH

Polis Port Dickson sedang mengesan marshal yang didapati mengarah kenderaan awam berdasarkan video yang dimuat naik ke laman sosial baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polos Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed yang sebelum ini turut menahan beberapa marshal atas kesalahan sama beberapa minggu lalu.

“Konvoi dipercayai bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang Port Dickson,” jelas Aidi dalam satu kenyataan.

Rakaman berdurasi tiga minit itu menampakkan marshal konvoi motosikal mengarahkan sebuah kereta untuk memperlahankan kenderaan dan bergerak ke sebelah kiri bagi memberi laluan kepada konvoi meneruskan perjalanan.

Marshal tersebut juga jelas kelihatan menunggang sebuah Kawasaki GTR 1400 serba putih dan memakai ves hijau biru yang seakan menyamai polis trafik sebenar. – SH

Pihak Pengurusan Malaysia Aiport telah membuat keputusan menutup lokasi tinjau kapal terbang popular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan di samping kawasan tersebut dipenuhi sampah sarap yang dibuang pengunjung yang gemar menghabiskan masa di tempat tersebut.

Meskipun lokasi ‘spot’ kapal terbang itu ditutup namun laluan utama bersebelahan masih dibuka seperti biasa.

Pada masa sama ‘viewing deck’ juga masih dibuka dan membolehkan orang ramai melihat kapal terbang berlepas dan mendarat dengan selamat.

Bagi pemilik motosikal Ducati di Pulau Pinang, Ducati Penang merupakan tempat yang sering kali menjadi pilihan bukan sahaja untuk mendapatkan servis selepas jualan terbaik malah aksesori pelbagai.

Masuk sahaja dari pintu depan, pelanggan disajikan terus dengan pelbagai model Ducati terkini termasuk barisan aksesori yang lengkap dengan harga mampu milik sehinggalah yang boleh menggigit jari namun berbaloi.

Ducati Penang juga menyediakan perkhidmatan ‘Easy Payment’ dengan bajet minima RM600 sekaligus memudahkan urusan jual beli pelanggan, maka tak hairanlah niat untuk sekadar ‘window shopping’ kadang kala terbatal disebabkan aksesori ditawarkan cukup menggugat jiwa.

Bukan itu sahaja, barisan aksesori dan helmet pelbagai jenama antaranya Alpinestars, KYT, Ducati, Ixon, Five, Cardo, Shoei, Givi, Arai, HJC, dan Hyper Gear menjadikan Ducati Penang pusat pameran serba lengkap.

Malah, Ducati Penang juga merupakan pengedar tunggal bagi jenama Quad Lock di bahagian Utara.

Bagaimanapun, secara peribadi, kami berasakan apa yang menjadi Ducati Penang sebagai pusat pameran yang istimewa adalah penyediaan perkhidmatan servis selepas jualan bagi helmet motosikal.

Percaya atau tidak, Ducati Penang menawarkan servis cuci dan membasuh helmet dan padding sekaligus menjadikan pengalaman pelanggan yang lebih sempurna.

Tak cukup dengan itu, Ducati Penang juga merupakan ‘port’ lepak bagi peminat dua roda dengan adanya F&B yang pelbagai.

Jadi bukan lagi senario pelik apabila niat untuk melepak berakhir dengan pembelian helmet dan aksesori baharu.

Tak lupa juga, Ducati Penang turut menawarkan ‘personal fitting’ bagi helmet Shoei.

Setiap pelanggan yang membeli helmet dan akesori di Ducati Penang boleh singgah semula bila-bila masa untuk mendapatkan servis dan penjagaan helmet terbaik.

Polis sedang mengesan pemandu Proton Persona yang didapati memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan arah ke Shah Alam seperti yang tular di media sosial.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid yang turut memaklumkan satu laporan telah dibuat dan insiden itu kini dalam siasatan.

“Kita minta pemilik kenderaan atau pemandu kereta jenis PROTON Persona atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Video berdurasi 24 saat itu memaparkan sebuah Proton Persona dengan nombor pendaftaran TAW 9338 menggunakan laluan motosikal sekaligus membahayakan penunggang motosikal lain.

Sementara itu, Mohamad Fakrudin meningatkan orang ramai untuk mematuhi arahan papan tanda bagi mengelakan kejadian seumpamanya berlaku. – BH

Selepas Yamaha YZF-R15M dilancarkan di India beberapa bulan lalu, generasi baharu R15 itu kali ini diperkenalkan di pasaran Indonesia.

Bagi tahun 2021, R15 (V4) ini didatangkan dengan rekaan serba baharu, meneruskan kesinambungan daripada YZF-R7 yang telah diperkenalkan secara global sebelum ini.

Sementara itu, untuk pasaran Indonesia, terdapat tiga varian ditawarkan, R15 Connected, R15M Connected ABS dan R15M Connected ABS edisi ulang tahun ke-60.

Sementara itu, ketiga-tiga varian dilengkapi enjin satu silinder 155cc dengan penyejukan cecair SOHC VVA yang berupaya menghasilkan 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm.

Menariknya, varian R15 ini juga disertakan dengan fungsi Quickshifter, Traction Control, ‘killswitch’ dan ABS dwi-saluran.

Selain itu, R15 Connected dan R15M Connected ini juga menawarkan ciri Yamaha Y-Connect yang membolehkan paparan digital disambungkan kepada telefon pintar.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LD penuh
  • fork depan jenis USD
  • swingarm aluminium
  • lampu kecemasan
  • tayar 100/80-17 depan
  • tayar 140/70-17 belakang

Sementara itu, pelancaran model baharu R15M ini sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa model ini juga bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Melihat kepada spesifikasi ditawarkan, pastinya R15M ini antara model yang paling dinantikan peminat jenama itu di sini.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube